Adakah Saksi-Saksi Yehuwa Membantu Mangsa-Mangsa Bencana?
Ya, Saksi-Saksi Yehuwa selalu membantu mangsa yang ditimpa bencana. Kami memberikan bantuan praktikal kepada Saksi-Saksi dan juga kepada mereka yang bukan Saksi. Hal ini selaras dengan perintah Bible yang tercatat di Galatia 6:10, “Kita patut berbuat baik kepada semua orang, terutama sekali kepada saudara-saudara kita yang seiman.” Kami juga berusaha memberikan bantuan dari segi emosi dan rohani kepada mangsa-mangsa bencana.—2 Korintus 1:3, 4.
Organisasi
Selepas bencana melanda, para penatua akan menghubungi semua ahli sidang di kawasan terbabit untuk memastikan mereka selamat dan mengenal pasti bantuan yang diperlukan. Kemudian para penatua akan memberikan laporan kepada Pejabat cawangan Saksi-Saksi Yehuwa tentang hasil tinjauan mereka dan bantuan yang telah diberikan.
Jika sidang-sidang di kawasan bencana tidak mampu menanggung keperluan mangsa, Badan Pimpinan Saksi-Saksi Yehuwa akan mengatur untuk menyediakan bantuan yang diperlukan. Hal ini serupa dengan orang Kristian zaman dahulu yang menjaga keperluan satu sama lain semasa ditimpa kebuluran. (1 Korintus 16:1-4) Pejabat cawangan tempatan akan melantik beberapa saudara sebagai ahli Jawatankuasa Bantuan Bencana untuk mengatur supaya segala usaha untuk membantu mangsa-mangsa bencana dapat dilaksanakan. Saksi-Saksi dari tempat lain juga rela menyumbangkan tenaga dan masa mereka untuk menghulurkan bantuan.—Amsal 17:17.
Kewangan
Sumbangan akan dihantar kepada pejabat cawangan Saksi-Saksi Yehuwa. Salah satu kegunaannya adalah untuk membantu mangsa bencana. (Kisah 11:27-30; 2 Korintus 8:13-15) Memandangkan kerja-kerja ini dilakukan secara sukarela, sumbangan yang diperuntukkan akan digunakan sepenuhnya untuk membantu mangsa-mangsa bencana tanpa kos pentadbiran. Kami memastikan sumbangan yang diterima digunakan dengan hemat.—2 Korintus 8:20.