Lompat ke kandungan

BIBLE MENGUBAH HIDUP

Hidup Saya Huru-hara dan Tidak Terkawal

Hidup Saya Huru-hara dan Tidak Terkawal
  • Tahun Lahir: 1971

  • Negara Asal: Tonga

  • Latar Belakang: Menyalahgunakan dadah, dipenjarakan

KISAH SILAM SAYA

 Keluarga saya berasal dari Tonga yang terletak di kawasan Pasifik barat daya. Negara ini terdiri daripada lebih kurang 170 buah pulau. Kehidupan kami di Tonga agak sederhana; kami tiada bekalan elektrik dan tidak mempunyai kenderaan. Tetapi rumah kami mempunyai bekalan air paip, dan kami juga memelihara beberapa ekor ayam. Saya, bersama dengan abang dan adik, akan membantu ayah untuk berkebun semasa cuti sekolah. Kami menanam pokok pisang, ubi keledek, ubi keladi, dan ubi kayu. Ayah menampung kehidupan keluarga dengan hasil jualan tanaman tersebut dan juga gaji yang diperoleh daripada pelbagai jenis kerja yang dilakukannya. Seperti kebanyakan penduduk yang tinggal di kepulauan Pasifik, keluarga kami sangat menghormati Bible, dan kami selalu pergi ke gereja. Meskipun demikian, kami tetap yakin bahawa kami mesti berpindah ke negara yang lebih kaya untuk menikmati hidup yang lebih baik.

 Semasa saya berumur 16 tahun, pak cik saya telah membuat aturan untuk memindahkan keluarga kami ke California, A.S. Kami rasa sangat susah untuk menyesuaikan diri kerana budaya di sana amat berbeza! Walaupun keadaan ekonomi kami lebih baik berbanding dahulu, kawasan yang kami tinggal ada ramai orang miskin, lalu jenayah ganas serta penggunaan dadah pun berleluasa. Kami selalu mendengar bunyi tembakan pada waktu malam, dan kebanyakan jiran sangat takut dengan kumpulan geng. Ramai orang membawa senjata untuk melindungi diri atau menyelesaikan perselisihan. Saya masih mempunyai sebutir peluru yang terbenam dalam dada saya akibat suatu perselisihan sebegitu.

 Semasa di sekolah menengah, saya ingin diterima oleh pemuda-pemudi lain, jadi saya semakin terlibat dalam pesta liar, minum berlebihan, keganasan, dan penggunaan dadah haram. Tidak lama kemudian, saya menjadi ketagih terhadap kokain. Saya mula mencuri untuk membeli dadah. Walaupun keluarga saya sangat taat kepada gereja, saya tidak pernah diajar cara untuk mengelak tekanan rakan sebaya untuk melakukan perkara yang salah. Banyak kali saya ditangkap oleh polis akibat perbuatan yang ganas. Hidup saya huru-hara dan tidak terkawal! Akhirnya saya dipenjarakan.

BAGAIMANA BIBLE MENGUBAH HIDUP SAYA

 Suatu hari pada tahun 1997, semasa saya masih dipenjarakan, seorang banduan memerhatikan bahawa saya sedang memegang sebuah Bible. Waktu itu adalah musim Krismas, iaitu hari yang dianggap suci oleh kebanyakan orang Tonga. Dia tanya sama ada saya tahu apa yang Bible katakan tentang kelahiran Kristus. Saya kata saya tidak tahu. Dia tunjuk kepada saya kisah Bible mengenai kelahiran Yesus, dan saya mendapati bahawa Bible tidak pernah sebut tentang tradisi Krismas yang biasanya kami rayakan. (Matius 2:1-12; Lukas 2:5-14) Saya rasa sangat kagum, dan ingin tahu apa lagi yang disebut dalam Bible. Lelaki itu telah menghadiri perjumpaan yang diadakan setiap minggu oleh Saksi-Saksi Yehuwa di dalam penjara, jadi saya pun mengambil keputusan untuk menyertainya. Mereka sedang bincang tentang buku Wahyu dalam Bible. Walaupun saya tidak begitu faham perkara yang dibincangkan, tetapi saya sedar bahawa semua yang diajarkan itu adalah berdasarkan Bible.

 Semasa para Saksi menawarkan saya pembelajaran Bible, saya terus menerimanya dengan senang hati. Buat kali pertama, saya belajar tentang janji Bible mengenai bumi firdaus pada masa depan. (Yesaya 35:5-8) Saya tahu bahawa jika saya ingin menyenangkan hati Tuhan, saya mesti membuat perubahan yang drastik dalam hidup saya. Saya juga sedar bahawa Tuhan Yehuwa tidak akan membenarkan saya tinggal di Firdaus yang dijanjikan jika saya masih meneruskan tabiat buruk. (1 Korintus 6:9, 10) Oleh itu, saya bertekad untuk mengawal kemarahan saya, berhenti merokok, dan juga berhenti daripada amalan minum berlebihan dan penyalahgunaan dadah.

 Pada tahun 1999, saya dipindahkan ke sebuah depot tahanan imigresen sebelum tempoh hukuman penjara saya tamat. Saya tidak dapat menghubungi Saksi-Saksi Yehuwa selama lebih daripada setahun. Namun saya bertekad untuk terus membuat perubahan. Pada tahun 2000, kerajaan Amerika Syarikat tidak lagi membenarkan saya untuk menetap di sana, dan saya dihantar pulang ke Tonga.

 Semasa di Tonga, saya berusaha untuk mencari Saksi-Saksi Yehuwa dan menyambung semula pembelajaran Bible saya. Saya sangat suka dengan apa yang saya pelajari. Semua ajaran para Saksi di Tonga adalah berdasarkan Bible, sama seperti apa yang dilakukan oleh para Saksi di Amerika Syarikat. Hal ini membuat saya berasa sangat kagum.

 Ayah saya dikenali dalam komuniti kerana dia memegang jawatan penting dalam gerejanya. Jadi pada mulanya, keluarga saya berasa bingung dan jengkel dengan pergaulan saya bersama Saksi-Saksi Yehuwa. Tetapi kemudiannya, ibu bapa saya berasa senang hati kerana prinsip Bible telah membantu saya untuk menghentikan tabiat buruk dan menjalani hidup yang lebih baik.

Seperti ramai lelaki di Tonga, saya menghabiskan banyak masa setiap minggu meminum kava

 Salah satu cabaran yang paling susah bagi saya adalah berkaitan dengan sejenis minuman yang sering disalahgunakan dalam budaya saya. Ramai lelaki di Tonga menghabiskan banyak masa setiap minggu untuk meminum kava, sejenis minuman yang dibuat daripada akar pokok lada. Minuman ini seperti ubat penenang. Sejak saya pulang ke Tonga, saya pergi ke kelab kava hampir setiap malam dan minum sehingga saya tidak sedarkan diri. Sebahagian daripada masalah ini adalah pergaulan saya dengan rakan yang tidak menghormati prinsip Bible. Akhirnya saya dibantu untuk sedar bahawa perbuatan saya menyakiti hati Tuhan. Lalu saya membuat perubahan supaya dapat menerima berkat dan perkenan Tuhan.

 Saya mula menghadiri semua perjumpaan Saksi-Saksi Yehuwa. Pergaulan dengan mereka yang berusaha untuk menyenangkan hati Tuhan telah membantu saya untuk menolak godaan. Saya dibaptis sebagai salah seorang Saksi-Saksi Yehuwa pada tahun 2002.

MANFAAT YANG SAYA TERIMA

 Saya telah memperoleh manfaat daripada kesabaran Tuhan seperti yang dikatakan dalam Bible, “Yehuwa . . . sabar terhadap kamu, kerana Dia tidak ingin seorang pun dibinasakan. Dia ingin agar semua orang berpeluang untuk bertaubat.” (2 Petrus 3:9) Sudah tentu Tuhan boleh mengakhiri sistem dunia yang jahat ini sejak dulu lagi, tetapi oleh kerana kesabaran Tuhan, orang seperti saya ada peluang untuk menjadi sahabat-Nya. Saya rasa gembira kerana dengan bantuan Tuhan, saya dapat membantu orang lain menjadi sahabat-Nya juga.

 Tuhan juga telah membantu saya untuk mengawal kehidupan saya. Saya tidak lagi mencuri untuk memenuhi ketagihan saya. Sebaliknya, saya berusaha untuk membantu orang lain menjadi sahabat Yehuwa. Melalui pergaulan saya dengan Saksi-Saksi Yehuwa, saya dapat mengenali isteri saya, Tea. Kami mempunyai seorang anak lelaki yang masih kecil, dan keluarga kami sangat bahagia. Kami sekeluarga mengajar orang lain tentang Bible dan harapan untuk hidup selama-lamanya di firdaus yang aman damai.