“Kejujuran Amat Berkuasa”
Danielle merupakan seorang Saksi-Saksi Yehuwa di Afrika Selatan. Pernah sekali, dia terjumpa beg milik seorang pelanggan yang tertinggal di sebuah kafe. Dalam beg itu ada dompet yang berisi wang dan kad kredit. Danielle bertekad untuk mengembalikannya. Jadi dia cuba mencari alamat atau nombor telefon pemilik beg itu tetapi yang ada hanyalah nama seorang lelaki. Dia cuba mencari lelaki itu dengan menghubungi bank kad kredit lelaki itu, tetapi usahanya tidak membuahkan hasil. Meskipun demikian, dia tidak berputus asa. Dalam beg itu terdapat resit doktor dan nombor telefon klinik itu. Maka, Danielle menelefon klinik itu, dan penyambut tetamu yang menjawab panggilannya bersetuju untuk memberikan nombor telefon Danielle kepada lelaki itu.
Semasa lelaki tersebut menerima panggilan itu, dia terkejut mendengar bahawa seseorang terjumpa begnya dan ingin mengembalikannya. Apabila Danielle dan ayahnya berjumpa dengan lelaki itu, mereka mengambil kesempatan untuk memberitahunya mengapa mereka telah berusaha untuk mencarinya. Mereka menjelaskan bahawa sebagai Saksi-Saksi Yehuwa, mereka ingin hidup selaras dengan prinsip Bible. Itulah sebabnya mereka mahu bersikap jujur dalam segala hal.—Ibrani 13:18.
Beberapa jam kemudian, lelaki itu menghantar mesej kepada Danielle dan ayahnya. Dia mengucapkan terima kasih sekali lagi kerana mengembalikan beg dan dompetnya. Lelaki itu menulis, “Saya sangat menghargai usaha kamu untuk mencari saya. Saya amat gembira dapat jumpa kamu dan keluarga kamu. Saya akan selalu ingat kebaikan hati dan keramahan yang kamu tunjukkan. Sebagai tanda penghargaan, saya ingin memberi kamu sumbangan. Saya tahu kamu sudi membuat pengorbanan demi Tuhan kamu. Perbuatan kamu membuktikan bahawa kamu orang yang jujur dan baik. Sekali lagi saya ingin cakap terima kasih dan semoga Tuhan memberkati tugas suci kamu.”
Beberapa bulan kemudian, ayah Danielle menghubungi lelaki itu lagi. Lelaki itu beritahunya bahawa baru-baru itu dia terjumpa dompet seseorang di atas lantai semasa membeli-belah. Belakangan, dia menemui pemilik dompet itu dan memulangkannya kepada wanita tersebut. Dia juga menjelaskan kepada wanita itu sebabnya dia berbuat demikian. Dia memberitahu wanita itu bahawa dia pun kehilangan beg baru-baru ini dan ada orang baik yang mengembalikan beg itu kepadanya. Dia berkata, “Kejujuran amat berkuasa dan dapat mendorong orang lain untuk bersikap jujur juga. Hasilnya, masyarakat akan menjadi lebih baik.”