BIBLE MENGUBAH HIDUP
“Saya Fikir Saya Sudah Memiliki Segalanya”
TAHUN LAHIR: 1962
NEGARA ASAL: Kanada
LATAR BELAKANG: Gaya hidup yang tidak bermoral
KISAH SILAM SAYA
Saya lahir di Montreal, kota terbesar di wilayah Quebec, Kanada. Saya dan tiga orang adik-beradik saya dibesarkan oleh ibu bapa yang penyayang dan dalam suasana yang baik di Rosemont. Kami sekeluarga menikmati hidup yang aman dan damai.
Saya sangat tertarik kepada Bible semasa saya masih kecil. Saya masih ingat semasa berumur 12 tahun, saya sangat menikmati pembacaan mengenai kehidupan Yesus dalam Bible Perjanjian Baharu. Kasih dan belas kasihan Yesus terhadap orang lain menyentuh hati saya. Saya pun mahu menjadi seperti dia. Tetapi sedihnya, seraya saya semakin dewasa dan terlibat dalam pergaulan buruk, keinginan itu menjadi pudar.
Ayah saya seorang pemain saksofon. Dia bukan sahaja memberi saya saksofonnya, malah membuat saya gemar terhadap muzik sehingga hal itu menjadi tumpuan dalam hidup saya. Saya juga belajar bermain gitar kerana saya sangat menggemari muzik. Tidak lama kemudian, saya dan beberapa kawan menubuhkan kumpulan muzik rock, dan kami telah membuat beberapa persembahan bersama. Beberapa penerbit muzik yang terkenal mendapat tahu tentang kami dan telah memberikan tawaran kontrak kepada saya. Saya pun menandatangani kontrak dengan sebuah syarikat rakaman yang besar. Muzik saya menjadi semakin popular dan sering dimainkan dalam radio di Quebec.
Saya fikir saya sudah memiliki segalanya. Pada masa itu, saya muda dan terkenal. Saya juga mendapat banyak wang sambil melakukan aktiviti kegemaran saya. Pada siang hari, saya pergi gim, menghadiri temu ramah, mengadakan sesi autograf, dan juga muncul di kaca TV. Pada waktu malam pula, saya membuat persembahan dan pergi parti. Saya berasa tertekan kerana perlu berhadapan dengan banyak peminat. Jadi saya pun mula minum alkohol dan kemudian mengambil dadah. Saya menjalani kehidupan yang bebas dan mengamalkan perbuatan yang tidak bermoral.
Sesetengah orang iri hati dengan cara hidup saya kerana saya kelihatan gembira. Tetapi sebenarnya, saya diselubungi perasaan hampa terutamanya apabila saya bersendirian. Saya juga berasa murung dan khuatir. Tambahan lagi, semasa kerjaya saya berada di kemuncak kejayaan, dua orang penerbit saya meninggal akibat jangkitan AIDS. Saya sangat terkejut! Walaupun saya menggemari muzik, cara hidup dalam bidang ini membuat saya berasa jijik.
BAGAIMANA BIBLE MENGUBAH HIDUP SAYA
Meskipun saya mencapai kejayaan, saya sedar bahawa ada sesuatu yang tidak betul dengan keadaan dunia. Mengapakah ketidakadilan sangat berleluasa? Saya hairan mengapa Tuhan tidak mengambil tindakan. Jadi, saya selalu berdoa kepada Tuhan meminta jawapan. Pada suatu hari semasa tiada aturan persembahan, saya mula membaca Bible lagi. Walaupun saya tidak faham sepenuhnya tentang apa yang saya baca, saya menyimpulkan bahawa akhir dunia ini pasti sudah dekat.
Semasa membaca Bible, saya mendapati bahawa Yesus pernah berpuasa di padang belantara selama 40 hari. (Matius 4:1, 2) Saya fikir jika saya berbuat demikian, mungkin saya dapat mengenali Tuhan. Jadi, saya pun menetapkan masa untuk berpuasa. Dua minggu sebelum mula berpuasa, ada dua orang Saksi-Saksi Yehuwa mengetuk pintu rumah saya. Saya pun terus menjemput mereka masuk. Saya memandang tepat ke mata salah seorang Saksi yang bernama Jacques lalu bertanya, “Bagaimana kita boleh tahu bahawa kita sedang hidup pada hari-hari terakhir?” Dia membuka Bible dan membaca jawapannya di 2 Timotius 3:1-5. Saya menghujani mereka dengan banyak soalan. Saya berasa kagum dengan jawapan yang masuk akal dan memuaskan dan mereka sering menggunakan Bible untuk menjawab semua soalan saya. Selepas saya dikunjungi untuk beberapa kali, barulah saya sedar rupanya tidak perlu berpuasa.
Saya mula belajar Bible secara tetap dengan para Saksi. Lama-kelamaan, saya pun menggunting rambut saya yang panjang dan mula menghadiri setiap perjumpaan Saksi-Saksi Yehuwa. Orang di sana menyambut saya dengan mesra. Hal ini membuat saya lebih yakin bahawa saya memang sudah menemui kebenaran.
Saya perlu membuat perubahan yang besar dalam kehidupan saya agar dapat menerapkan apa yang saya pelajari daripada Bible. Misalnya, saya harus berhenti mengambil dadah dan meninggalkan cara hidup yang tidak bermoral. Saya juga perlu mengubah sikap saya yang mementingkan diri dan lebih prihatin terhadap orang lain. Sebagai bapa tunggal, saya perlu belajar untuk menjaga keperluan emosi serta rohani kedua-dua orang anak saya. Jadi, saya meninggalkan dunia muzik dan bekerja di sebuah kilang yang bergaji rendah.
Bukanlah mudah untuk membuat semua perubahan ini. Semasa dalam proses berhenti menggunakan dadah, saya bergelut untuk melawan kesan sampingannya dan pernah beberapa kali saya mengulangi amalan buruk itu. (Roma 7:19, 21-24) Saya juga berasa sangat mencabar untuk meninggalkan gaya hidup yang tidak bermoral. Selain itu, kerja baharu saya sangat memenatkan dan saya kecewa kerana gaji sangat sedikit. Gaji saya selama tiga bulan sama dengan gaji saya untuk dua jam sahaja semasa dalam bidang muzik dahulu.
Doa telah membantu saya bertabah untuk membuat perubahan biarpun susah. Saya mendapati bahawa pembacaan Bible secara tetap juga amat penting. Terdapat beberapa ayat yang sangat menggalakkan saya. Misalnya 2 Korintus 7:1 menggesa orang Kristian untuk “menyucikan diri daripada semua perkara yang menajiskan jiwa dan raga.” Selain itu, Filipi 4:13 juga meyakinkan saya bahawa saya memang dapat meninggalkan tabiat yang buruk. Ayat itu berkata, “Melalui Dia yang memberikan kuasa kepadaku, aku berdaya menghadapi segala keadaan.” Tuhan Yehuwa telah menjawab doa-doa saya serta membantu saya memahami dan menerapkan kebenaran Bible. Hal ini telah mendorong saya untuk membaktikan diri kepada-Nya. (1 Petrus 4:1, 2) Saya dibaptis sebagai Saksi-Saksi Yehuwa pada tahun 1997.
MANFAAT YANG SAYA TERIMA
Jika saya meneruskan gaya hidup yang dahulu, pasti saya sudah mati sekarang. Kini, hidup saya benar-benar bahagia! Yehuwa juga telah memberkati saya dengan seorang isteri yang tercinta, Elvie. Kami gembira kerana dapat menjadi pekhidmat sepenuh masa dan mengajar orang tentang Bible. Hal ini memberi saya kebahagiaan dan kepuasan hati. Saya benar-benar bersyukur kepada Yehuwa kerana memimpin saya kepada-Nya.—Yohanes 6:44.