Satu Korintus 13:1-13

  • Kasih ialah jalan yang jauh lebih unggul (1-13)

13  Meskipun aku dapat bercakap dalam bahasa manusia dan bahasa malaikat, tetapi jika aku tidak mempunyai kasih, aku hanya seperti gong atau simbal* yang mengeluarkan bunyi bising. 2  Meskipun aku diberi kurnia untuk bernubuat, dan memahami semua rahsia suci serta memiliki segala ilmu pengetahuan,+ dan meskipun aku mempunyai iman yang begitu kukuh sehingga dapat mengalihkan gunung, tetapi jika aku tidak mempunyai kasih, usahaku sia-sia sahaja.+ 3  Meskipun aku menggunakan semua harta milikku untuk menjaga orang lain,+ dan meskipun aku menyerahkan tubuhku sebagai korban supaya aku boleh berbangga, tetapi jika aku tidak mempunyai kasih,+ aku tidak akan mendapat apa-apa faedah. 4  Kasih+ itu sabar*+ dan baik hati.+ Kasih tidak cemburu,+ tidak bercakap besar, tidak menjadi angkuh,+ 5  tidak bersikap biadab,+ tidak mementingkan diri sendiri,+ dan tidak cepat naik marah.+ Kasih tidak menyimpan dendam apabila dilukai.+ 6  Kasih tidak bersukacita atas perkara yang salah,+ tetapi bersukacita atas perkara yang benar. 7  Kasih menanggung segala sesuatu,+ mempercayai segala sesuatu,+ tidak hilang harapan terhadap segala sesuatu,+ dan menghadapi segala sesuatu dengan tabah.+ 8  Kasih itu abadi.* Tetapi kurnia untuk bernubuat akan lenyap, kurnia untuk bercakap dalam bahasa-bahasa lain akan berakhir, dan kurnia untuk menerima pengetahuan akan lenyap. 9  Hal itu demikian kerana pengetahuan+ kita dan nubuat yang kita sampaikan tidak lengkap. 10  Namun, apabila apa yang lengkap tiba, apa yang tidak lengkap akan lenyap. 11  Semasa aku masih kanak-kanak, aku bercakap seperti kanak-kanak, berfikir seperti kanak-kanak, dan membuat pertimbangan seperti kanak-kanak. Tetapi kini aku sudah dewasa, dan aku tidak lagi berperangai seperti kanak-kanak. 12  Sekarang kita melihat bayangan yang kabur dalam sebuah cermin logam, tetapi kelak kita akan melihat dengan jelas.* Sekarang pengetahuanku tidak lengkap, tetapi kelak aku akan mempunyai pengetahuan yang tepat* tentang Tuhan, sepertimana Dia mempunyai pengetahuan yang tepat tentang aku. 13  Walau bagaimanapun, yang tinggal sekarang ialah iman, harapan, dan kasih. Tetapi antara ketiga-tiganya, kasihlah yang paling penting.+

Nota Kaki

Iaitu, sejenis alat muzik.
Atau “panjang sabar.”
Atau “tidak pernah gagal.”
Harfiah, “akan bersemuka.”
Atau “lengkap.”