Lompat ke kandungan

BIBLE MENGUBAH HIDUP

Akhirnya Saya dan Bapa Hidup Bersatu

Akhirnya Saya dan Bapa Hidup Bersatu
  • TAHUN LAHIR: 1954

  • NEGARA ASAL: Filipina

  • LATAR BELAKANG: Hubungan renggang dengan bapa yang ganas

KISAH SILAM SAYA

 Banyak pelancong melawat air terjun yang terkenal berhampiran pekan Pagsanjan di Filipina. Di sanalah ayah saya, Nardo Leron, dibesarkan dalam keadaan yang miskin. Dia nampak bahawa amalan rasuah berleluasa di tempat kerjanya serta dalam kalangan pihak kerajaan dan polis. Maka, dia pun berasa kecewa dan marah.

 Ibu bapa saya bekerja keras untuk membesarkan lapan orang anak. Mereka sering tiada di rumah untuk jangka masa yang panjang kerana perlu menjaga tanaman yang terletak di atas gunung. Maka, saya dan abang saya, Rodelio, perlu selalu menjaga diri sendiri dan kami sering kelaparan. Kami jarang dapat bermain semasa masih kecil. Sejak berumur tujuh tahun, saya dan adik-beradik lain perlu kerja di ladang. Kami memunggah bungkusan biji-biji kelapa yang berat sambil merentasi jalan yang curam di gunung. Kami juga terpaksa mengheret bungkusan-bungkusan itu jika terlalu berat untuk dipikul.

 Kami terpaksa bertahan dipukul ayah. Tetapi kami berasa lebih sakit hati apabila melihat ibu dipukul. Kami cuba untuk menghalang ayah, tetapi gagal. Jadi saya dan Rodelio bersepakat untuk membunuh ayah kami apabila menjadi dewasa nanti. Saya sangat mengimpikan seorang ayah yang menyayangi kami!

 Saya sangat kecewa dan marah kerana mempunyai seorang ayah yang ganas. Jadi saya pun meninggalkan rumah pada umur 14 tahun. Saya pernah hidup di jalanan buat seketika dan kemudian saya mula menggunakan ganja. Tidak lama selepas itu, saya mendapat kerja sebagai pemandu bot yang membawa pelancong pergi melawat air terjun.

 Beberapa tahun kemudian, saya mula menghadiri universiti di Manila. Tetapi setiap hujung minggu saya akan balik ke Pagsanjan untuk bekerja. Jadi saya tidak cukup masa untuk belajar. Hidup saya seperti tanpa arah tujuan dan ganja tidak lagi berkesan untuk mengurangkan kekhuatiran saya. Jadi, saya mula mencuba dadah methamphetamine, kokain, dan heroin. Sering kali penggunaan dadah diikuti perbuatan seks yang tidak bermoral. Saya dikelilingi kemiskinan, ketidakadilan, dan penderitaan. Saya membenci kerajaan dan saya berasa bahawa mereka bertanggungjawab atas masalah yang timbul. Saya menanya Tuhan, “Mengapakah hidup manusia begitu susah?” Saya cuba mencari jawapan daripada beberapa agama, tetapi tidak menjumpai apa-apa. Jadi, saya mengambil lebih banyak dadah untuk menutupi perasaan kecewa saya.

 Pada tahun 1972, para pelajar di Filipina mengadakan tunjuk perasaan terhadap kerajaan. Saya mengambil bahagian dalam salah satu demonstrasi yang diadakan. Keadaan semasa demonstrasi itu berubah menjadi ganas. Akibatnya, ramai orang ditahan dan beberapa bulan kemudian, darurat diisytiharkan di seluruh negara Filipina.

 Selepas itu, saya terpaksa hidup di jalanan lagi. Tetapi kali ini, saya sentiasa berada dalam ketakutan terhadap pihak berkuasa disebabkan penglibatan saya dalam pemberontakan itu. Saya memerlukan duit supaya dapat meneruskan tabiat saya dalam mengambil dadah. Jadi saya pun mula mencuri dan akhirnya, menyediakan perkhidmatan yang tidak bermoral bagi orang kaya dan orang asing. Saya tidak lagi kisah sama ada saya hidup atau mati.

 Pada masa itu, ibu dan adik lelaki saya mula belajar Bible bersama Saksi-Saksi Yehuwa. Ayah saya pun naik berang lalu membakar bahan bacaan Bible mereka. Namun ibu dan adik lelaki saya tetap bertabah dan kemudiannya dibaptiskan sebagai Saksi-Saksi Yehuwa.

 Pernah sekali, ada seorang Saksi memberitahu ayah saya tentang janji Bible untuk masa depan. Pada masa itu, akan ada keadilan yang sejati di seluruh bumi. (Mazmur 72:12-​14) Ayah saya sangat tertarik dengan harapan ini sehingga dia memutuskan untuk mendapatkan maklumat yang lebih lanjut. Dalam Bible, dia bukan sahaja mendapat tahu tentang janji Tuhan untuk mendirikan sebuah kerajaan yang adil, dia juga belajar tentang kehendak Tuhan bagi para suami dan bapa. (Efesus 5:​28; 6:4) Dalam masa yang singkat, dia dan semua adik-beradik saya telah menjadi Saksi-Saksi Yehuwa. Saya tidak tahu tentang hal itu kerana ketika itu saya tinggal berjauhan daripada mereka.

BAGAIMANA BIBLE MENGUBAH HIDUP SAYA

 Pada tahun 1978, saya berhijrah ke Australia. Namun minda saya masih tidak tenang biarpun saya berada di negara yang aman dan makmur. Saya masih meminum alkohol dan mengambil dadah. Pada tahun yang sama, Saksi-Saksi Yehuwa mengunjungi saya. Mereka menggunakan Bible untuk memberitahu saya tentang dunia yang aman damai. Saya suka tentang hal itu tetapi saya berasa ragu-ragu untuk melibatkan diri dengan mereka.

 Tidak lama selepas itu, saya kembali ke Filipina untuk beberapa minggu. Adik-beradik saya memberitahu bahawa ayah saya telah berusaha sedaya upaya untuk menjadi orang yang lebih baik. Tetapi saya cuba mengelaknya kerana saya masih berasa sangat kecewa.

 Adik perempuan saya menggunakan Bible untuk menjelaskan kepada saya mengapa hidup ini penuh dengan penderitaan dan ketidakadilan. Saya sangat kagum melihat seorang remaja yang kurang pengalaman namun dapat menjawab semua soalan saya. Sebelum saya jalan, ayah saya memberi saya sebuah buku bertajuk, You Can Live Forever in Paradise on Earth. a Dia berkata, “Janganlah mencari di tempat lain lagi. Buku ini akan memberi kamu jawapan kepada apa yang kamu cari selama ini.” Dia menggesa saya untuk mencari Saksi-Saksi Yehuwa di Australia.

 Saya mendengar nasihat ayah saya dan belakangan jumpa Dewan Perjumpaan Saksi-Saksi Yehuwa yang berhampiran dengan rumah saya di Brisbane. Saya setuju untuk mengadakan pembelajaran Bible secara tetap. Nubuat-nubuat Bible seperti Daniel bab 7 dan Yesaya bab 9 menunjukkan bahawa pada masa depan, Kerajaan Tuhan yang bebas daripada rasuah akan memerintah bumi. Saya juga belajar bahawa kita akan menikmati hidup di bumi Firdaus. Saya mahu diperkenankan Tuhan, tetapi saya sedar bahawa saya perlu mengawal emosi saya, berhenti menyalahgunakan dadah dan alkohol, serta meninggalkan gaya hidup yang tidak bermoral. Saya berpisah dengan wanita yang bersekedudukan dengan saya dan saya menghentikan tabiat buruk saya. Seraya kepercayaan saya terhadap Yehuwa bertambah, saya berdoa memohon Dia untuk membantu saya membuat perubahan lain.

 Secara beransur-ansur, saya sedar bahawa apa yang saya pelajari benar-benar dapat mengubah seseorang. Bible berkata bahawa kita dapat berusaha untuk “mengenakan keperibadian baharu.” (Kolose 3:​9, 10) Semasa saya berusaha menerapkannya, saya sedar bahawa apa yang saya dengar tentang perubahan keperibadian ayah saya adalah benar. Saya tidak lagi marah dan bermusuh dengannya, sebaliknya saya mahu berdamai dengannya. Akhirnya, saya pun memaafkan ayah dan tidak lagi menyimpan dendam yang saya pupuk sejak kecil.

MANFAAT YANG SAYA TERIMA

 Semasa masih muda dahulu, saya sering mengikut tingkah laku orang lain yang merosakkan atau yang membahayakan. Amaran Bible ternyata benar bagi saya. Pergaulan buruk telah merosakkan akhlak saya. (1 Korintus 15:33) Tetapi saya dapat mencari sahabat yang dapat dipercayai dalam kalangan Saksi-Saksi Yehuwa. Mereka membantu saya menjadi orang yang lebih baik. Saya juga bertemu dengan isteri yang saya kasihi, Loretta. Kami bersama-sama mengajar orang tentang bagaimana Bible dapat membantu mereka.

Makan bersama isteri saya dan kawan-kawan

 Ayah saya menjadi seorang suami yang mengasihi ibu serta seorang Kristian yang rendah hati dan mencintai kedamaian. Saya bersyukur kerana Bible membantunya menjadi seorang yang tidak pernah saya sangka. Semasa saya berjumpa semula dengan ayah saya selepas dibaptis menjadi Saksi-Saksi Yehuwa pada tahun 1987, ayah saya memeluk saya buat kali pertama!

 Selama 35 tahun, ayah dan ibu saya bersama-sama mengongsi harapan Bible kepada orang lain. Dia menjadi seorang yang tekun dan prihatin. Orang ramai mengenalinya sebagai seorang yang suka membantu. Selama tahun-tahun itu, saya belajar untuk menghormati dan mengasihinya. Saya bangga menjadi anaknya! Pada tahun 2016, dia telah meninggal dunia. Tetapi saya mengenangnya dengan penuh kasih sayang. Kami berdua telah membuat perubahan yang besar dalam keperibadian kami kerana menerapkan ajaran Bible. Saya langsung tidak berasa benci terhadapnya lagi. Saya juga bersyukur kerana dapat menemui Bapa di Syurga, Tuhan Yehuwa, yang telah berjanji untuk menghapuskan segala punca penderitaan dalam keluarga.

a Diterbitkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa, tetapi tidak dicetakkan lagi.