Satu Petrus 5:1-14
5 Aku juga seorang penatua. Aku pernah menyaksikan penderitaan Kristus, dan aku akan mengambil bahagian dalam kemuliaan yang bakal disingkapkan.+ Inilah nasihatku* kepada para penatua yang ada dalam kalangan kamu:
2 Hendaklah kamu menggembala kawanan Tuhan+ yang ada di bawah jagaan kamu. Di hadapan Tuhan, berkhidmatlah sebagai penyelia dengan rela,* dan bukannya secara terpaksa;+ lakukannya dengan bersemangat, dan bukannya kerana mencintai keuntungan yang diperoleh secara tidak jujur;+
3 jadilah teladan bagi kawanan,+ dan janganlah menguasai mereka yang merupakan milik Tuhan.+
4 Semasa ketua gembala+ disingkapkan, kamu akan menerima mahkota kemuliaan yang tidak akan rosak.+
5 Dalam cara yang sama, hendaklah lelaki yang lebih muda mentaati lelaki yang lebih tua.*+ Kamu semua harus rendah hati* semasa berurusan dengan satu sama lain, kerana Tuhan menentang orang yang angkuh tetapi Dia menunjukkan kebaikan hati yang unggul kepada orang yang rendah hati.+
6 Oleh itu, rendahkanlah diri kamu di bawah tangan Tuhan yang perkasa, agar Dia dapat meninggikan kamu pada masa yang ditetapkan.+
7 Lemparkanlah segala kekhuatiran kamu kepada Tuhan,+ kerana Dia mengambil berat tentang kamu.+
8 Teruslah memelihara daya pemikiran kamu dan berjaga-jagalah.+ Si Iblis, musuh kamu, sedang merayau-rayau seperti seekor singa yang mengaum sambil mencari mangsa untuk dibaham.+
9 Tetapi kamu harus menentang dia+ dengan iman yang teguh kerana kamu tahu bahawa semua saudara seiman* di dunia sedang mengalami penderitaan yang sama.+
10 Namun, selepas kamu menderita buat suatu jangka waktu yang singkat, Tuhan yang penuh dengan kebaikan hati yang unggul akan menyempurnakan latihan kamu. Dialah yang telah memanggil kamu untuk menikmati kemuliaan-Nya yang kekal+ kerana kamu bersatu dengan Kristus. Dia akan meneguhkan kamu,+ Dia akan menguatkan kamu,+ dan Dia akan mengukuhkan kamu.
11 Semoga Dia berkuasa buat selama-lamanya. Amin.
12 Melalui Silvanus,*+ yang aku anggap sebagai seorang saudara yang setia, aku menulis kepada kamu dengan menggunakan beberapa patah kata untuk menggalakkan kamu, dan untuk memberikan kesaksian yang sungguh-sungguh bahawa inilah kebaikan hati Tuhan yang sejati. Berpegang teguhlah pada kebaikan hati itu.
13 Wanita* yang berada di Babilon, yang juga merupakan wanita terpilih, mengirim salam kepada kamu, begitu juga dengan Markus,+ anakku.
14 Sambutlah satu sama lain dengan ciuman sebagai tanda kasih.
Semoga kamu semua yang bersatu dengan Kristus menikmati kedamaian.