Satu Korintus 5:1-13

  • Laporan tentang perbuatan seks yang tidak bermoral (1-5)

  • Sedikit ragi membuat seluruh adunan naik (6-8)

  • Orang jahat harus disingkirkan (9-13)

5  Sebenarnya, aku menerima laporan bahawa ada orang dalam kalangan kamu yang melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral.*+ Perbuatan seks* yang dilakukan itu bahkan lebih teruk daripada apa yang berlaku dalam kalangan bangsa-bangsa lain. Aku diberitahu bahawa seorang lelaki berbuat cabul dengan isteri bapanya.+ 2  Namun, mengapakah kamu masih berasa bangga? Kamu seharusnya berdukacita+ dan menyingkirkan orang yang sudah melakukan perkara yang jahat itu daripada kalangan kamu.+ 3  Walaupun aku tidak bersama kamu secara fizikal, namun secara batin aku bersama-sama kamu. Jadi meskipun aku tidak ada bersama kamu, aku sudah mendapati bahawa orang yang melakukan perbuatan jahat itu bersalah. 4  Sewaktu kamu berkumpul, kamu tahu bahawa hatiku dan kuasa Tuan kita, Yesus, juga menyertai kamu. Maka atas nama Tuan Yesus, 5  kamu mesti menyerahkan orang sebegitu kepada Syaitan+ supaya pengaruh buruknya dapat dilenyapkan. Dengan itu, kerohanian sidang dapat dipelihara pada hari Tuan.+ 6  Tidak baik kamu bercakap besar. Tidakkah kamu tahu bahawa sedikit ragi membuat seluruh adunan naik?+ 7  Buanglah ragi yang lama supaya kamu menjadi adunan yang baharu, sebab kamu memang tidak beragi. Oleh sebab Kristus, bebiri Paska* kita,+ sudah dikorbankan,+ 8  marilah kita merayakan Perayaan Paska+ dengan menggunakan roti tidak beragi, yang melambangkan keikhlasan dan kebenaran. Janganlah kita menggunakan ragi yang lama, atau ragi yang melambangkan dosa dan kejahatan. 9  Dalam surat yang aku tulis kepada kamu, aku memberitahu kamu supaya tidak lagi bergaul dengan orang yang melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral.* 10  Aku tidak bermaksud bahawa kamu langsung tidak boleh bergaul dengan orang di dunia ini+ yang melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral,* yang tamak, yang memeras ugut, atau yang menyembah berhala, kerana jika kamu perlu berbuat demikian, kamu terpaksa keluar daripada dunia ini.+ 11  Sekarang, aku menulis kepada kamu supaya kamu tidak lagi bergaul+ dengan saudara Kristian yang melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral,* yang tamak,+ yang menyembah berhala, yang suka mencaci, yang mabuk,+ atau yang memeras ugut.+ Bahkan janganlah makan bersama dengan orang sedemikian. 12  Apakah kaitan aku dengan orang di luar sidang Kristian sehingga aku harus menghakimi mereka? Namun kamu mesti menghakimi mereka yang ada dalam sidang, 13  sementara Tuhan menghakimi orang di luar sidang.+ Ayat-Ayat Suci menyatakan, “Singkirkanlah orang jahat daripada kalangan kamu.”+

Nota Kaki

Yunani, por·neiʹa. Lihat Kamus.
Yunani, por·neiʹa. Lihat Kamus.
Lihat Kamus.
Lihat Kamus.
Lihat Kamus.
Lihat Kamus.