Mengapakah Saksi-Saksi Yehuwa Tidak Menyambut Hari Jadi?
Saksi-Saksi Yehuwa tidak menyambut hari jadi kerana kami percaya sambutan tersebut tidak menyenangkan Tuhan. Walaupun tiada ayat Bible yang secara terus terang melarang sambutan hari jadi, Bible membantu kita memahami asal usul sambutan ini dan pandangan Tuhan tentangnya. Perhatikan empat aspek berikut dan prinsip Bible yang berkaitan dengannya.
Sambutan hari jadi berasal daripada kepercayaan kafir. Menurut buku Funk & Wagnalls Standard Dictionary of Folklore, Mythology, and Legend, sambutan hari jadi berasal daripada kepercayaan bahawa “pengaruh dan roh jahat dapat menyerang seseorang pada hari jadinya.” Maka “kehadiran kawan-kawan dan ucapan selamat dapat melindungi orang itu.” Buku The Lore of Birthdays mengatakan bahawa pada zaman kuno, tarikh lahir sangat “penting untuk mengetahui horoskop” seseorang berdasarkan “ilmu astrologi.” Buku itu juga mengatakan bahawa “menurut kepercayaan orang, lilin yang digunakan semasa hari jadi mempunyai kuasa ajaib untuk mengabulkan hajat.”
Bible mengutuk amalan sihir, ilmu ramal, atau segala perbuatan yang berkaitan dengannya. (Ulangan 18:14; Galatia 5:19-21) Itulah salah satu sebabnya Tuhan mengutuk sebuah kota kuno yang bernama Babilon kerana penduduknya mengamalkan ilmu astrologi, iaitu sejenis ilmu ramal. (Yesaya 47:11-15) Saksi-Saksi Yehuwa tidak terlalu bertumpu untuk mencari tahu asal usul setiap adat. Namun, apabila terdapat arahan yang jelas daripada ayat-ayat Bible, kami akan mematuhinya.
Orang Kristian pada masa awal tidak menyambut hari jadi. Menurut buku The World Book Encyclopedia, orang Kristian masa awal “menganggap sambutan hari jadi sebagai adat kafir.” Bible menyatakan bahawa para rasul dan pengikut yang diajar oleh Yesus menetapkan teladan yang harus diikuti oleh semua orang Kristian.—2 Tesalonika 3:6.
Satu-satunya sambutan yang harus dirayakan oleh orang Kristian bukanlah kelahiran Yesus, tetapi kematiannya. (Lukas 22:17-20) Hal ini tidak menghairankan kerana Bible mengatakan bahawa “hari kematian lebih baik daripada hari kelahiran.” (Pengkhutbah 7:1) Pada akhir kehidupan Yesus di bumi, dia telah mengukir nama yang baik di hadapan Tuhan. Dengan itu, Yesus menjadikan hari kematiannya lebih penting daripada hari kelahirannya.—Ibrani 1:4.
Bible tidak pernah menyatakan bahawa hamba Tuhan menyambut hari jadi. Hal ini bukan kerana penulis Bible lupa untuk menulis tentangnya. Sebenarnya, terdapat dua catatan tentang perayaan hari jadi yang disambut oleh orang yang tidak menyembah Tuhan. Tetapi Bible menggambarkan kedua-dua sambutan ini dalam cara yang negatif.—Kejadian 40:20-22; Markus 6:21-29.
Adakah anak-anak Saksi-Saksi Yehuwa berasa terabai kerana tidak menyambut hari jadi?
Seperti ibu bapa yang lain, para Saksi menunjukkan kasih kepada anak mereka setiap masa. Mereka memberikan hadiah dan mengadakan jamuan yang menyeronokkan. Mereka cuba untuk meniru teladan Tuhan yang memberi perkara baik kepada anak-Nya pada bila-bila masa. (Matius 7:11) Anak-anak Saksi-Saksi Yehuwa tidak berasa terabai, seperti yang dikatakan dalam komen berikut:
“Lebih seronok terima hadiah apabila kamu tidak menjangkakannya.”—Tammy, 12 tahun.
“Walaupun saya tidak dapat hadiah semasa hari jadi saya, ibu bapa saya masih memberikan hadiah pada masa yang lain. Saya suka cara itu kerana saya dapat surprise.”—Gregory, 11 tahun.
“Kamu rasa seronok sekejap, makan kek, dan nyanyi lagu ialah parti? Datanglah rumah saya dan lihat apa itu parti!”—Eric, 6 tahun.