BIBLE MENGUBAH HIDUP
“Saya Tidak Lagi Berasa Malu pada Diri Sendiri”
Tahun Lahir: 1963
Negara Asal: Mexico
Latar Belakang: Anak gelandangan; perasaan rendah diri
KISAH SILAM SAYA
Saya dilahirkan di Ciudad Obregón yang terletak di bahagian utara Mexico. Ibu bapa saya mempunyai sembilan orang anak dan saya ialah anak yang kelima. Kami tinggal tidak jauh dari bandar, tempatnya selesa, dan bapa saya memiliki sebuah ladang kecil di sana. Keluarga kami hidup harmoni dan bahagia. Sedihnya, ladang kami dimusnahkan oleh taufan semasa saya berumur lima tahun, dan kami terpaksa berpindah ke pekan yang lain.
Bapa saya semakin kaya, tetapi pada masa yang sama dia juga menjadi seorang kaki botol. Hal ini membawa kesan buruk kepada perkahwinannya dan juga terhadap kami sebagai anak-anaknya. Kami mula menghisap rokok yang dicuri daripada bapa. Saya menjadi mabuk buat kali pertama semasa saya hanya berumur enam tahun. Tidak lama kemudian, ibu bapa saya berpisah dan perangai saya menjadi semakin teruk.
Ibu saya membawa kami bersamanya untuk tinggal dengan seorang lelaki lain. Lelaki itu tidak memberi wang kepada ibu saya, dan pendapatan ibu memang tidak mencukupi untuk menampung kami semua. Jadi saya dan adik-beradik melakukan apa sahaja kerja yang kami mampu, tetapi wang yang diperoleh masih tidak mencukupi untuk menampung keperluan asas kami. Saya menggilap kasut dan menjual roti, surat khabar, gula getah, dan sebagainya. Saya juga merayau-rayau sekitar bandar untuk mencari makanan daripada tong sampah di luar rumah orang kaya.
Semasa saya berumur 10 tahun, seorang lelaki menjemput saya untuk bekerja bersamanya di tempat pembuangan sampah. Saya menerima tawaran itu, lalu berhenti sekolah, dan meninggalkan rumah. Lelaki itu membayar gaji sebanyak 10 Peso Mexico (kira-kira RM2.10) setiap hari, dan memberi saya makanan yang dikutip daripada tempat pembuangan sampah. Saya tinggal di dalam sebuah pondok yang saya bina sendiri dengan menggunakan bahan buangan. Orang di sekeliling saya menggunakan kata-kata lucah dan mereka biasa dengan perbuatan seks yang tidak bermoral. Ramai di antara mereka ketagihan dadah dan alkohol. Itulah detik yang paling teruk dalam hidup saya. Saya menangis setiap malam dan gementar akibat ketakutan. Saya berasa sangat malu kerana saya miskin dan tidak berpendidikan. Saya tinggal di tempat pembuangan sampah selama tiga tahun, sehingga saya pindah ke negeri lain dalam Mexico. Di sana saya bekerja dalam ladang, memetik bunga dan kapas, mengumpul tebu, dan menuai kentang.
Empat tahun kemudian saya pindah balik ke Ciudad Obregón. Saya tinggal di rumah mak long saya, yang merupakan seorang bomoh. Saya mula mengalami mimpi-mimpi buruk dan menjadi begitu murung sehingga ingin bunuh diri. Pada suatu malam saya berdoa kepada Tuhan, “Tuan, jika engkau wujud, saya ingin mengenali engkau dan menyembah engkau selama-lamanya. Jika ada agama yang sejati, saya ingin mengetahuinya.”
BAGAIMANA BIBLE MENGUBAH HIDUP SAYA
Saya selalu berminat tentang hal-hal rohani. Sejak kecil, saya telah pergi ke banyak gereja, tetapi mereka semua mengecewakan saya. Tiada satu pun daripada kalangan mereka yang mengajar tentang Bible atau dapat memenuhi keperluan rohani saya. Sesetengah gereja terlalu mementingkan wang, dan ada pula yang membiarkan anggota mereka melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral.
Apabila saya berumur 19 tahun, salah seorang abang ipar saya berkongsi dengan saya tentang apa yang dia dengar daripada Saksi-Saksi Yehuwa. Mereka telah menunjukkannya apa yang Bible katakan tentang penggunaan patung berhala. Dia membacakan Keluaran 20:4, 5 kepada saya. Ayat itu berkata bahawa kita tidak harus membuat patung berhala. Ayat 5 berbunyi, “Jangan menyembah atau bersujud kepada patung apa pun, kerana Akulah Yehuwa, Tuhan kamu. Sembahlah Aku sahaja.” Kemudian abang ipar saya bertanya, “Jika Tuhan menggunakan patung untuk melakukan mukjizat atau mahu kita menggunakan patung dalam ibadat, mengapakah Tuhan melarang amalan ini?” Soalannya membuat saya berfikir. Selepas itu, kami teruskan perbincangan tentang topik-topik Bible. Saya begitu menikmati perbincangan itu sehingga tidak sedar masa sudah pun berlalu.
Pada kemudian hari, dia membawa saya ke perjumpaan Saksi-Saksi Yehuwa. Saya rasa sangat kagum dengan apa yang saya lihat dan dengar di sana. Bahkan orang muda juga mengambil bahagian dalam program tersebut dan bertutur dengan begitu lancar dari pentas! Saya berfikir, ‘Mereka mendapat pendidikan yang sungguh hebat di sini!’ Walaupun rambut saya panjang dan penampilan saya tidak terurus, Saksi-Saksi masih mengalu-alukan saya dengan mesra. Sebuah keluarga malah menjemput saya makan malam bersama mereka selepas perjumpaan!
Melalui pembelajaran Bible dengan para Saksi, saya telah belajar bahawa Tuhan Yehuwa ialah seorang Bapa yang penyayang. Dia mengambil berat tentang kita tanpa mengira kita miskin atau kaya, berpendidikan atau tidak. Taraf sosial dan kaum kita tidak penting bagi Tuhan. Dia tidak berat sebelah. (Kisah 10:34, 35) Akhirnya, keperluan rohani saya telah pun dipenuhi. Hidup saya tidak rasa kosong lagi.
MANFAAT YANG SAYA TERIMA
Seluruh hidup saya mula bertambah baik secara mendadak! Saya berhenti merokok, menyalahgunakan alkohol, dan menggunakan kata-kata lucah. Perasaan dendam yang saya rasai sejak zaman kanak-kanak saya mulai hilang. Begitu juga dengan mimpi-mimpi buruk saya. Saya juga berjaya memulihkan keyakinan diri saya yang dahulunya hancur akibat trauma yang dialami semasa kecil dan disebabkan kekurangan pendidikan.
Kini saya mempunyai seorang isteri yang mengasihi Yehuwa dan dia banyak membantu saya. Hari ini, saya berkhidmat sebagai seorang penyelia lawatan Saksi-Saksi Yehuwa. Saya melawat sidang-sidang bagi menggalakkan dan mengajar saudara saudari dalam keluarga rohani saya. Saya berasa syukur kerana mendapat pendidikan yang terbaik daripada Tuhan dan juga kesegaran daripada Bible. Saya tidak lagi berasa malu pada diri sendiri.