Adakah Saksi-Saksi Yehuwa Menetapkan Peraturan mengenai Berdating?
Saksi-Saksi Yehuwa percaya bahawa prinsip-prinsip dan perintah dalam Alkitab dapat membantu kami membuat keputusan yang baik dan menyenangkan hati Tuhan. (Yesaya 48:17, 18) Kami tidak menetapkan prinsip-prinsip dan perintah ini, tetapi kami hidup selaras dengannya. Sila lihat bagaimana prinsip dan perintah berikut berkait dengan soal berdating. a
Perkahwinan ialah satu ikatan yang berkekalan antara dua insan. (Matius 19:6) Saksi-Saksi Yehuwa memandang serius hal ini kerana kami menganggap berdating sebagai langkah yang menuju ke arah perkahwinan.
Hanya mereka yang cukup dewasa untuk berkahwin patut berdating. Mereka haruslah “sudah melewati masa remaja,” iaitu melepasi umur semasa nafsu seks adalah sangat kuat.—1 Korintus 7:36.
Mereka yang berdating haruslah bebas untuk berkahwin. Bagi Tuhan, sesetengah orang tidak bebas untuk berkahwin walaupun mereka sudah bercerai secara sah. Hal ini kerana piawaian Tuhan menyatakan bahawa satu-satunya dasar untuk bercerai ialah perzinaan.—Matius 19:9.
Orang Kristian yang ingin berkahwin diperintahkan untuk memilih pasangan yang seiman. (1 Korintus 7:39) Bagi Saksi-Saksi Yehuwa, orang yang seiman bukan hanya mereka yang menghormati kepercayaan kami, tetapi yang mengamalkannya dan merupakan seorang Saksi-Saksi Yehuwa yang sudah dibaptis. (2 Korintus 6:14) Sejak dahulu lagi, Tuhan memberikan perintah agar umat-Nya berkahwin dengan orang yang seiman. (Kejadian 24:3; Maleakhi 2:11) Menurut kajian, perintah ini juga sangat praktikal hari ini. b
Anak-anak harus mentaati ibu bapa mereka. (Amsal 1:8; Kolose 3:20) Bagi anak-anak yang masih tinggal dengan ibu bapa, perintah ini termasuk mentaati keputusan mereka tentang berdating. Contohnya, mereka mungkin menetapkan umur yang sesuai bagi anak untuk mula berdating atau aktiviti yang boleh dilakukan oleh anak mereka.
Dengan mengikut bimbingan Alkitab, Saksi-Saksi Yehuwa boleh memilih pasangan sendiri atau memutuskan sama ada mereka ingin berdating atau tidak. Hal ini selaras dengan prinsip Alkitab yang menyatakan, “Setiap orang harus memikul tanggungjawab masing-masing.” (Galatia 6:5, nota kaki) Walaupun demikian, ramai yang ingin berdating akan bertindak dengan bijak dan meminta nasihat daripada Saksi-Saksi Yehuwa yang matang dan yang mengambil berat tentang mereka.—Amsal 15:31.
Banyak perkara yang dilakukan ketika berdating merupakan dosa yang serius. Misalnya, Alkitab memberikan perintah untuk menjauhi perbuatan seks yang tidak bermoral. Hal ini bukan sahaja termasuk hubungan seks, tetapi juga perbuatan tidak senonoh yang dilakukan orang yang belum berkahwin, seperti meraba organ seks, seks oral, atau seks dubur. (1 Korintus 6:9-11) Meskipun pasangan yang berdating tidak mengadakan hubungan seks, perbuatan yang merangsang hawa nafsu juga merupakan perkara yang ‘najis’ di mata Tuhan. (Galatia 5:19-21) Perbualan yang mengandungi “kata-kata lucah” juga dikutuk dalam Alkitab.—Kolose 3:8.
Hati manusia sangat licik. (Yeremia 17:9) Hati boleh menyebabkan seseorang melakukan sesuatu walaupun dia sedar perkara itu salah. Oleh itu, pasangan yang sedang berdating perlu berwaspada agar tidak diperdaya oleh hati sendiri. Mereka perlu mengelakkan situasi yang boleh membangkitkan nafsu mereka. Semasa berdating, mereka boleh memastikan bahawa mereka ditemani oleh seseorang atau sekumpulan orang. (Amsal 28:26) Orang Kristian bujang yang ingin mencari pasangan sedar akan bahaya laman web dating, terutamanya untuk menjalinkan hubungan dengan orang yang tidak begitu dikenali.—Mazmur 26:4.
a Berdating mungkin suatu kebiasaan bagi sesetengah budaya. Namun Alkitab tidak menyatakan bahawa kita perlu berdating atau menegaskan bahawa berdating ialah satu-satunya cara untuk berkahwin.
b Contohnya, satu rencana dalam buku Marriage & Family Review menyatakan bahawa “tiga kajian tentang perkahwinan menunjukkan bahawa kepercayaan dan agama yang sama ialah kunci kepada perkahwinan yang berkekalan (25-50+ tahun).”—Jilid 38, terbitan 1, muka surat 88 (2005).