BIBLE MENGUBAH HIDUP
Saya Menemui Kekayaan Sejati
Tahun Lahir: 1968
Negara asal: Amerika Syarikat
Sejarah: Ahli perniagaan yang berdoa untuk menjadi kaya
MASA LALU SAYA
Saya dibesarkan sebagai seorang Katolik di Rochester, New York. Ibu bapa saya berpisah semasa saya berumur lapan tahun. Pada hari biasa saya tinggal bersama ibu saya di kawasan perumahan yang sederhana tetapi pada hujung minggu saya tinggal bersama bapa saya di kawasan perumahan orang kaya. Semasa saya melihat ibu saya yang bersusah payah untuk membesarkan enam orang anaknya, saya mula bercita-cita untuk menjadi kaya agar dapat membantu keluarga saya.
Bapa saya mahu saya berjaya, maka dia membuat aturan agar saya dapat menyertai kursus pengurusan yang disediakan oleh sebuah hotel terkemuka. Saya sangat gembira dan berfikir bahawa Tuhan telah menjawab doa saya untuk menjadi kaya dan hidup bahagia. Selama lima tahun, saya belajar tentang pentadbiran hotel, undang-undang perniagaan, dan kewangan korporat dan pada masa yang sama, saya bekerja di sebuah kasino di Las Vegas, Nevada.
Semasa saya berumur 22 tahun, saya bekerja sebagai pembantu kepada naib presiden di sebuah hotel kasino. Di mata dunia, saya sangat kaya dan berjaya. Saya selalu menikmati makanan yang terbaik dan alkohol yang termahal. Kawan-kawan saya akan berkata, “Jangan lupa bahawa wang ialah hal yang paling penting di dunia.” Dalam pandangan mereka, duit ialah rahsia kepada kebahagiaan sejati.
Dalam kerja saya, saya sering berurusan dengan orang kaya-raya yang datang ke Las Vegas untuk berjudi. Namun biarpun mereka sangat kaya, mereka langsung tidak bahagia. Saya pun merasai kekosongan dalam hidup saya. Lebih banyak duit yang saya kumpul, saya menjadi lebih khuatir. Saya tidak dapat tidur dan menjadi tidak bahagia. Saya mula berfikir, “Apa guna saya terus hidup?” Saya sangat keliru dan bertanya kepada Tuhan, “Di manakah saya dapat mencari kebahagiaan sejati?”
BAGAIMANA BIBLE MENGUBAH HIDUP SAYA
Sekitar waktu itu, dua orang kakak saya yang merupakan Saksi-Saksi Yehuwa telah berpindah ke Las Vegas. Biarpun saya tidak mahu membaca bahan bacaan mereka, saya bersetuju untuk baca Bible bersama-sama mereka. Dalam Bible peribadi saya, kata-kata Yesus dicetakkan dalam warna merah. Memandangkan saya hanya terima ajaran Yesus, mereka berfokus kepada kata-katanya semasa bercakap dengan saya. Saya juga membaca Bible semasa bersendirian.
Ada banyak hal dalam Bible yang buat saya terkejut kerana bercanggahan dengan apa yang saya belajar di gereja. Contohnya, Yesus mengajar bahawa kita tidak patut mengulangi doa kita seperti orang kafir, kerana mereka berfikir bahawa doa yang panjang akan didengari Tuhan. (Matius 6:7) Tetapi seorang paderi pernah memberi saya gambar Yesus. Dia berkata bahawa jika saya melihat gambar itu sambil mengucapkan doa Bapa kami dan mengucapkan doa kepada Maria sebanyak 10 kali, Tuhan akan memberi saya duit yang diperlukan. Jadi, saya pun berfikir, “Jika saya buat begitu, bukankah saya sedang mengulangi doa saya?” Selain itu, Yesus pernah berkata, “Janganlah panggil sesiapa pun di bumi bapa kamu kerana kamu hanya mempunyai satu Bapa yang ada di syurga.” (Matius 23:9) Saya tertanya-tanya, “Mengapakah saya dan orang Katolik yang lain memanggil paderi sebagai ‘Father’ [atau ‘Bapa’]?”
Semasa saya membaca buku Yakobus, saya mula mempersoalkan kejayaan saya selama ini. Yakobus bab 4 berkata, “Tidakkah kamu tahu bahawa persahabatan dengan dunia bererti permusuhan dengan Tuhan? Oleh itu, sesiapa yang ingin menjadi sahabat dunia menjadikan dirinya musuh Tuhan.” (Yakobus 4:4) Saya lebih terkejut semasa membaca ayat 17 yang berkata, “Jika seseorang mengetahui cara untuk melakukan apa yang betul tetapi tidak melakukannya, dia sudah berdosa.” Selepas itu, saya memberitahu kakak-kakak saya bahawa saya akan berhenti bekerja dalam industri kasino kerana saya tidak mahu terlibat dengan hal-hal seperti berjudi dan ketamakan.
“Semasa saya membaca buka Yakobus, saya mula mempersoalkan kejayaan saya selama ini”
Saya juga bertekad untuk mengeratkan hubungan saya dengan Tuhan dan keluarga saya. Maka saya mula menyederhanakan kehidupan saya. Pada mulanya, hal itu tidak senang. Misalnya, saya mendapat tawaran yang lumayan daripada industri kasino. Mereka menawarkan saya gaji dua atau tiga kali ganda apa yang saya dapat sekarang. Tetapi, saya berdoa tentangnya, dan memutuskan untuk meninggalkan pekerjaan itu. Kemudian, saya tinggal bersama ibu saya dan memulakan perniagaan kecil untuk melaminat menu-menu restoran.
Walaupun Bible membantu saya mengutamakan hal-hal yang penting dalam hidup saya, saya masih enggan menghadiri perjumpaan Saksi-Saksi Yehuwa. Jadi, kakak saya tanya sama ada terdapat sesuatu yang saya tidak dapat terima tentang Saksi. Saya berkata, “Tuhan kamu menyebabkan keluarga orang tercerai-berai. Saya hanya dapat meluangkan masa bersama keluarga pada hari Krismas dan hari jadi. Tetapi kamu tidak sambut perayaan-perayaan itu.” Salah seorang kakak saya menangis dan menanya saya, “Bagaimana pula dengan hari-hari lain? Kami sentiasa menyambut kamu dengan tangan terbuka. Tapi kamu hanya mahu datang pada hari perayaan, dan itu pun sebab terpaksa.” Kata-katanya menusuk hati saya dan saya mula menangis.
Apabila saya sedar bahawa Saksi-Saksi Yehuwa sangat mengasihi keluarga dan sanak saudara, saya terus berusaha menghadiri perjumpaan mereka. Di sana, saya berkenalan dengan Kevin, seorang guru Bible yang berpengalaman. Dialah yang mula belajar Bible dengan saya.
Kehidupan Kevin dan isterinya sangat sederhana. Mereka meluangkan sebanyak masa yang mungkin untuk membantu orang mempelajari Bible. Pendapatan mereka juga cukup untuk membiayai perjalanan mereka ke Afrika dan Amerika Tengah. Di sana, mereka membantu dalam kerja pembinaan pejabat cawangan para Saksi. Mereka sangat bahagia dan saling mengasihi. Saya pun berfikir, “Saya pun mahu hidup bahagia seperti mereka.”
Selepas Kevin menunjukkan sebuah video tentang khidmat mubaligh, saya bertekad untuk menceburinya. Pada tahun 1995, selepas belajar Bible selama enam bulan, saya dibaptis sebagai Saksi-Saksi Yehuwa. Sekarang, saya tidak lagi berdoa untuk mendapat kekayaan. Sebaliknya, saya berdoa, “Janganlah memberi aku kemiskinan ataupun kekayaan.”—Amsal 30:8.
MANFAAT YANG SAYA TERIMA
Kini, saya kaya dan makmur, bukan dari segi kewangan, tetapi secara rohani. Saya telah berjumpa dengan Nuria di Honduras, dan kami telah berkahwin lalu berkhidmat sebagai mubaligh di Panama dan Mexico. Alangkah benarnya kata-kata Bible ini: “Berkat Yehuwalah yang menjadikan seseorang kaya, dan berkat-Nya tidak disertai kepedihan hati”!—Amsal 10:22.