1 Raja-Raja 12:1-33

  • Rehabeam menjawab rakyat dengan kasar (1-15)

  • Pemberontakan 10 suku (16-19)

  • Yerobeam dilantik menjadi raja Israel (20)

  • Rehabeam dilarang berperang melawan Israel (21-24)

  • Yerobeam membuat patung anak lembu untuk disembah (25-33)

12  Rehabeam telah pergi ke kota Sikhem kerana semua orang Israel telah berkumpul di Sikhem+ untuk menjadikannya raja.+  (Pada masa itu, Yerobeam anak Nebat masih berada di Mesir dan dia sedang tinggal di sana. Dia telah melarikan diri ke Mesir disebabkan Raja Salomo.) Sebaik sahaja Yerobeam mendengar tentang hal itu,+  dia disuruh pulang. Selepas itu, Yerobeam dan segenap umat* Israel menghadap Rehabeam dan berkata,  “Ayahanda tuanku telah memberi hamba sekalian beban yang berat.+ Sekarang jika tuanku meringankan beban hamba sekalian dan tidak memperlakukan hamba sekalian dengan kasar, hamba sekalian akan mengabdi kepada tuanku.”  Maka raja berkata kepada mereka, “Pergilah dahulu dan datanglah kepada beta selepas tiga hari.” Jadi semua orang pun pergi dari situ.+  Selepas itu, Raja Rehabeam meminta nasihat daripada para orang tua.* Mereka telah berkhidmat sebagai penasihat bapanya Salomo ketika bapanya masih hidup. Rehabeam bertanya, “Bagaimanakah beta harus menjawab mereka? Apakah nasihat kamu?”  Para orang tua itu menjawab, “Jika hari ini tuanku menjadi hamba mereka dengan mengabulkan permintaan mereka dan memberikan jawapan yang menyenangkan hati mereka, mereka akan sentiasa menjadi hamba-hamba tuanku.”  Tetapi dia menolak nasihat para orang tua itu. Dia meminta nasihat daripada pemuda-pemuda yang telah membesar bersamanya dan kini berkhidmat sebagai pembantunya.+  Dia bertanya kepada mereka, “Apakah nasihat kamu? Mereka memohon beta untuk meringankan beban berat yang telah dikenakan oleh ayahanda beta. Jadi apakah yang harus kita katakan kepada mereka?” 10  Pemuda-pemuda itu berkata, “Rakyat telah memohon, ‘Ringankan beban yang dikenakan oleh ayahanda tuanku atas hamba sekalian.’ Maka tuanku harus memberitahu mereka, ‘Jari kelengkeng beta lebih besar daripada pinggang ayahanda beta. 11  Ayahanda beta memberi kamu beban yang berat, tetapi beta akan memberi kamu beban yang lebih berat. Ayahanda beta menyebat kamu dengan cambuk, tetapi beta akan menyebat kamu dengan cambuk yang berduri besi.’” 12  Pada hari ketiga, Yerobeam dan semua orang datang menghadap Rehabeam. Hal ini demikian kerana Rehabeam telah berkata, “Datanglah kepada beta pada hari ketiga.”+ 13  Tetapi raja menjawab rakyat dengan kasar. Dia menolak nasihat yang diberikan oleh para orang tua. 14  Dia menjawab mereka menurut nasihat yang diberikan oleh pemuda-pemuda itu. Katanya, “Ayahanda beta memberi kamu beban yang berat, tetapi beta akan memberi kamu beban yang lebih berat. Ayahanda beta menyebat kamu dengan cambuk, tetapi beta akan menyebat kamu dengan cambuk yang berduri besi.” 15  Demikianlah raja telah menolak permintaan rakyatnya. Yehuwalah yang menyebabkan hal-hal ini terjadi+ supaya firman Yehuwa yang disampaikan oleh Ahia+ orang Silo kepada Yerobeam anak Nebat menjadi kenyataan. 16  Apabila orang Israel nampak bahawa raja enggan mendengarkan mereka, mereka berkata, “Apakah kaitan kami dengan Daud? Kami tidak mendapat warisan daripada anak Isai. Hai orang Israel, kembalilah kepada tuhan-tuhan kamu! Hai keturunan Daud, jagalah dirimu sendiri!” Maka orang Israel pulang ke rumah masing-masing.+ 17  Oleh itu, Rehabeam hanya dapat memerintah orang Israel yang tinggal di kota-kota Yehuda.+ 18  Kemudian Raja Rehabeam mengutus Adoram+ kepada orang Israel. Adoram bertanggungjawab atas orang yang diwajibkan untuk bekerja bagi raja, tetapi semua orang Israel merejamnya sampai mati. Raja Rehabeam pun segera menaiki kereta kudanya dan melarikan diri ke Yerusalem.+ 19  Sejak itu, orang Israel memberontak+ terhadap keluarga Daud. 20  Sebaik sahaja umat Israel mendengar bahawa Yerobeam telah kembali, mereka berkumpul dan menjemputnya lalu melantiknya menjadi raja atas seluruh Israel.+ Tidak ada orang lain yang menyokong keluarga Daud, kecuali suku Yehuda.+ 21  Apabila Rehabeam tiba di Yerusalem, dia segera mengumpulkan semua orang daripada suku Yehuda dan suku Benyamin. Sebanyak 180,000 orang pahlawan yang terlatih telah dikumpulkan untuk melawan keturunan Israel dan memulihkan kuasa pemerintahan Rehabeam anak Salomo.+ 22  Tuhan yang benar menyampaikan firman-Nya kepada Nabi Semaya,+ 23  “Katakanlah kepada Rehabeam anak Salomo, iaitu raja Yehuda, dan kepada seluruh suku Yehuda dan Benyamin, serta kepada rakyat yang lain, 24  ‘Inilah firman Yehuwa: “Janganlah berperang melawan saudara-saudaramu Israel. Setiap orang haruslah pulang ke rumah masing-masing kerana Akulah yang telah menyebabkan hal ini berlaku.”’”+ Maka mereka mematuhi firman Yehuwa dan pulang ke rumah mereka, seperti yang diperintahkan oleh Yehuwa. 25  Yerobeam membina semula* kota Sikhem+ di kawasan pergunungan Efraim, lalu tinggal di sana. Kemudian dia meninggalkan kota itu dan pergi membina* kota Penuel.+ 26  Yerobeam berkata dalam hatinya, “Sekarang kerajaan ini akan menjadi milik keluarga Daud semula.+ 27  Jika rakyat terus pergi ke Rumah Yehuwa di Yerusalem+ untuk mempersembahkan korban, hati mereka akan berbalik lagi kepada tuan mereka, iaitu Rehabeam, raja Yehuda. Jika hal itu berlaku, mereka akan membunuh aku dan kembali kepada Rehabeam, raja Yehuda.” 28  Setelah raja berbincang dengan para penasihatnya, dia membuat dua buah patung anak lembu jantan daripada emas.+ Kemudian dia berkata kepada rakyat, “Hai orang Israel, memang sukar bagi kamu semua untuk pergi ke Yerusalem. Lihatlah! Ini Tuhan kamu yang telah membawa kamu keluar dari negeri Mesir.”+ 29  Selepas itu, dia menempatkan sebuah patung di Bethel,+ dan sebuah lagi di Dan.+ 30  Hal ini membuat orang Israel berdosa.+ Mereka sanggup pergi sejauh Dan untuk menyembah patung di situ. 31  Dia membina rumah ibadat di tempat-tempat tinggi, dan melantik imam daripada kalangan orang biasa, yang tidak berasal daripada suku Lewi.+ 32  Yerobeam juga memulakan satu perayaan pada hari ke-15 bulan yang kelapan, seperti perayaan di Yehuda.+ Di atas mazbah yang dibinanya di Bethel,+ dia mempersembahkan korban kepada patung-patung lembu. Dia juga melantik para imam untuk berkhidmat di tempat ibadat* yang telah dibinanya. 33  Dia mula mempersembahkan korban di atas mazbah yang dibinanya di Bethel pada hari ke-15 bulan yang kelapan, iaitu pada bulan yang dipilihnya. Demikianlah dia memulakan satu perayaan untuk orang Israel dan naik ke mazbah itu untuk mempersembahkan korban dan membakarnya sehingga asap naik.

Nota Kaki

Atau “seluruh sidang.” Lihat Kamus.
Atau “para penatua.”
Atau “memperkukuh.”
Atau “memperkukuh.”
Harfiah, “tempat-tempat tinggi.” Lihat Kamus.