Mengapakah Saksi-Saksi Yehuwa Tidak Mengambil Bahagian dalam Peperangan?
Saksi-Saksi Yehuwa tidak mengambil bahagian dalam peperangan kerana:
Mematuhi Tuhan. Bible menyatakan bahawa hamba Tuhan akan “menempa pedang menjadi bajak” dan “tidak lagi berperang.”—Yesaya 2:4.
Mematuhi Yesus. Yesus pernah berkata kepada rasul Petrus, “Sarungkan pedangmu kembali, kerana semua orang yang menggunakan pedang akan terbunuh dengan pedang.” (Matius 26:52) Maka, Yesus tidak ingin pengikutnya berperang.
Pengikut Yesus mematuhi perintahnya untuk tidak menjadi “milik dunia” dengan tetap neutral dalam urusan politik. (Yohanes 17:16) Mereka tidak membantah tindakan tentera atau mencampuri urusan orang lain yang memilih untuk memasuki perkhidmatan tentera.
Saling mengasihi. Yesus memberikan perintah kepada pengikutnya untuk “saling mengasihi.” (Yohanes 13:34, 35) Maka, mereka bersatu dalam persaudaraan sedunia dan tidak akan berperang melawan saudara atau saudari mereka.—1 Yohanes 3:10-12.
Contoh orang Kristian masa awal. Buku Encyclopedia of Religion and War menyatakan, “Pengikut-pengikut Yesus pada masa awal enggan berperang atau berkhidmat sebagai tentera,” kerana mereka menyedari bahawa tindakan ini “bertentangan dengan kasih yang diajarkan oleh Yesus serta perintah untuk mengasihi musuh.” Seorang ahli teologi Jerman yang bernama Peter Meinhold juga berkata, “Seorang Kristian yang menjadi askar dianggap melakukan sesuatu yang tidak dapat diterima.”
Ahli masyarakat yang bertanggungjawab
Saksi-Saksi Yehuwa merupakan ahli masyarakat yang bertanggungjawab. Kami tidak mengancam kesejahteraan negara dan kami mentaati para pemerintah. Hal ini selaras dengan perintah Bible berikut:
“Setiap orang harus taat kepada pemerintah.”—Roma 13:1.
‘Berikan apa yang menjadi milik Kaisar kepada Kaisar, dan berikan apa yang menjadi milik Tuhan kepada Tuhan.’—Matius 22:21.
Maka, kami mematuhi undang-undang, membayar cukai, dan bekerjasama dengan kerajaan demi kesejahteraan masyarakat.