Adakah Saksi-Saksi Yehuwa Memaksa Anak Mereka Menjadi Saksi?
Tidak. Kerana menyembah Tuhan merupakan keputusan peribadi. (Roma 14:12) Saksi-Saksi Yehuwa mengajar anak prinsip Bible. Namun apabila anak semakin dewasa, mereka perlu membuat pilihan sendiri sama ada ingin menjadi Saksi atau tidak.—Roma 12:2; Galatia 6:5.
Seperti kebanyakan ibu bapa, Saksi-Saksi Yehuwa inginkan yang terbaik untuk anak mereka. Oleh itu mereka mengajar anak hal-hal berguna. Contohnya, kemahiran tertentu, didikan rohani, dan prinsip moral. Mereka percaya bahawa Bible merupakan panduan hidup yang terbaik. Maka mereka mengajar anak tentang Bible dan menghadiri perjumpaan Kristian bersama mereka. (Ulangan 6:6, 7) Pada kemudian hari, anak itu sendiri akan membuat keputusan tentang agama yang ingin dianuti.
Adakah Saksi-Saksi Yehuwa membaptis bayi?
Tidak. Bible tidak mengajarkan pembaptisan bayi. Contohnya pada abad pertama, seseorang perlu menerima mesej Bible dan bertaubat sebelum dibaptis. (Kisah 2:14, 22, 38, 41) Maka untuk dibaptis, seseorang haruslah memahami ajaran Bible, mempercayainya, dan hidup selaras dengan ajarannya. Sudah tentu bayi tidak dapat melakukan semua itu.
Apabila anak semakin besar, mereka dapat membuat pilihan untuk dibaptis atau tidak. Namun sebelum mengambil langkah itu, mereka haruslah memahami tanggungjawab sebagai seorang Kristian yang dibaptis.
Adakah Saksi-Saksi Yehuwa memutuskan hubungan dengan anak jika anak enggan dibaptis?
Tidak. Walaupun hal itu akan membuat ibu bapa berasa sedih, mereka tetap mengasihi anak mereka. Mereka tidak akan memutuskan hubungan dengan anak hanya kerana anak enggan menjadi Saksi.
Mengapakah Saksi-Saksi Yehuwa membawa anak mereka semasa menginjil?
Terdapat beberapa sebab kami membawa anak semasa menginjil. a
Bible menyatakan bahawa ibu bapa bertanggungjawab untuk mengajar anak tentang Tuhan dan cara menyembah-Nya. (Efesus 6:4) Oleh sebab mengisytiharkan berita baik merupakan sebahagian daripada ibadat kepada Tuhan, kerja menginjil merupakan latihan rohani bagi anak.—Roma 10:9, 10; Ibrani 13:15.
Bible menggalakkan orang muda untuk ‘memuji nama Tuhan.’ (Mazmur 148:12, 13, Alkitab Berita Baik) Salah satu cara penting untuk memuji Tuhan adalah dengan memberitahu orang lain tentang-Nya. b
Anak-anak mendapat manfaat dengan menyertai ibu bapa dalam kerja menginjil. Contohnya, mereka belajar cara berkomunikasi dengan pelbagai jenis orang, menunjukkan hormat, dan memupuk sifat seperti tidak mementingkan diri, belas kasihan, dan kebaikan hati. Pengetahuan Bible mereka juga akan semakin mendalam.
Adakah Saksi-Saksi Yehuwa ikut serta dalam perayaan atau sambutan lain?
Saksi-Saksi Yehuwa tidak menyertai perayaan agama atau sambutan yang tidak menyenangkan hati Tuhan. c (2 Korintus 6:14-17; Efesus 5:10) Contohnya, kami tidak menyambut Krismas atau hari jadi kerana perayaan itu tidak selaras dengan ajaran Bible atau berasal daripada ajaran kafir.
Namun, kami suka meluangkan masa bersama keluarga dan memberikan hadiah kepada anak-anak kami. Kami melakukannya pada bila-bila masa sahaja, dan tidak perlu menunggu tarikh tertentu untuk melakukannya.
a Biasanya, anak seorang Saksi tidak akan menyertai kerja menginjil jika tidak ditemani oleh ibu bapa atau orang dewasa lain.
b Bible menyebut beberapa anak kecil yang menyenangkan hati Tuhan kerana mereka memberitahu orang lain tentang kepercayaan mereka.—2 Raja-Raja 5:1-3; Matius 21:15, 16; Lukas 2:42, 46, 47.
c Lihat rencana “Mengapakah Saksi-Saksi Yehuwa Tidak Menyambut Sesetengah Perayaan?”
d Sesetengah nama telah diubah.