Dia Belajar daripada Para Banduan
Pada tahun 2011, seorang pelarian dari Eritrea telah datang ke Norway. Semasa lelaki tersebut dilawat oleh Saksi-Saksi Yehuwa, dia memberitahu mereka bahawa dia pernah berjumpa dengan para Saksi di kampung halamannya. Dia berkata bahawa semasa dia seorang anggota tentera, dia pernah melihat para Saksi yang dipenjarakan kerana iman mereka. Walaupun mereka diperlakukan dengan kasar, mereka tetap enggan dipaksa untuk memasuki tentera.
Suatu kejadian yang tiba-tiba menimpa lelaki itu telah menyebabkannya dipenjarakan. Semasa di situ, dia mendapati terdapat tiga orang Saksi yang ditahan bersamanya, iaitu Paulos Eyasu, Negede Teklemariam, dan Isaac Mogos. Mereka telah dipenjarakan sejak tahun 1994 kerana iman mereka.
Semasa di dalam penjara, lelaki itu telah menyaksikan dengan matanya sendiri bahawa Saksi-Saksi Yehuwa hidup selaras dengan ajaran mereka. Dia melihat sifat kejujuran para Saksi dan kerelaan untuk berkongsi makanan mereka dengan banduan lain. Dia juga telah memerhatikan bagaimana para Saksi mengkaji Bible bersama-sama setiap hari dan menjemput banduan lain untuk turut menyertai mereka. Apabila mereka ditawarkan kebebasan dengan syarat menandatangani kenyataan untuk meninggalkan kepercayaan mereka, mereka menolak tawaran itu.
Pengalaman ini telah meninggalkan kesan yang mendalam pada lelaki itu. Setelah dia menetap di Norway, dia ingin mengetahui apa sebabnya Saksi-Saksi Yehuwa memiliki iman yang begitu kuat. Oleh itu, ketika para Saksi menghubunginya, dia pun segera menerima pembelajaran Bible bersama mereka serta menghadiri perjumpaan mereka.
Pada September 2018, lelaki itu dibaptis sebagai salah seorang Saksi-Saksi Yehuwa. Kini, dia mengambil setiap peluang yang ada untuk menghubungi orang yang berasal dari Eritrea dan Sudan, dan menggalakkan mereka untuk mempelajari Bible supaya dapat membina iman yang kuat.