KAUM MUDA BERTANYA
Mengapakah Saya Harus Berdoa?
Menurut sebuah tinjauan, terdapat 80 peratus remaja di Amerika yang berdoa, tetapi hanya separuh daripada jumlah itu yang berdoa setiap hari. Maka, sesetengah remaja tertanya-tanya: “Adakah doa sekadar membantu kita secara emosi, atau doa juga mempunyai manfaat yang lain?”
Apakah itu doa?
Sebenarnya, doa merupakan cara kita dapat berkomunikasi dengan Pencipta segala sesuatu. Jadi apakah maknanya bagi kita? Fikirkanlah, Yehuwa lebih agung daripada sesiapa pun, namun Dia “tidak jauh daripada kita masing-masing.” (Kisah 17:27) Bukan itu sahaja, Bible juga memberitahu kita suatu jemputan yang sangat istimewa: “Hampirilah Tuhan dan Dia pun akan menghampiri kamu.”—Yakobus 4:8.
Bagaimanakah kamu dapat menghampiri Tuhan?
Satu cara adalah melalui doa. Begitulah cara kamu dapat bercakap dengan Tuhan.
Cara yang lain adalah melalui pembelajaran Bible. Begitulah cara Tuhan “bercakap” dengan kamu.
Kita dapat bercakap dengan Tuhan menerusi doa dan pembelajaran Bible. Komunikasi dua hala ini dapat mengukuhkan persahabatan kamu dengan Tuhan.
“Berkomunikasi dengan Yehuwa, Tuhan Yang Maha Tinggi, merupakan suatu penghormatan yang besar bagi manusia.”—Jeremy.
“Saya berasa semakin rapat dengan Yehuwa apabila saya mencurahkan isi hati saya kepada-Nya melalui doa.”—Miranda.
Adakah Tuhan mendengar doa?
Meskipun kamu percaya kepada Tuhan dan berdoa kepada-Nya, mungkin susah untuk percaya bahawa Dia benar-benar mendengar. Namun, Bible mengatakan bahawa Yehuwa “mengabulkan doa.” (Mazmur 65:3) Kamu juga dijemput untuk ‘lemparkan segala kekhuatiran kepada Tuhan.’ Mengapa? “Kerana Dia mengambil berat tentang kamu.”—1 Petrus 5:7.
Cuba renungkan: Adakah kamu meluangkan masa untuk bercakap dengan sahabat rapat kamu? Jika ya, kamu juga boleh berbuat demikian dengan Tuhan. Bercakaplah dengan-Nya melalui doa secara tetap. Semasa berdoa, gunakanlah nama-Nya, Yehuwa. (Mazmur 86:5-7; 88:10) Ya, Bible menjemput kamu untuk ‘berdoa sentiasa.’—1 Tesalonika 5:17.
“Apabila saya berdoa, saya dapat berbual dengan Bapa di syurga. Saya mencurahkan seluruh isi hati saya kepada-Nya.”—Moises.
“Sepertimana saya bercakap secara terbuka dengan ibu atau kawan yang paling rapat, begitulah juga cara saya bercakap dengan Yehuwa.”—Karen.
Apakah yang dapat saya doakan?
Bible berkata, “Dalam segala hal, nyatakanlah permohonan kamu kepada Tuhan melalui doa dan rayuan yang disertai ucapan syukur.”—Filipi 4:6.
Jadi, bolehkah kamu berdoa tentang masalah-masalah kamu? Ya! Bible bahkan berkata, ‘Serahkanlah kekhuatiranmu kepada Yehuwa, maka Dia akan membela kamu.’—Mazmur 55:23.
Sudah tentu, kamu bukan hanya bercakap tentang masalah-masalah kamu dalam doa. Seorang kaum muda yang bernama Chantelle berkata, “Jika saya hanya meminta Yehuwa membantu saya, saya rasa kami bukan sahabat yang baik. Bagi saya, mengucapkan kesyukuran kepada-Nya perlu didahulukan, saya perlu meluahkan semua perkara yang saya hargai.”
Cuba renungkan: Apakah perkara yang kamu hargai dalam hidup kamu? Hari ini, apakah tiga perkara yang membuat kamu bersyukur kepada Yehuwa?
“Perkara yang biasa, seperti melihat bunga yang sangat cantik, pun dapat mendorong kita untuk mengucapkan doa kesyukuran kepada Yehuwa.”—Anita.
“Kamu boleh merenungkan ciptaan yang membuat kamu berasa kagum atau ayat Bible yang benar-benar menyentuh hati kamu. Kemudian, kamu boleh ucapkan syukur kepada Yehuwa.”—Brian.
Mungkin Anda Suka Juga
PANDANGAN REMAJA LAIN
Mengapa Saya Beriman?—Standard Tuhan atau Standard Saya?
Kaum muda menjelaskan bagaimana mereka menghindari akibat buruk yang dialami rakan kelas mereka.
KAUM MUDA BERTANYA