Mereka Memakai Lencana Segi Tiga Ungu
Seorang wanita bernama Maud tinggal di Perancis. Dia bekerja di sebuah sekolah untuk membantu kanak-kanak yang kurang upaya. Baru-baru ini, murid-murid di sebuah kelas belajar tentang Holocaust dan kem konsentrasi Nazi. Tahanan kem harus memakai seragam dengan lencana berwarna. Warna dan bentuk setiap lencana menunjukkan sebab seseorang dipenjarakan.
Terdapat beberapa tahanan yang memakai lencana segi tiga ungu. Semasa membincangkan hal ini, seorang guru berkata, “Saya rasa lencana itu merujuk kepada tahanan homoseksual.” Selepas kelas tersebut selesai, Maud menjelaskan kepada guru itu bahawa orang Nazi menggunakan lencana segi tiga warna ungu untuk Saksi-Saksi Yehuwa. a Dia meminta izin untuk mengongsi maklumat tentang topik itu kepada kelas. Guru itu bersetuju dengan cadangan Maud.
Terdapat seorang lagi guru yang membincangkan topik yang sama dalam kelasnya. Dia menggunakan sebuah carta yang menunjukkan pelbagai jenis lencana yang diberikan kepada tahanan. Carta itu dengan tepat menyatakan bahawa lencana segi tiga ungu digunakan untuk Saksi-Saksi Yehuwa. Selepas kelas tersebut selesai, Maud menanya guru itu jika dia boleh mengongsi maklumat tentang topik itu. Guru itu bersetuju dan membuat aturan agar Maud dapat menjelaskan topik itu kepada murid-murid dalam kelas.
Maud telah menyediakan sebuah penyampaian yang panjangnya 15 minit. Apabila tiba masa dia memberikan penyampaian, guru itu berkata, “Kamu boleh menggunakan satu jam.” Maud pun mula menunjukkan sebuah dokumentari tentang Saksi-Saksi Yehuwa yang dianiayai oleh orang Nazi. Sebahagian video itu menunjukkan bagaimana orang Nazi merampas 800 orang anak-anak Saksi daripada ibu bapa mereka. Apabila bahagian itu ditayangkan, Maud menghentikan video itu untuk seketika dan membaca pengalaman tiga orang kanak-kanak. Selepas selesai menayangkan video itu, Maud menyimpulkan bahagiannya dengan membacakan surat perpisahan Gerhard Steinacher yang ditulis pada tahun 1940. Dia ialah seorang Saksi dari Austria yang berusia 19 tahun. Dia menulis surat itu kepada ibu bapanya beberapa jam sebelum dihukum mati oleh orang Nazi. b
Maud memberikan penyampaian yang sama di kelas yang kedua. Oleh sebab keberanian Maud, kedua-dua cikgu kini menyebut tentang Saksi-Saksi Yehuwa semasa mengajar murid-murid tentang mangsa kem konsentrasi Nazi.
a Semasa Perang Dunia Kedua, Saksi-Saksi Yehuwa di Jerman, yang juga dikenali sebagai Bibelforscher (Pelajar Bible), dipenjarakan kerana mereka enggan menyokong rejim Nazi.
b Gerhard Steinacher dihukum mati kerana enggan menyertai tentera Jerman. Dalam suratnya, dia berkata, “Saya masih muda. Saya hanya dapat tetap teguh dengan kekuatan yang diberikan Tuhan. Itulah yang akan saya mohon daripada-Nya.” Keesokan paginya, Gerhard dijatuhkan hukuman mati. Kata-kata ini terpahat pada batu nisannya: “Dia mati untuk memuliakan Tuhan.”