Lompat ke kandungan

BIBLE MENGUBAH HIDUP

Hadiah yang Terbaik

Hadiah yang Terbaik
  • TAHUN LAHIR 1967

  • NEGARA ASAL FINLAND

  • LATAR BELAKANG PEMAIN TENIS PROFESIONAL

KISAH SILAM SAYA

 Saya membesar di Tampere, Finland, di sebuah kota yang aman dan indah. Keluarga saya tidak begitu berminat tentang agama tetapi mereka mementingkan pendidikan dan kesopanan. Ibu saya ialah orang Jerman. Maka semasa saya kecil, saya kadangkala pergi ke Jerman Barat untuk melawat datuk dan nenek saya.

 Sejak kecil lagi, saya suka bersukan dan menyertai pelbagai jenis sukan. Tetapi apabila saya berusia sekitar 14 tahun, saya memilih untuk bertumpu kepada tenis. Semasa saya berusia 16 tahun, saya berlatih sebanyak dua atau tiga kali sehari; saya mempunyai dua sesi latihan bersama jurulatih profesional, dan kemudian saya akan berlatih sendiri pada waktu petang. Saya amat meminati tenis kerana sukan ini mencabar saya dari segi fizikal dan mental. Biarpun saya suka bergaul dengan kawan-kawan dan minum bir sekali-sekala, saya tidak pernah ketagihan dadah atau alkohol, kerana hidup saya bertumpu kepada tenis dan itulah keutamaan saya.

 Apabila saya berusia 17 tahun, saya mula menyertai kejohanan ATP. a Selepas memenangi beberapa kejohanan, saya menjadi popular. Saya tergolong dalam 50 orang pemain tenis terbaik dunia pada usia 22 tahun.

 Selama bertahun-tahun, saya pergi ke serata dunia untuk bermain tenis secara profesional. Saya berpeluang melihat pelbagai tempat yang menarik, tetapi saya juga sedar bahawa tempat-tempat itu mengalami banyak masalah, seperti jenayah, penyalahgunaan dadah, dan pencemaran alam. Contohnya, semasa saya berada di Amerika Syarikat, ada orang memberitahu saya supaya tidak pergi ke sesetengah tempat kerana kadar jenayah di situ amat tinggi. Semua perkara ini membuat saya susah hati. Biarpun saya sedang mengejar impian saya, hal ini tidak dapat mengisi kekosongan dalam hati saya.

BAGAIMANA BIBLE MENGUBAH HIDUP SAYA

 Teman wanita saya, Sanna, mula mempelajari Bible bersama Saksi-Saksi Yehuwa. Saya tidak menyangka bahawa dia berminat tentang agama, tetapi saya juga tidak menghalangnya. Pada tahun 1990, kami berkahwin, dan dia dibaptis sebagai salah seorang Saksi-Saksi Yehuwa pada tahun yang berikutnya. Biarpun saya percaya bahawa Tuhan wujud, saya bukanlah orang yang alim. Tetapi saya ingat bahawa nenek saya di Jerman suka membaca Bible, dan dia bahkan pernah mengajar saya cara untuk berdoa.

 Pada suatu hari, saya dan Sanna mengunjungi sepasang suami isteri Saksi. Kami tidak banyak berbual tentang agama, tetapi suaminya, Kari, menunjukkan nubuat Bible tentang “hari-hari terakhir” kepada saya. (2 Timotius 3:1-5) Hal ini meninggalkan kesan yang mendalam terhadap saya kerana akhirnya saya memahami mengapa keadaan dunia ini begitu teruk. Maka sejak hari itu, saya mula berbincang dengan Kari tentang Bible. Apa yang saya pelajari daripadanya memang masuk akal. Tetapi saya sibuk dan selalu membuat perjalanan, maka saya tidak dapat membincangkan Bible dengan Kari secara tetap. Biarpun begitu, dia tidak putus asa. Dia akan menjawab soalan-soalan yang saya kemukakan semasa pembelajaran kami menerusi surat. Bible mengandungi jawapan bagi semua soalan saya tentang kehidupan. Secara beransur-ansur, saya menyedari bahawa tema utama Bible ialah Kerajaan Tuhan, dan kerajaan ini akan melaksanakan semua kehendak Tuhan. Saya juga mempelajari bahawa nama Tuhan ialah Yehuwa, dan saya mengetahui apa yang telah dilakukan-Nya demi kita. Semua pengetahuan ini menyentuh hati saya. (Mazmur 83:18) Namun perkara yang paling menyentuh hati saya ialah aturan korban tebusan. Aturan ini bukan sekadar cara untuk menyelesaikan masalah secara adil, tetapi merupakan ungkapan kasih Tuhan. (Yohanes 3:​16) Saya juga mempelajari bahawa saya dapat menjadi sahabat Tuhan dan berpeluang untuk hidup selama-lamanya di bumi firdaus. (Yakobus 4:8) Oleh itu, saya mula menanya diri, “Bagaimanakah saya dapat menunjukkan kesyukuran saya kepada Tuhan?”

 Saya mempelajari daripada Bible bahawa lebih berbahagia memberi daripada menerima, dan saya ingin memberitahu orang lain apa yang telah saya pelajari. (Kisah 20:35) Tetapi selaku atlet profesional, saya tiada di rumah kira-kira 200 hari dalam setahun kerana perlu menyertai pelbagai kejohanan. Kehidupan keluarga kami berpusat kepada saya, dan semua ahli keluarga perlu membuat penyesuaian selaras dengan jadual saya, latihan saya, dan kerjaya saya. Setelah berfikir panjang, saya sedar bahawa saya perlu membuat perubahan.

 Saya sedar bahawa banyak orang tidak akan memahami mengapa saya sudi melepaskan kerjaya dalam bidang sukan demi agama saya. Tetapi bagi saya, peluang untuk lebih mengenali Yehuwa dan meraih kehidupan abadi adalah jauh lebih bernilai daripada mana-mana hadiah yang dapat saya menangi ketika bermain tenis. Selain itu, ayat Bible di Mazmur 118:6 juga menguatkan saya untuk menghadapi tekanan daripada orang lain. Ayat itu menyatakan, “Aku tidak takut kerana Yehuwa berada di pihakku. Apakah yang dapat dilakukan manusia terhadapku?” Maka saya bertekad untuk tidak menghiraukan kata-kata mereka dan berpegang teguh pada pendirian saya.

 Pada waktu itu, beberapa orang penaja menawarkan kontrak yang lumayan kepada saya agar saya dapat menjadi pemain tenis profesional selama bertahun-tahun dan tidak perlu risau tentang hal-hal kewangan. Tetapi saya sudah membuat keputusan untuk mengubah hidup saya, maka saya menolak tawaran mereka dan berhenti menyertai kejohanan ATP. Saya terus mempelajari Bible, dan akhirnya dibaptis sebagai salah seorang Saksi-Saksi Yehuwa pada 2 Julai 1994.

MANFAAT YANG SAYA TERIMA

 Saya mula mempelajari Bible bukan kerana ingin mencari kebenaran, atau kerana ditimpa tragedi hidup. Sebenarnya, pada waktu itu, saya berasa bahawa kehidupan saya agak baik dan saya tidak kekurangan apa-apa. Tetapi kemudiannya saya berpeluang untuk mempelajari kebenaran dan menemui makna hidup yang sejati. Kini kehidupan saya jauh lebih baik daripada dahulu dan hubungan saya dengan keluarga juga menjadi lebih erat. Saya gembira kerana tiga orang anak lelaki saya telah mengikut jejak saya untuk menjadi pengikut Kristus.

 Saya masih suka bermain tenis, dan saya dapat mencari nafkah hidup dengan melakukan kerja-kerja yang berkaitan dengan tenis. Contohnya, saya pernah bekerja sebagai jurulatih dan pengurus sebuah pusat tenis. Tetapi kehidupan saya tidak lagi berpusat kepada tenis. Sebelum ini, saya berlatih selama berjam-jam setiap minggu untuk menjadi jaguh tenis. Sekarang pula saya ialah seorang penginjil sepenuh masa, dan saya menggunakan banyak masa untuk membantu orang lain mempelajari dan menerapkan prinsip-prinsip Bible. Saya mendapati bahawa kebahagiaan terbesar dalam hidup adalah membina persahabatan dengan Yehuwa dan mengongsi harapan yang cerah dengan orang lain.​—1 Timotius 6:​19.

a ATP ialah singkatan bahasa Inggeris bagi Persatuan Pemain Tenis Profesional. Badan ini menyelia pemain-pemain tenis lelaki. ATP mengadakan beberapa kejohanan tenis profesional dan pemain yang memenangi kejohanan itu akan mendapat mata dan wang tunai. Mata yang dikumpulkan dalam kejohanan-kejohanan itu akan menentukan kedudukan seseorang pemain dalam senarai dunia.