Lompat ke kandungan

BIBLE MENGUBAH HIDUP

“Masih Ada Banyak Soalan yang Belum Terjawab”

“Masih Ada Banyak Soalan yang Belum Terjawab”
  • Tahun Lahir: 1976

  • Negara Asal: Honduras

  • Latar Belakang: Pastor gereja

KISAH SILAM SAYA

 Saya lahir di La Ceiba, Honduras. Saya mempunyai lima orang adik-beradik dan saya ialah anak bongsu. Saya juga satu-satunya anak lelaki dan anak yang pekak dalam keluarga. Keluarga kami sangat miskin dan kami tinggal di kawasan yang ada banyak jenayah. Semasa saya berumur empat tahun, bapa saya meninggal disebabkan kemalangan di tempat kerjanya. Akibatnya, hidup kami menjadi lebih susah.

 Ibu saya berusaha keras untuk menjaga kami semua, tetapi dia selalu tiada wang untuk membeli pakaian untuk saya. Apabila hujan, saya selalu kesejukan kerana tidak mempunyai pakaian yang sesuai.

 Seraya saya membesar, saya belajar Bahasa Isyarat Honduras (LESHO) yang membolehkan saya berkomunikasi dengan orang pekak yang lain. Ibu dan kakak saya tidak tahu menggunakan bahasa isyarat. Mereka hanya dapat berkomunikasi dengan saya melalui beberapa isyarat tangan. Walau bagaimanapun, ibu sangat sayang saya dan cuba melindungi saya daripada bahaya. Dia mengajar saya untuk menjauhi perbuatan seperti merokok dan pemabukan. Hasilnya, saya tidak terjerumus dalam perbuatan sebegitu.

 Semasa saya masih kecil, ibu selalu membawa saya ke Gereja Katolik, tetapi saya tidak faham ajaran gereja kerana tiada sesiapa yang menterjemahkannya ke dalam bahasa isyarat. Saya berhenti pergi ke gereja semasa berumur 10 tahun kerana berasa sangat bosan. Meskipun begitu, saya masih ingin mengetahui lebih banyak tentang Tuhan.

 Pada tahun 1999, semasa saya berumur 23 tahun, saya berjumpa dengan seorang wanita yang berasal dari Amerika Syarikat. Dia seorang ahli gereja evangelis. Dia ajar saya tentang Bible dan Bahasa Isyarat Amerika (ASL). Saya sangat suka apa yang saya pelajari dan saya membuat keputusan untuk menjadi pastor. Jadi, saya berpindah ke Puerto Rico untuk menyertai pusat latihan Kristian bagi orang pekak. Semasa saya kembali ke La Ceiba pada tahun 2002, saya menubuhkan gereja bagi orang pekak dengan bantuan kawan-kawan saya. Salah seorang kawan itu ialah Patricia yang kemudiannya menjadi isteri saya.

 Sebagai seorang pastor, saya menyampaikan khutbah di gereja dalam LESHO, menunjukkan gambar-gambar cerita daripada Bible, dan melakonkan semula cerita Bible supaya orang pekak dapat memahaminya. Saya melawat orang pekak yang tinggal di pekan-pekan yang berdekatan untuk menggalakkan dan membantu mereka. Pernah sekali, saya melawat Amerika Syarikat dan Zambia untuk melakukan kerja mubaligh. Tetapi, saya tidak mempunyai banyak pengetahuan Bible. Saya hanya memberitahu mereka apa yang saya tahu dan faham tentang gambar-gambar itu. Sebenarnya, saya masih ada banyak soalan yang belum terjawab.

 Suatu hari, beberapa ahli gereja saya mula menyebarkan fitnah tentang saya. Mereka berkata bahawa saya seorang pemabuk dan curang terhadap isteri saya. Saya sangat kecewa dan marah. Tidak lama selepas itu, saya dan Patricia meninggalkan gereja itu.

BAGAIMANA BIBLE MENGUBAH HIDUP SAYA

 Saksi-Saksi Yehuwa selalu melawat saya dan Patricia, tetapi kami tidak mahu bercakap dengan mereka. Meskipun demikian, setelah kami meninggalkan gereja, Patricia setuju untuk belajar Bible dengan sepasang suami isteri yang bernama Thomas dan Liccy. Saya sangat kagum kerana mereka tahu bahasa isyarat walaupun mereka bukan orang pekak. Jadi saya juga ikut belajar Bible bersama Patricia.

 Kami belajar Bible selama beberapa bulan dengan menggunakan video ASL. Tetapi beberapa kawan kami mengatakan bahawa Saksi-Saksi Yehuwa hanya mengikut ajaran manusia, jadi kami berhenti belajar Bible. Walaupun Thomas menunjukkan bukti bahawa Saksi-Saksi Yehuwa tidak mengikut ajaran manusia, saya masih tidak mempercayainya.

 Beberapa bulan kemudian, Patricia mengalami kemurungan yang teruk. Jadi dia berdoa kepada Tuhan agar Saksi-Saksi Yehuwa datang untuk mengunjunginya lagi. Tidak lama selepas itu, jiran kami yang merupakan Saksi-Saksi Yehuwa melawat Patricia dan membantunya untuk menghubungi Liccy. Liccy memang seorang sahabat yang sejati. Dia melawat Patricia setiap minggu untuk menggalakkannya dan belajar Bible dengannya. Namun, saya masih ragu-ragu terhadap Saksi-Saksi Yehuwa.

 Pada tahun 2012, Saksi-Saksi Yehuwa mengadakan kempen istimewa untuk mengedarkan DVD Adakah Anda Ingin Mengetahui Kebenaran? dalam LESHO. Liccy memberi kami satu DVD itu. Semasa saya menonton video itu, saya terkejut kerana banyak hal-hal yang saya ajar sebelum ini tidak berdasarkan Bible, misalnya ajaran tentang neraka dan jiwa yang tidak dapat mati.

 Minggu seterusnya, saya pergi ke Dewan Perjumpaan Saksi-Saksi Yehuwa untuk bercakap dengan Thomas. Saya memberitahunya bahawa saya ingin mengajar orang pekak tentang kebenaran Bible tetapi saya tidak mahu menjadi Saksi-Saksi Yehuwa. Tujuan saya adalah untuk menubuhkan sebuah gereja yang baharu khasnya untuk orang pekak. Thomas memuji semangat saya, tetapi dia juga menunjukkan Efesus 4:5 yang menjelaskan bahawa sidang Kristian yang sejati haruslah bersatu.

 Thomas juga memberikan satu DVD dalam ASL yang bertajuk Saksi-Saksi Yehuwa—Mereka Menunjukkan Iman, Bahagian 1: Keluar daripada Kegelapan. Video ini menunjukkan bagaimana sekumpulan kecil orang berusaha mengkaji dan memahami ajaran asas Bible. Semasa saya menonton video tersebut, saya memahami perasaan mereka kerana saya juga berusaha mencari kebenaran. Video itu meyakinkan saya bahawa ajaran Saksi-Saksi Yehuwa adalah benar kerana kepercayaan mereka berdasarkan Bible. Jadi saya menyambung pembelajaran Bible dengan mereka. Pada tahun 2014, saya dan Patricia dibaptis sebagai Saksi-Saksi Yehuwa.

MANFAAT YANG SAYA TERIMA

 Saya suka sidang Saksi-Saksi Yehuwa kerana mereka berusaha mengikut piawaian moral Tuhan yang suci. Mereka tidak menggunakan kata-kata kesat dan memperlakukan orang dengan baik. Mereka suka damai dan sering menggalakkan satu sama lain. Saksi-Saksi Yehuwa di seluas dunia bersatu padu dan menyampaikan ajaran yang sama biarpun mereka menggunakan bahasa yang berbeza.

 Saya suka apa yang saya belajar dalam Bible. Misalnya, saya belajar bahawa Yehuwa ialah Tuhan Yang Maha Kuasa dan Dialah Pemerintah yang berdaulat. Dia mengasihi semua orang, termasuk orang pekak. Saya menghargai kasih yang ditunjukkan Tuhan kepada saya. Saya juga belajar bahawa bumi akan menjadi sebuah firdaus yang indah, dan kita berpeluang untuk menikmati kesihatan yang sempurna buat selama-lamanya. Saya menanti-nantikan masanya semua janji ini menjadi kenyataan!

 Saya dan Patricia suka mengongsi ajaran Bible dengan orang pekak yang lain. Kini, beberapa orang dari gereja kami dahulu telah menjadi pelajar Bible kami. Dulu, saya tidak yakin dengan apa yang saya ajarkan, walaupun saya seorang pastor. Tetapi sekarang, saya tidak lagi ragu-ragu. Akhirnya, saya menemui jawapan kepada soalan-soalan saya setelah belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa.