Satu Raja-Raja 11:1-43

  • Isteri-isteri Salomo mempengaruhinya (1-13)

  • Penentang Salomo (14-25)

  • Tuhan menjanjikan 10 suku kepada Yerobeam (26-40)

  • Salomo meninggal; Rehabeam menjadi raja (41-43)

11  Raja Salomo mencintai banyak wanita bangsa asing.+ Selain puteri Firaun,+ dia juga mencintai wanita bangsa Moab,+ Ammon,+ Edom, Sidon,+ dan Het.+ 2  Berkenaan bangsa-bangsa itu, Yehuwa pernah berfirman kepada orang Israel, “Kamu tidak boleh berkahwin dengan mereka, dan mereka juga tidak boleh berkahwin dengan kamu, kerana mereka pasti akan mempengaruhi kamu untuk menyembah tuhan-tuhan mereka.”+ Tetapi Salomo akrab dengan mereka dan amat mencintai mereka.* 3  Dia berkahwin dengan 700 orang puteri dan mempunyai 300 orang gundik. Mereka beransur-ansur mempengaruhinya untuk menyembah tuhan-tuhan lain. 4  Ketika Salomo sudah tua,+ isteri-isterinya mempengaruhinya untuk menyembah tuhan-tuhan lain.+ Dia tidak seperti bapanya Daud, yang menyembah Yehuwa, Tuhannya dengan sepenuh hati. 5  Salomo menyembah Asytoret,+ iaitu dewi orang Sidon, dan Milkom,+ iaitu dewa menjijikkan yang dipuja orang Ammon. 6  Salomo melakukan apa yang jahat di mata Yehuwa. Dia tidak seperti bapanya Daud, yang menyembah Yehuwa dengan sepenuh hati.+ 7  Pada waktu itulah Salomo membina tempat-tempat pemujaan*+ di atas gunung di hadapan Yerusalem untuk Kamos, dewa menjijikkan yang dipuja orang Moab, dan untuk Molekh,+ dewa menjijikkan yang dipuja orang Ammon.+ 8  Salomo membina tempat-tempat pemujaan untuk semua isterinya yang berbangsa asing. Di situ, mereka mempersembahkan korban kepada tuhan-tuhan mereka dan membakarnya sehingga asap naik. 9  Yehuwa murka dengan Salomo kerana hati Salomo telah menyimpang daripada Yehuwa, Tuhan orang Israel,+ yang telah menampakkan diri-Nya kepada Salomo sebanyak dua kali.+ 10  Tuhan juga telah mengingatkan Salomo bahawa dia tidak patut menyembah tuhan lain.+ Namun Salomo tidak mematuhi perintah Yehuwa. 11  Yehuwa berfirman kepada Salomo, “Oleh sebab engkau telah melakukan hal-hal ini, melanggar perjanjianmu dengan Aku, dan mengingkari perintah-Ku, Aku pasti akan mengambil kerajaanmu dan memberikannya kepada salah seorang hambamu.+ 12  Tetapi kerana janji-Ku kepada bapamu Daud, Aku tidak akan melakukan hal itu semasa engkau masih hidup. Aku akan mengambilnya daripada tangan anakmu,+ 13  namun Aku tidak akan mengambil seluruh kerajaanmu.+ Demi hamba-Ku Daud dan demi Yerusalem, kota yang telah Aku pilih,+ Aku akan memberi anakmu satu suku.”*+ 14  Yehuwa menyebabkan Hadad, orang Edom, untuk bangkit menentang Salomo.+ Hadad ialah anggota keluarga diraja Edom.+ 15  Semasa Daud mengalahkan Edom,+ Yoab, iaitu ketua tentera Israel, pergi mengebumikan orang yang terbunuh lalu dia mencuba untuk membunuh semua lelaki di Edom. 16  (Yoab dan semua tentera Israel tinggal di sana selama enam bulan sehingga dia habis membunuh semua lelaki di Edom.) 17  Tetapi Hadad dan beberapa orang hamba bapanya yang berbangsa Edom berjaya melarikan diri ke Mesir. Pada masa itu, Hadad masih seorang budak kecil. 18  Mereka berangkat dari Midian lalu sampai di Paran. Mereka membawa beberapa orang dari Paran+ lalu pergi ke Mesir. Firaun, iaitu raja Mesir, memberinya makanan, tanah, dan sebuah rumah. 19  Hadad begitu menyenangkan hati Firaun sehingga dia mengahwinkan adik isterinya dengan Hadad. Isteri Firaun ialah Permaisuri Tahpenes. 20  Beberapa lama kemudian, isteri Hadad melahirkan seorang anak lelaki. Namanya Genubat. Permaisuri Tahpenes membesarkannya di istana Firaun, dan Genubat terus tinggal di sana bersama dengan anak-anak Firaun. 21  Semasa di Mesir, Hadad mendengar bahawa Raja Daud dan Yoab, iaitu ketua tentera Israel, telah meninggal.+ Maka Hadad berkata kepada Firaun, “Benarkanlah hamba pulang ke negeri hamba.” 22  Tetapi Firaun berkata kepadanya, “Kamu kekurangan apa di sini sehingga kamu hendak pulang ke negerimu?” “Hamba tidak kekurangan apa-apa,” sahut Hadad, “tetapi benarkanlah hamba pergi.” 23  Selain itu, Tuhan juga menyebabkan Rezon anak Eliada untuk bangkit menentang Salomo.+ Rezon telah melarikan diri daripada tuannya Hadadezer,+ iaitu raja Zoba. 24  Rezon mengumpulkan orang dan menjadi pemimpin kepada sekumpulan perompak.+ Selepas Daud mengalahkan mereka, mereka pergi ke Damsyik.+ Mereka tinggal di sana dan mula memerintah Damsyik. 25  Sepanjang hayat Salomo, Rezon menentang orang Israel. Seperti Hadad, dia juga membawa kesusahan kepada orang Israel. Rezon membenci orang Israel semasa dia memerintah di Siria. 26  Selain itu, Yerobeam+ anak Nebat, seorang lelaki Efraim dari Zereda juga mula menentang Raja Salomo.+ Yerobeam ialah hamba Salomo+ dan ibunya ialah seorang balu yang bernama Zerua. 27  Inilah sebabnya dia melawan raja: Salomo telah membina tempat perlindungan*+ dan memperkukuh Kota Daud, kota bapanya.+ 28  Yerobeam ialah seorang pemuda cekap yang bekerja keras. Oleh itu, Salomo melantik dia menjadi penyelia+ atas semua keturunan Yusuf yang diwajibkan untuk bekerja bagi raja. 29  Semasa Yerobeam keluar dari Yerusalem, dia bertemu dengan Nabi Ahia,+ orang Silo, di tengah jalan. Pada masa itu, Ahia sedang memakai sehelai jubah yang baharu, dan mereka berdua sahaja yang ada di padang. 30  Ahia menanggalkan jubah baharunya lalu mengoyakkannya menjadi 12 bahagian. 31  Selepas itu, dia berkata kepada Yerobeam, “Ambillah 10 bahagian jubahku untuk dirimu kerana Yehuwa, Tuhan orang Israel, telah berfirman, ‘Aku akan mengambil kerajaan Salomo daripada tangannya lalu memberi engkau 10 suku Israel.+ 32  Tetapi demi hamba-Ku Daud,+ dan demi kota-Ku Yerusalem, yang telah Aku pilih dari seluruh kawasan suku Israel,+ satu suku akan terus menjadi milik Salomo.+ 33  Hal ini demikian kerana orang Israel telah meninggalkan Aku.+ Mereka sujud menyembah Asytoret, dewi orang Sidon, dan Kamos, dewa orang Moab, serta Milkom, dewa orang Ammon. Mereka tidak melakukan apa yang menyenangkan hati-Ku. Mereka gagal mematuhi hukum dan perintah-Ku, dan tidak menyembah-Ku seperti yang dilakukan oleh Daud, bapa Salomo. 34  Tetapi Aku tidak akan mengambil seluruh kerajaan itu daripada tangan Salomo. Demi hamba pilihan-Ku Daud,+ yang telah mematuhi perintah dan hukum-Ku, Aku akan mengizinkan Salomo menjadi pemimpin di Israel sepanjang hayatnya. 35  Aku akan mengambil kerajaan itu daripada tangan anak lelakinya lalu memberikan 10 suku Israel kepadamu.+ 36  Aku akan memberikan satu suku Israel kepada anak lelakinya agar hamba-Ku Daud sentiasa mempunyai seorang keturunan yang memerintah* di hadapan-Ku di Yerusalem,+ kota yang Aku pilih untuk menempatkan nama-Ku di sana. 37  Aku akan memilih engkau, dan engkau akan memerintah atas segala yang engkau inginkan. Engkau akan menjadi raja Israel. 38  Jika engkau mematuhi segala yang telah Aku perintahkan kepadamu, melakukan apa yang menyenangkan hati-Ku, mengikut haluan-Ku, dan mematuhi perintah dan hukum-hukum-Ku, seperti hamba-Ku Daud dahulu,+ Aku akan menyertaimu. Aku akan membina sebuah rumah yang berkekalan untukmu, seperti yang telah Aku lakukan untuk Daud.+ Aku juga akan menjadikan engkau pemerintah atas Israel. 39  Oleh sebab dosa Salomo, Aku akan menghina keturunan Daud,+ tetapi bukan untuk selama-lamanya.’”+ 40  Salomo mencuba untuk membunuh Yerobeam, tetapi Yerobeam melarikan diri dan pergi kepada Raja Sisak+ di Mesir.+ Dia tinggal di sana sehingga Salomo meninggal. 41  Berkenaan kisah hidup Salomo yang lain, iaitu kisah tentang apa yang dilakukannya dan kebijaksanaannya, semuanya tertulis dalam buku sejarah tentang Raja Salomo.+ 42  Salomo memerintah atas seluruh Israel di Yerusalem selama 40 tahun. 43  Salomo meninggal lalu dikebumikan di Kota Daud. Rehabeam,+ anak lelakinya, menggantikannya sebagai raja.

Nota Kaki

Juga boleh merujuk kepada patung-patung berhala.
Harfiah, “tempat-tempat tinggi.” Lihat Kamus.
Mungkin merujuk kepada suku Benyamin yang akan tetap bersama suku Yehuda.
Ibrani, mil·lohʹ yang bermaksud “timbunan tanah.” Lihat Kamus.
Harfiah, “mempunyai sebuah pelita.”