Apakah yang Berlaku semasa Perkahwinan Saksi-Saksi Yehuwa?
Perkahwinan Saksi-Saksi Yehuwa ialah upacara yang ringkas dan penuh hormat, dan merangkumi ceramah Bible. Pasangan itu juga mungkin mengadakan majlis dan jamuan perkahwinan. a Yesus sendiri juga pernah menghadiri acara sebegitu di Kana.—Yohanes 2:1-11.
Bagaimanakah majlis perkahwinan diadakan?
Acara utama majlis ialah ceramah yang berdasarkan Bible. Ceramah ini disampaikan oleh seorang Saksi dan panjangnya kira-kira 30 minit. Ceramah ini menjelaskan bagaimana Bible dapat membantu pasangan baharu untuk menikmati perkahwinan yang kekal dan bahagia.—Efesus 5:33.
Di banyak negara, pihak kerajaan mengiktiraf Saksi-Saksi Yehuwa sebagai wakil yang dapat mengesahkan perkahwinan di sisi undang-undang. Jika demikian, pada akhir ceramah, pasangan itu akan melafazkan ikrar perkahwinan. Mereka juga mungkin menyarungkan cincin, lalu wakil Saksi itu akan mengumumkan mereka sebagai pasangan suami isteri yang sah.
Di sesetengah negara pula, pihak kerajaan memerlukan pasangan dikahwinkan oleh wakil kerajaan atau di pejabat pendaftaran. Jika demikian, pasangan itu harus melakukannya tidak lama sebelum majlis mereka diadakan. Jika pasangan itu tidak melafazkan ikrar semasa pendaftaran perkahwinan, mereka boleh melakukannya pada akhir ceramah Bible. Jika mereka ingin mengulanginya sekali lagi di hadapan tetamu semasa majlis, mereka harus menyatakan bahawa ikrar telah pun dilafazkan. Akhirnya, doa diucapkan untuk memohon berkat Tuhan bagi pasangan yang baharu itu.
Di manakah perkahwinan Saksi-Saksi Yehuwa diadakan?
Banyak Saksi mengadakan majlis perkahwinan mereka di sebuah Dewan Perjumpaan. b Jika pasangan pengantin mahu mengadakan jamuan selepas itu, mereka akan menggunakan tempat lain.
Siapakah yang dijemput?
Jika majlis perkahwinan diadakan di Dewan Perjumpaan, sesiapa pun boleh hadir, tidak kira dia ialah Saksi atau tidak. Jika pasangan pengantin akan mengadakan jamuan makan selepas itu, mereka akan memilih tetamu sendiri.
Bagaimanakah seharusnya pakaian para tetamu?
Saksi-Saksi Yehuwa mengikut prinsip Bible dan berpakaian sopan dan tidak menjolok mata. (1 Timotius 2:9) Adalah baik jika para tetamu yang dijemput juga mengikut prinsip tersebut, tidak kira semasa majlis perkahwinan atau jamuan perkahwinan.
Adakah hadiah perkahwinan diwajibkan?
Bible menggalakkan kita untuk bersikap murah hati. (Mazmur 37:21) Saksi-Saksi Yehuwa gembira untuk memberi dan menerima hadiah perkahwinan. (Lukas 6:38) Namun, mereka tidak akan meminta hadiah tertentu atau mengumumkan nama pemberi di depan semua tetamu. (Matius 6:3, 4; 2 Korintus 9:7; 1 Petrus 3:8) Hal itu bukan sahaja tidak berdasarkan Bible tetapi juga akan membuat hadirin lain berasa tidak selesa.
Adakah minum ucap selamat dilakukan?
Tidak. Saksi-Saksi Yehuwa tidak melakukan minum ucap selamat kerana amalan tersebut berasal daripada agama palsu. c Para Saksi akan mengucapkan selamat pengantin baru kepada pasangan tersebut namun bukan dengan melakukan minum ucap selamat.
Adakah tetamu memberkati pasangan dengan beras atau konfeti?
Tidak. Di sesetengah tempat, orang akan menaburkan beras, konfeti, atau benda lain atas pengantin yang baru berkahwin. Mereka percaya bahawa hal itu akan membawa nasib yang baik, kebahagiaan, dan umur yang panjang. Tetapi para Saksi menjauhi amalan yang berkaitan dengan kepercayaan karut. Mereka juga tidak akan mengucapkan good luck kerana hal itu bertentangan dengan ajaran Bible.—Yesaya 65:11.
Adakah makanan dan minuman dihidangkan?
Majlis perkahwinan di Dewan Perjumpaan tidak merangkumi makanan atau minuman. Tetapi jika mereka mengadakan jamuan selepas itu, makanan dan minuman akan dihidangkan. (Pengkhutbah 9:7) Jika alkohol dihidangkan, mereka akan memastikan bahawa jumlahnya terkawal dan hanya tetamu yang cukup umur boleh minum.—Lukas 21:34; Roma 13:1, 13.
Adakah muzik atau tarian diadakan?
Jika pasangan mengadakan jamuan perkahwinan, mereka mungkin memainkan muzik dan menari. (Pengkhutbah 3:4) Muzik yang dipilih harus sesuai dengan prinsip Bible tetapi berbeza-beza mengikut adat atau latar belakang. Jika majlis perkahwinan diadakan di Dewan Perjumpaan, muzik yang berdasarkan Bible akan dimainkan.
Adakah Saksi-Saksi Yehuwa menyambut ulang tahun perkahwinan?
Bible tidak menyatakan apa-apa tentang hal ini. Maka pasangan Saksi akan memutuskan sendiri sama ada mereka mahu menyambut ulang tahun perkahwinan mereka atau tidak. Jika demikian, mereka mungkin menyambutnya dengan pasangan sendiri, atau dengan kawan atau saudara-mara.
a Adat, budaya, dan tuntutan undang-undang adalah berbeza dari tempat ke tempat.
b Saudara yang memberikan ceramah perkahwinan tidak mengenakan sebarang bayaran. Penggunaan Dewan Perjumpaan untuk majlis perkahwinan juga adalah percuma.
c Untuk maklumat lanjut tentang asal usul minum ucap selamat, lihat “Pertanyaan Pembaca” dalam majalah Menara Pengawal bahasa Indonesia, terbitan 15 Februari 2007.