Pembelajaran Bible menerusi Telefon Awam
Daiane merupakan seorang Saksi-Saksi Yehuwa yang menginjil sepenuh masa di Brazil. Pada suatu hari, semasa mengongsikan mesej Bible menerusi panggilan telefon, Daiane bercakap kepada sepasang suami isteri muda yang menunjukkan minat. Pasangan itu memberitahu Daiane bahawa mereka akan berpindah ke sebuah kampung terpencil yang tiada bekalan elektrik atau sambungan Internet. Selain itu, tiada Saksi-Saksi Yehuwa yang tinggal di situ. Jadi, untuk meneruskan perbincangan mereka, pasangan itu memberikan nombor sebuah telefon awam di kampung itu kepada Daiane, dan mereka mengaturkan hari dan masa untuk membincangkan Bible.
Pada masa yang dijanjikan, Daiane menelefon telefon awam itu, dan pasangan tersebut mengangkat telefon! Untuk dua minggu berikutnya, Daiane membincangkan Bible bersama mereka tiga kali lagi.
Tetapi selepas itu, pasangan itu tidak menjawab panggilan Daiane lagi. Meskipun begitu, Daiane tidak berputus asa. Dia terus menelefon telefon awam itu tiga kali seminggu dan membincangkan Bible dengan sesiapa sahaja yang jawab. Hasilnya, dia memulakan pembelajaran Bible dengan beberapa orang dari kampung itu.
Suatu hari, semasa Daiane dan suaminya mengadakan pembelajaran Bible dengan seorang lelaki muda menerusi telefon awam itu, seorang pemimpin gereja dari kampung itu terdengar perbualan mereka. Jadi dia pun berdiri di sebelah lelaki muda itu supaya dapat mendengar perbualan mereka dengan lebih jelas. Kemudian pemimpin gereja itu meminta izin untuk bercakap dengan Daiane dan suaminya. Rupa-rupanya dia sangat suka dengan apa yang didengarinya dan dia juga mahu belajar Bible!
Dengan menggunakan telefon awam itu, Daiane dan suaminya telah mengadakan enam pembelajaran Bible di kampung terpencil itu, termasuk pembelajaran bersama pemimpin gereja itu. Ada antara pelajar Bible mereka sudah mula menghadiri perjumpaan. Mereka mendengar program perjumpaan menerusi telefon awam yang sama. Salah seorang daripada mereka bahkan membuat sebuah bangku supaya mereka boleh duduk semasa membincangkan Bible.
Daiane dan suaminya bersyukur kerana berpeluang menyebarkan berita tentang Kerajaan Tuhan di kampung terpencil ini. Daiane berkata, “Yehuwa dapat memastikan agar berita baik disebarkan kepada semua orang, bahkan kepada orang di tempat yang terpencil.”