Apakah Pandangan Saksi-Saksi Yehuwa mengenai Pengebumian?
Pandangan dan amalan kami mengenai pengebumian adalah berdasarkan ajaran Bible, termasuklah hal-hal berikut:
Berkabung atas kematian orang yang dikasihi adalah perkara yang normal. Murid-murid Yesus juga berkabung atas kematian orang yang dikasihi. (Yohanes 11:33-35, 38; Kisah 8:2; 9:39) Oleh itu, kami tidak menganggap pengebumian sebagai masa untuk berseronok. (Pengkhutbah 3:1, 4; 7:1-4) Sebaliknya, kami menganggapnya sebagai masa untuk menunjukkan empati.—Roma 12:15.
Orang mati tidak sedar akan apa pun. Tidak kira apa latar belakang dan budaya kami, kami menolak adat atau amalan yang tidak berdasarkan ajaran Bible. Sebagai contoh, kami tidak percaya bahawa orang mati masih sedar dan boleh mempengaruhi mereka yang hidup. (Pengkhutbah 9:5, 6, 10) Hal ini termasuklah adat seperti upacara berjaga, sambutan pengebumian yang mewah, ulang tahun kematian, korban untuk orang mati, bercakap dan membuat permohonan kepada orang mati, dan upacara bagi para janda. Kami menolak semua adat dan amalan tersebut, kerana kami mentaati perintah Bible berikut: “Asingkanlah diri engkau, . . . dan jangan lagi menyentuh perkara yang najis.”—2 Korintus 6:17.
Ada harapan untuk orang mati. Bible mengajarkan bahawa akan ada pembangkitan, dan masanya akan tiba apabila kematian dilenyapkan. (Kisah 24:15; Wahyu 21:4) Seperti orang Kristian masa awal, harapan ini membantu kami untuk menghindari perkabungan yang keterlaluan.—1 Tesalonika 4:13.
Bible menggalakkan kesederhanaan. (Amsal 11:2) Kami tidak menganggap pengebumian sebagai peluang untuk “mempamerkan” status sosial atau ekonomi seseorang. (1 Yohanes 2:16) Kami tidak mengadakan pengebumian yang mewah dengan tujuan untuk menunjuk-nunjuk atau menggunakan keranda yang terlalu mahal dan pakaian yang keterlaluan untuk menarik perhatian.
Kami tidak memaksa orang lain mengikut kepercayaan kami mengenai pengebumian. Berkenaan hal ini, kami mengikut prinsip Bible berikut: “Kita bertanggungjawab kepada Tuhan atas perbuatan kita masing-masing.” (Roma 14:12) Walau bagaimanapun, jika kami diberi peluang, kami akan cuba menjelaskan kepercayaan kami “dengan lemah lembut dan hormat yang mendalam.”—1 Petrus 3:15.
Bagaimanakah pengebumian seorang Saksi dijalankan?
Tempat: Jika sebuah keluarga memutuskan untuk mengadakan pengebumian, mereka boleh memilih lokasinya, seperti di Dewan Perjumpaan, di rumah mayat, di rumah sendiri, di tempat membakar mayat, atau di kuburan.
Upacara: Sebuah ceramah Bible tentang kematian dan harapan pembangkitan akan diberikan untuk melegakan hati orang yang berkabung. (Yohanes 11:25; Roma 5:12; 2 Petrus 3:13) Isi ceramah pengebumian berfokus pada sifat-sifat baik yang dimiliki oleh si mati. Contohnya, pengajaran yang mungkin diraih daripada kesetiaannya.—2 Samuel 1:17-27.
Setelah itu, sebuah lagu berdasarkan Bible akan dinyanyikan. (Kolose 3:16) Upacara itu akan diakhiri dengan doa yang melegakan hati.—Filipi 4:6, 7.
Bayaran atau pungutan: Kami tidak meminta bayaran untuk apa-apa upacara keagamaan, termasuklah upacara pengebumian, sepertimana kami tidak mengambil pungutan semasa perjumpaan kami.—Matius 10:8.
Hadirin: Mereka yang bukan Saksi dialu-alukan untuk menghadiri pengebumian yang diadakan di Dewan Perjumpaan. Seperti perjumpaan-perjumpaan kami yang lain, upacara pengebumian juga terbuka kepada umum.
Adakah Saksi-Saksi menghadiri pengebumian yang dijalankan oleh agama lain?
Setiap Saksi perlu membuat keputusan masing-masing, berdasarkan hati nurani yang telah dilatih oleh Bible. (1 Timotius 1:19) Walau bagaimanapun, kami tidak ikut serta dalam upacara keagamaan yang tidak selaras dengan ajaran Bible.—2 Korintus 6:14-17.