Lompat ke kandungan

Mengapakah Saksi-Saksi Yehuwa Tidak Menyambut Sesetengah Perayaan?

Mengapakah Saksi-Saksi Yehuwa Tidak Menyambut Sesetengah Perayaan?

 Bagaimanakah Saksi-Saksi Yehuwa menentukan sama ada suatu perayaan boleh disambut atau tidak?

 Saksi-Saksi Yehuwa akan membuat keputusan berdasarkan maklumat yang terkandung dalam Bible. Jika suatu perayaan jelas melanggar ajaran-ajaran Bible, mereka tidak akan menyambutnya. Tetapi berkenaan perayaan-perayaan yang lain, setiap Saksi akan membuat keputusan peribadi, dan mereka “berusaha untuk memiliki hati nurani yang bersih di hadapan Tuhan dan di hadapan manusia.”​—Kisah 24:16.

 Berikut merupakan beberapa soalan yang dipertimbangkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa sewaktu menentukan sama ada suatu perayaan boleh disambut atau tidak: a

  •   Adakah perayaan ini melanggar prinsip Bible?

     Prinsip Bible: “‘Keluarlah daripada kalangan mereka, dan asingkanlah diri daripada mereka,’ firman Yehuwa, ‘dan jangan lagi menyentuh perkara yang najis.’”​—2 Korintus 6:​15-​17.

     Untuk mengasingkan diri daripada “perkara yang najis,” iaitu ajaran yang melanggar prinsip Bible, Saksi-Saksi Yehuwa tidak akan menyambut perayaan yang mempunyai ciri-ciri berikut:

     Perayaan yang berasal daripada kepercayaan atau penyembahan tuhan-tuhan lain. Yesus berkata, “Kamu mesti menyembah Yehuwa, Tuhanmu, dan kamu mesti memberikan khidmat suci kepada Dia sahaja.” (Matius 4:​10) Maka, Saksi-Saksi Yehuwa tidak menyambut Krismas (Hari Natal), Easter, atau May Day, kerana perayaan-perayaan ini berkaitan dengan penyembahan tuhan-tuhan lain, dan bukannya Yehuwa. Selain itu, mereka tidak menyertai perayaan-perayaan yang berikut:

    •  Perayaan Kwanzaa. Perkataan Kwanzaa “berasal daripada bahasa Swahili matunda ya kwanza, yang bererti ‘tuaian pertama’ dan [hal ini] menunjukkan bahawa perayaan ini berasal daripada perayaan menuai yang pertama yang dicatatkan dalam sejarah Afrika.” (Encyclopedia of Black Studies) Meskipun sesetengah orang berpendapat bahawa Kwanzaa bukanlah perayaan keagamaan, sebuah ensiklopedia telah menyamakan Kwanzaa dengan perayaan musim menuai Afrika. Dalam perayaan musim menuai Afrika, orang mempersembahkan hasil tuaian yang pertama “kepada dewa dewi dan nenek moyang sebagai tanda syukur.” Ensiklopedia itu turut menyatakan bahawa Kwanzaa, yang merupakan sebuah perayaan yang disambut di Amerika, didasarkan pada kepercayaan ini.​—Encyclopedia of African Religion.

      Perayaan Kwanzaa

    •  Perayaan Kuih Bulan. Perayaan ini juga dikenali sebagai Perayaan Pertengahan Musim Luruh. Perayaan ini bertujuan untuk “menyembah dewi bulan.” (Holidays, Festivals, and Celebrations of the World Dictionary) Dalam perayaan ini, kaum wanita dalam sesebuah keluarga akan bersujud kepada dewi bulan.​—Religions of the World​—A Comprehensive Encyclopedia of Beliefs and Practices.

    •  Perayaan Nauruz (Nowruz). “Perayaan ini berasal daripada Zoroastrianisme, dan merupakan salah satu hari yang paling suci dalam kalender Zoroaster kuno. . . . Semangat Tengah Hari, yang dikenali sebagai [Rapithwin], dipercayai telah diusir ke bawah tanah oleh Semangat Musim Sejuk semasa musim sejuk. Maka untuk menyambut kembali Semangat Tengah Hari, perayaan ini disambut pada waktu tengah hari pada hari Nowruz menurut tradisi Zoroaster.”​—Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

    •  Perayaan Shab-e Yalda. Menurut buku Sufism in the Secret History of Persia, perayaan solstis musim sejuk ini “memang berkaitan dengan penyembahan dewa Mitra,” iaitu dewa cahaya. Perayaan ini juga mungkin berkaitan dengan penyembahan dewa dewi matahari orang Roma dan orang Yunani. b

    •  Hari Kesyukuran. Seperti perayaan Kwanzaa, perayaan ini berasal daripada perayaan musim menuai zaman kuno yang bertujuan untuk memuja dewa dewi. Dengan peredaran masa, “adat kuno ini telah dianggap sebagai sebahagian daripada perayaan gereja Kristian.”​—A Great and Godly Adventure​—The Pilgrims and the Myth of the First Thanksgiving.

     Perayaan untuk membawa tuah atau yang berdasarkan kepercayaan karut. Bible menyatakan bahawa Tuhan tidak akan menerima orang yang “menyediakan meja makan bagi Dewa Nasib.” (Yesaya 65:11) Maka, Saksi-Saksi Yehuwa tidak merayakan perayaan-perayaan yang berikut:

    •  Perayaan Ivan Kupala. “Orang percaya bahawa pada hari [Ivan Kupala], alam semula jadi akan mengeluarkan kuasa ghaib dan orang yang bertuah dan berani dapat memiliki kuasa ghaib itu.” (The A to Z of Belarus) Pada mulanya, perayaan ini ialah perayaan kafir untuk merayakan solstis musim panas. Tetapi, sebuah ensiklopedia menyatakan bahawa “pada kemudian hari, perayaan ini diterima sebagai sebahagian daripada perayaan Gereja [iaitu, “hari santos” Yohanes Pembaptis].”—Encyclopedia of Contemporary Russian Culture.

    •  Perayaan Tahun Baharu Qamari (Tahun Baharu Cina atau Tahun Baharu Korea). “Pada waktu perayaan tahun baharu, ahli keluarga, kawan-kawan, dan saudara-mara sangat mementingkan tuah. Mereka memuja dewa dewi dan roh-roh agar mendapat tuah pada tahun yang akan datang.” (Mooncakes and Hungry Ghosts​—Festivals of China) Begitu juga, Tahun Baharu Korea “merangkumi pemujaan nenek moyang, dan upacara untuk menghalau roh-roh jahat dan membuang sial. Selain itu, mereka akan berjumpa dengan tukang tilik untuk mengetahui nasib mereka pada tahun yang akan datang.”​—Encyclopedia of New Year’s Holidays Worldwide.

      Tahun Baharu Cina

     Perayaan yang berdasarkan kepercayaan bahawa roh atau jiwa manusia tidak akan mati. Bible jelas menyatakan bahawa jiwa yang berdosa akan mati. (Yehezkiel 18:4, Alkitab Versi Borneo) Itulah sebabnya Saksi-Saksi Yehuwa tidak menyambut perayaan-perayaan yang berikut:

    •  Perayaan All Souls’ Day (Hari Orang Mati). Hari ini dikhaskan untuk “memperingati semua orang baik yang telah mati.” Selain itu, “sepanjang Zaman Pertengahan, orang percaya bahawa roh-roh orang mati yang sedang dimurnikan dalam api penyucian akan keluar pada hari ini dan menjadi hantu, ahli sihir, kodok, dsb., dan mengacau orang yang pernah berdosa terhadap mereka.”​—New Catholic Encyclopedia.

    •  Pesta Qingming dan Perayaan Hantu Lapar. Kedua-dua perayaan ini disambut untuk menghormati nenek moyang yang sudah meninggal. Menurut buku Celebrating Life Customs Around the World—From Baby Showers to Funerals, “pada hari Qingming, makanan, minuman, dan duit kertas dibakar agar orang mati tidak kelaparan, kehausan, atau kekurangan wang.” Buku itu juga menyatakan bahawa “sepanjang Bulan Hantu Lapar, terutamanya pada malam bulan purnama, [orang percaya] bahawa orang yang mati lebih senang berhubung dengan orang yang hidup. Oleh itu, mereka harus mengambil langkah untuk menyenangkan roh-roh orang mati dan menghormati nenek moyang mereka.”

    •  Perayaan Chuseok. Semasa perayaan ini, orang akan “mempersembahkan makanan dan wain kepada roh orang mati.” Mereka berbuat demikian kerana “mempercayai bahawa roh akan terus hidup selepas kematian.”​—The Korean Tradition of Religion, Society, and Ethics.

     Perayaan yang berkaitan dengan ilmu sihir, termasuk astrologi. Bible menyatakan, “Jangan mengamalkan ilmu ramal atau ilmu sihir. Jangan mencari petanda atau menjadi tukang sihir. Jangan mengenakan jampi kepada orang lain, dan jangan mencari bomoh atau meminta nasihat daripada tukang tilik. Jangan meminta petunjuk daripada orang mati. Yehuwa sangat membenci sesiapa yang melakukan perkara-perkara keji tersebut.” (Ulangan 18:10-​12) Itulah sebabnya Saksi-Saksi Yehuwa tidak menyambut perayaan Halloween atau perayaan-perayaan yang berikut:

    •  Tahun Baharu Tamil dan Sinhala. “Adat resam yang berkaitan dengan perayaan ini . . . termasuk kegiatan-kegiatan tertentu yang dilakukan pada masa yang disyorkan oleh ahli astrologi atau ahli nujum.”​—Encyclopedia of Sri Lanka.

    •  Perayaan Songkran. Nama perayaan ini “berasal daripada perkataan Sanskrit . . . yang membawa maksud ‘pergerakan’ atau ‘perubahan,’ dan [perayaan ini] menandakan bahawa matahari berada di tanda Aries,” iaitu lambang pertama dalam zodiak.​—Food, Feasts, and Faith​—An Encyclopedia of Food Culture in World Religions.

     Perayaan yang berkaitan dengan ibadat yang disebutkan dalam Hukum Musa, yang tidak perlu diamalkan selepas kematian Yesus. Bible menyatakan, “Kristus sudah menyebabkan Hukum tidak lagi berkuat kuasa.” (Roma 10:4) Orang Kristian dewasa ini masih dapat meraih manfaat daripada prinsip-prinsip yang terdapat dalam Hukum Musa. Tetapi mereka tidak menyambut perayaan yang disebut dalam Hukum Musa, khususnya perayaan yang dirayakan untuk menyambut kedatangan Mesias. Bible memberitahu kita bahawa “semua itu cumalah bayangan kepada hal-hal yang akan datang, tetapi perkara yang sebenar ialah Kristus.” (Kolose 2:​17) Selain itu, sesetengah orang yang menyambut perayaan sebegitu juga mengamalkan adat-adat yang tidak selaras dengan ajaran Bible. Itulah sebabnya Saksi-Saksi Yehuwa tidak menyambut perayaan yang berikut:

    •  Perayaan Hanukkah. Perayaan ini diadakan untuk memperingati pentahbisan semula Rumah Tuhan di Yerusalem. Namun, Bible menyatakan bahawa Yesus menjadi Imam Agung “khemah [atau, Rumah Tuhan] yang lebih penting dan lebih sempurna. Khemah ini tidak dibuat dengan tangan manusia, ertinya khemah ini bukan sebahagian daripada ciptaan di bumi.” (Ibrani 9:​11) Bagi orang Kristian, Rumah Rohani Tuhan telah menggantikan Rumah Tuhan yang terdapat di Yerusalem.

    •  Perayaan Rosh Hashanah. Perayaan ini menandakan hari pertama dalam tahun orang Yahudi. Pada zaman kuno, umat Tuhan mempersembahkan korban khas kepada Tuhan sempena perayaan ini. (Bilangan 29:​1-6) Tetapi kedatangan Yesus Kristus sebagai Mesias “menghentikan persembahan korban binatang dan pemberian hadiah” kepada Tuhan. Maka perayaan ini tidak lagi mendapat perkenan Tuhan.​—Daniel 9:​26, 27.

  •   Adakah perayaan ini mencampuradukkan kepercayaan beberapa agama?

     Prinsip Bible: “Apakah persamaan antara orang yang percaya dengan orang yang tidak percaya? Apakah kaitan antara Rumah Tuhan dengan berhala?”​—2 Korintus 6:​15-​17.

     Saksi-Saksi Yehuwa menghormati keputusan orang lain dan mahu hidup dengan damai bersama mereka. Tetapi Saksi-Saksi Yehuwa tidak akan merayakan perayaan yang mencampuradukkan kepercayaan beberapa agama yang berlainan. Contohnya:

     Perayaan yang berkaitan dengan tokoh agama atau peristiwa yang menggalakkan kesepakatan beberapa agama yang berlainan. Apabila Tuhan membimbing umat-Nya ke tanah baharu yang dihuni oleh orang yang mengamalkan agama lain, Dia berfirman, “Jangan membuat perjanjian dengan mereka atau tuhan-tuhan mereka. . . . Jika kamu menyembah tuhan-tuhan mereka, hal itu pasti akan menjadi jerat bagi kamu.” (Keluaran 23:32, 33) Itulah sebabnya Saksi-Saksi Yehuwa tidak menyambut perayaan-perayaan yang berikut:

    •  Perayaan Loy Krathong. Semasa orang Thai menyambut perayaan ini, “mereka membuat bekas kecil daripada daun, dan meletakkan lilin atau colok ke dalamnya, lalu membiarkan bekas-bekas itu terapung di atas air. Mereka percaya bahawa perbuatan itu dapat menghanyutkan nasib malang. Sebenarnya, perayaan ini memperingati kesan tapak kaki yang ditinggalkan oleh Buddha.”​—Encyclopedia of Buddhism.

    •  Hari Pertaubatan Kebangsaan (National Repentance Day). Sebuah akhbar Papua New Guinea, iaitu The National, menyatakan bahawa meskipun orang yang menyambut perayaan ini berasal daripada pelbagai aliran Kristian, mereka “bersetuju dengan ajaran asas kepercayaan Kristian.” Akhbar itu juga menyatakan bahawa perayaan ini bertujuan untuk menggalakkan rakyat menerapkan prinsip-prinsip Kristian.

    •  Hari Wesak. “Hari ini ialah hari yang paling suci bagi penganut agama Buddha, yang merayakan kelahiran Buddha, pencerahan agungnya, dan kematiannya atau kejayaannya untuk mencapai Nirvana.”​—Holidays, Festivals, and Celebrations of the World Dictionary.

      Hari Wesak

     Perayaan yang berdasarkan adat agama yang bercanggahan dengan ajaran Bible. Yesus memberitahu para guru agama, “Kamu telah menjadikan firman Tuhan tidak bernilai kerana adat istiadat kamu.” Dia juga berkata bahawa ibadat mereka sia-sia sahaja kerana mereka ‘mengajarkan perintah manusia seolah-olah perintah itu firman Tuhan.’ (Matius 15:​6, 9) Itulah sebabnya Saksi-Saksi Yehuwa tidak menyambut perayaan-perayaan yang berikut:

    •  Perayaan Epifani atau Hari Raya Penampakan Tuhan (Hari Tiga Raja, Timkat, atau Los Reyes Magos). Perayaan ini memperingati kunjungan ahli nujum atau pembaptisan Yesus. Perayaan ini “berasal daripada pesta musim bunga orang kafir, yang memuliakan dewa dewi sungai dan aliran air. Tetapi perayaan ini kemudiannya dijadikan sebagai perayaan Kristian.” (The Christmas Encyclopedia) Perayaan Timkat, yang berkait rapat dengan Perayaan Epifani, juga penuh dengan “adat resam atau tradisi manusia.”​—Encyclopedia of Society and Culture in the Ancient World.

    •  Pesta Pengangkatan Bonda Maria. Pesta ini berasaskan kepercayaan bahawa Maria, iaitu ibu Yesus, diangkat ke syurga dalam tubuh fizikalnya. “Kepercayaan ini tidak diketahui oleh orang Kristian zaman awal dan tidak disebutkan dalam Bible.”​—Religion and Society​—Encyclopedia of Fundamentalism.

    •  Hari Raya Santa Perawan Maria Dikandung Tanpa Noda. “Bible tidak mengajarkan bahawa [Maria] dikandung tanpa noda . . . [Perayaan ini] ditetapkan oleh Gereja.”​—New Catholic Encyclopedia.

    •  Pra-Paskah (Lent). Orang akan bertaubat dan berpuasa sepanjang waktu ini. Menurut New Catholic Encyclopedia, amalan ini diasaskan pada “abad keempat,” lebih daripada 200 tahun selepas penulisan Bible selesai. Berkenaan hari pertama Pra-Paskah, ensiklopedia ini menyatakan, “Amalan menerima abu pada hari Rabu Abu telah diamalkan secara meluas sejak Majlis Benevento tahun 1091.”

    •  Perayaan Meskel (atau Maskal). Perayaan Etiopia ini bertujuan untuk memperingati “penemuan Salib Sejati (salib yang digunakan untuk menggantungkan Kristus). Semasa perayaan ini, orang akan menyalakan unggun api dan menari-nari mengelilinginya.” (Encyclopedia of Society and Culture in the Medieval World; tanda kurung oleh penerbit) Tetapi, Saksi-Saksi Yehuwa tidak menggunakan salib dalam ibadat mereka.

  •   Adakah perayaan ini mengagungkan manusia, organisasi manusia, atau lambang kebangsaan?

     Prinsip Bible: “Inilah firman Yehuwa: ‘Terkutuklah orang yang berharap kepada manusia fana, yang bergantung pada kekuatan manusia, dan yang hatinya meninggalkan Yehuwa.’”​—Yeremia 17:5.

     Saksi-Saksi Yehuwa menghargai usaha orang lain dan bahkan berdoa bagi pihak mereka. Tetapi Saksi-Saksi Yehuwa tidak menyertai acara atau perayaan yang berikut:

     Perayaan yang mengagung-agungkan seorang pemerintah atau tokoh yang terkenal. Bible menyatakan, “Janganlah percaya kepada manusia fana. Mereka pun harus bernafas agar dapat terus hidup. Jadi, dapatkah mereka membantu kamu?” (Yesaya 2:​22) Oleh itu, Saksi-Saksi Yehuwa tidak menyambut hari kelahiran seseorang pemerintah manusia.

     Perayaan untuk memuja bendera. Saksi-Saksi Yehuwa tidak menyambut Hari Bendera. Mengapa? Hal ini demikian kerana Bible menyatakan, “Jauhkanlah diri kamu daripada berhala.” (1 Yohanes 5:​21) Dewasa ini, sesetengah orang tidak berpendapat bahawa bendera ialah berhala, atau objek yang disembah, tetapi sejarawan yang bernama Carlton J. H. Hayes menulis, “Lambang utama dan objek pemujaan utama nasionalisme ialah bendera.”

     Perayaan yang memuja santo atau santa. Apakah yang berlaku apabila Petrus disembah oleh seorang lelaki? Bible menyatakan, “Petrus membantunya berdiri sambil berkata, ‘Bangunlah, aku sendiri pun manusia.’” (Kisah 10:25, 26) Memandangkan Petrus atau mana-mana rasul menolak untuk dimuliakan atau disembah orang, Saksi-Saksi Yehuwa tidak menyertai acara atau perayaan yang memuliakan santo atau santa seperti:

    •  Hari Para Orang Kudus (All Saints’ Day). “Perayaan ini disambut untuk memuliakan semua orang kudus . . . Asal usul perayaan ini tidak dapat dikenal pasti.”​—New Catholic Encyclopedia.

    •  Pesta Bonda dari Guadalupe. Perayaan ini disambut untuk memuliakan “santa penaung Mexico.” Sesetengah orang percaya bahawa santa penaung yang dimaksudkan ialah Maria, ibu Yesus. Dia dikatakan telah menampakkan dirinya kepada seorang petani pada tahun 1531.​—The Greenwood Encyclopedia of Latino Literature.

      Pesta Bonda dari Guadalupe

    •  Hari Santo (Name Day). Menurut buku Celebrating Life Customs Around the World—From Baby Showers to Funerals, “Hari santo ialah hari memperingati seorang santo, dan orang yang dinamakan sempena nama santo itu semasa pembaptisannya atau penguatannya akan menyambut hari ini.” Buku ini juga menyatakan bahawa “hari ini berkait rapat dengan unsur-unsur keagamaan.”

     Sambutan yang menyokong pergerakan politik atau sosial. Bible menyatakan, “Lebih baik berlindung kepada Yehuwa daripada mengharapkan manusia.” (Mazmur 118:​8, 9) Saksi-Saksi Yehuwa tidak bergantung pada manusia untuk menyelesaikan masalah dunia. Maka mereka tidak menyambut Hari Belia, Hari Wanita, Hari Pembebasan, atau mana-mana perayaan yang menyokong kempen politik atau sosial. Sebaliknya, mereka mengharapkan Kerajaan Tuhan untuk menyelesaikan masalah dunia dan isu perkauman.​—Roma 2:​11; 8:​21.

  •   Adakah perayaan ini meninggikan suatu bangsa atau negara?

     Prinsip Bible: “Tuhan tidak berat sebelah. Orang daripada bangsa apa pun yang takut kepada-Nya dan berbuat benar diperkenankan-Nya.”​—Kisah 10:34, 35.

     Meskipun banyak Saksi-Saksi Yehuwa menyayangi tempat kelahiran mereka, mereka tidak akan menyambut perayaan-perayaan yang meninggikan bangsa atau negara mereka. Contohnya:

     Hari untuk memuliakan para pahlawan negara. Yesus tidak menggalakkan para pengikutnya untuk berperang. Sebaliknya dia memberitahu mereka, “Teruslah mengasihi musuhmu dan berdoalah bagi orang yang menganiaya kamu.” (Matius 5:44) Maka, Saksi-Saksi Yehuwa tidak akan menyambut hari untuk memuliakan para pahlawan negara, seperti:

    •  Hari Anzac. “Anzac ialah singkatan nama bagi pasukan tentera gabungan Australia dan New Zealand,” dan “Hari Anzac merupakan hari untuk memperingati para pahlawan yang terkorban dalam peperangan.”​—Historical Dictionary of Australia.

    •  Hari Veteran (Remembrance Day, Remembrance Sunday, atau Memorial Day). Hari-hari ini bertujuan untuk memperingati “para pahlawan negara dan orang yang terkorban dalam peperangan.”​—Encyclopædia Britannica.

     Sambutan hari bersejarah atau hari kemerdekaan suatu negara. Berkenaan para pengikutnya, Yesus berkata, “Mereka bukanlah sebahagian daripada dunia, sepertimana aku bukan sebahagian daripada dunia.” (Yohanes 17:16) Meskipun Saksi-Saksi Yehuwa suka mempelajari sejarah suatu negara, mereka tidak akan menyertai sambutan-sambutan yang berikut:

    •  Hari Australia. Sambutan Hari Australia diadakan untuk memperingati “hari pada tahun 1788 apabila askar Inggeris menaikkan bendera dan mengumumkan Australia sebagai tanah jajahan baharu.”​—Worldmark Encyclopedia of Cultures and Daily Life.

    •  Malam Guy Fawkes. Hari ini ialah “perayaan kebangsaan untuk memperingati kegagalan Guy Fawkes dan para penyokong Katolik untuk mengebom Raja James I dan Parlimen [England] pada tahun 1605.”​—A Dictionary of English Folklore.

    •  Hari Kemerdekaan. Beberapa negara menetapkan hari ini “untuk menyambut ulang tahun kemerdekaan negara mereka.”​—Merriam-Webster’s Unabridged Dictionary.

  •   Adakah perayaan ini dikaitkan dengan kelakuan yang liar dan tidak bermoral?

     Prinsip Bible: “Sudah cukup lama kamu melakukan kehendak bangsa-bangsa. Kamu berkelakuan buruk tanpa rasa malu, menurut nafsu yang tidak terkekang, minum berlebihan, berpesta liar, berpesta minum, dan menyembah berhala yang menjijikkan.”​—1 Petrus 4:3.

     Selaras dengan prinsip itu, Saksi-Saksi Yehuwa tidak menyambut perayaan yang dikaitkan dengan kemabukan dan pesta liar. Saksi-Saksi Yehuwa suka berkumpul bersama kawan-kawan mereka, tetapi mereka tidak minum minuman beralkohol secara berlebihan. Mereka berusaha untuk mengikut nasihat Bible berikut: “Sama ada kamu makan, minum, atau melakukan hal-hal yang lain, lakukanlah semuanya untuk memuliakan Tuhan.”​—1 Korintus 10:31.

     Oleh itu, Saksi-Saksi Yehuwa tidak menyertai karnival atau pesta-pesta lain yang menggalakkan kelakuan yang dikutuk dalam Bible. Hal ini merangkumi Perayaan Purim. Pada asalnya, Perayaan Purim disambut untuk memperingati pembebasan orang Yahudi pada abad kelima Sebelum Masihi. Tetapi dewasa ini, pesta ini “diumpamakan sebagai Mardi Gras atau Carnival versi Yahudi.” Orang yang menyambut perayaan ini “biasanya memakai kostum (selalunya lelaki berpakaian dan berdandan seperti wanita), berkelakuan liar, minum berlebihan, dan membuat bising.”​—Essential Judaism.

 Adakah Saksi-Saksi Yehuwa, yang tidak menyambut perayaan tertentu, masih mengasihi keluarga mereka?

 Ya. Bible mengajar orang untuk mengasihi dan menghormati semua ahli keluarga, tidak kira apa agama dan kepercayaan mereka. (1 Petrus 3:​1, 2, 7) Sememangnya ahli keluarga mungkin akan berasa sakit hati dan bahkan rasa dikhianati apabila seorang Saksi-Saksi Yehuwa tidak menyertai perayaan tertentu. Oleh itu, banyak Saksi-Saksi Yehuwa mengambil inisiatif untuk meyakinkan saudara-mara mereka akan kasih mereka, menjelaskan sebab mereka tidak menyambut perayaan tertentu, dan melawat saudara-mara mereka pada waktu yang lain.

 Adakah Saksi-Saksi Yehuwa menghalang orang lain daripada menyambut perayaan tertentu?

 Tidak. Mereka percaya bahawa setiap orang harus membuat keputusan masing-masing. (Yosua 24:15) Saksi-Saksi Yehuwa ‘menghormati segala macam orang,’ tidak kira apa sahaja agama yang dianuti mereka.​—1 Petrus 2:​17.

a Rencana ini tidak menyenaraikan semua perayaan yang tidak disambut oleh Saksi-Saksi Yehuwa. Rencana ini juga tidak menyatakan semua prinsip Bible yang berkenaan.

b Mithra, Mithraism, Christmas Day & Yalda, ditulis oleh K. E. Eduljee, muka surat 31-33.