Apakah Itu Perang Armagedon?

Apakah Itu Perang Armagedon?

Jawapan Bible

 Perang Armagedon merujuk kepada perang terakhir antara kerajaan manusia dengan kerajaan Tuhan. Sekarang pun, kerajaan-kerajaan ini dan penyokong mereka menentang Tuhan kerana mereka enggan tunduk kepada pemerintahan-Nya. (Mazmur 2:2) Perang Armagedon akan mengakhiri pemerintahan manusia.​—Daniel 2:​44.

 Perkataan “Armagedon” muncul hanya sekali dalam Bible, iaitu di Wahyu 16:16. Nubuat dalam buku Wahyu menunjukkan bahawa “tempat yang disebut Armagedon dalam bahasa Ibrani,” ialah tempat di mana “raja-raja di seluruh bumi” akan berkumpul untuk “perang yang akan tercetus pada hari besar Tuhan Yang Maha Kuasa.”​—Wahyu 16:14.

 Siapakah yang akan berperang semasa Armagedon? Yesus Kristus akan memimpin angkatan tentera di syurga dan mengalahkan musuh-musuh Tuhan. (Wahyu 19:11-​16, 19-​21) Musuh-musuh itu termasuk orang yang menghina Tuhan dan menentang pemerintahan-Nya.​—Yehezkiel 39:7.

 Adakah perang Armagedon akan berlaku di Timur Tengah? Tidak. Perang ini tidak terhad kepada kawasan tertentu. Sebaliknya, perang ini akan meliputi seluruh bumi.​—Yeremia 25:32-​34; Yehezkiel 39:17-​20.

 Armagedon, yang juga diterjemahkan sebagai “Har–​Magedon” (Har Meghiddohnʹ dalam bahasa Ibrani), bermaksud “Gunung Megido.” Pada zaman kuno, Megido ialah sebuah kota yang terletak di Israel. Menurut catatan sejarah, banyak peperangan berlaku di sekitar kota itu, dan sesetengah peperangan itu turut dicatatkan dalam Bible. (Hakim-Hakim 5:​19, 20; 2 Raja-Raja 9:​27; 23:29) Tetapi Armagedon tidak mungkin merujuk kepada kawasan di sekitar kota Megido. Hal ini demikian kerana tiada gunung di situ. Tambahan lagi, Lembah Yizreel, yang terletak berdekatan dengan kota itu, tidak cukup besar untuk memuatkan semua musuh yang menentang Tuhan. Oleh itu, Armagedon sebenarnya merujuk kepada suatu kejadian global, iaitu bangsa-bangsa di dunia bersatu padu untuk menentang pemerintahan Tuhan.

 Apakah yang akan berlaku semasa perang Armagedon? Kita tidak tahu bagaimana Tuhan akan menggunakan kuasa-Nya, tetapi daripada catatan Bible, kita tahu bahawa Dia dapat menggunakan hujan batu, gempa bumi, ribut taufan, api dan belerang, petir, wabak penyakit, dan sebagainya untuk menghapuskan musuh-Nya. (Ayub 38:22, 23; Yehezkiel 38:19, 22; Habakuk 3:​10, 11; Zakharia 14:12) Semasa Armagedon, sesetengah musuh Tuhan juga mungkin akan saling membunuh kerana kekacauan yang berlaku di sekeliling mereka. Akhirnya mereka akan sedar bahawa Tuhanlah yang sedang menyerang mereka.​—Yehezkiel 38:21, 23; Zakharia 14:13.

 Adakah bumi akan dimusnahkan semasa Armagedon? Tidak, kerana bumi ialah tempat tinggal manusia buat selama-lamanya. (Mazmur 37:29; 96:10; Pengkhutbah 1:4) Armagedon tidak akan melenyapkan umat manusia, sebaliknya perang ini akan menyelamatkan mereka kerana Bible menyatakan bahawa ‘sekumpulan besar manusia’ akan selamat mengharunginya.​—Wahyu 7:​9, 14; Mazmur 37:34.

 Dalam Bible, perkataan “dunia” boleh merujuk kepada orang yang menentang Tuhan. (1 Yohanes 2:​15-​17) Maka, kita boleh mengatakan bahawa Armagedon akan “memusnahkan dunia.”​—Matius 24:3, King James Version.

 Bilakah Armagedon akan berlaku? Perang Armagedon akan berlaku pada akhir “kesengsaraan besar.” Berkenaan hal ini, Yesus berkata, “Tiada seorang pun yang tahu hari atau waktunya, baik malaikat di syurga mahupun Anak. Hanya Bapa yang tahu.” (Matius 24:21, 36) Biarpun begitu, Bible menunjukkan bahawa Armagedon akan berlaku semasa kehadiran Yesus yang bermula pada tahun 1914.​—Matius 24:37-​39.