Satu Raja-Raja 15:1-34
15 Pada tahun ke-18 pemerintahan Raja Yerobeam+ anak Nebat, Abiam menjadi raja Yehuda.+
2 Dia memerintah di Yerusalem selama tiga tahun. Ibunya ialah Maakha,+ cucu Abisalom.
3 Seperti bapanya, Abiam terus melakukan dosa dan tidak menyembah Yehuwa, Tuhannya, dengan sepenuh hati. Dia tidak seperti moyangnya Daud.
4 Tetapi demi Daud,+ Yehuwa, Tuhan yang disembahnya, telah mengizinkan keturunannya untuk memerintah* di Yerusalem.+ Tuhan telah melantik anaknya sebagai raja dan mengizinkan Yerusalem untuk terus wujud.
5 Daud melakukan apa yang benar di mata Yehuwa. Sepanjang hayatnya, dia tidak pernah mengingkari perintah Tuhan, kecuali dalam hal Uria, orang Het itu.+
6 Sepanjang hidup Rehabeam, dia berperang dengan Yerobeam.+
7 Berkenaan kisah hidup Abiam yang lain, iaitu kisah tentang apa yang dilakukannya, semuanya tertulis dalam buku sejarah tentang zaman raja-raja Yehuda.+ Abiam dan Yerobeam juga berperang dengan satu sama lain.+
8 Selepas itu, Abiam meninggal dan dikebumikan di Kota Daud. Anaknya yang bernama Asa+ menggantikannya sebagai raja.+
9 Pada tahun ke-20 Yerobeam menjadi raja Israel, Asa mula memerintah Yehuda.
10 Dia memerintah di Yerusalem selama 41 tahun. Neneknya ialah Maakha,+ cucu Abisalom.
11 Asa melakukan apa yang benar di mata Yehuwa,+ seperti moyangnya Daud.
12 Dia mengusir pelacur-pelacur lelaki dari kuil di negerinya,+ dan memusnahkan semua berhala yang menjijikkan* yang dibuat oleh nenek moyangnya.+
13 Dia bahkan menyingkirkan neneknya Maakha+ daripada kedudukannya sebagai bonda ratu. Hal ini demikian kerana Maakha telah membuat patung berhala yang lucah untuk digunakan dalam penyembahan tiang suci.* Asa merobohkan patung berhala itu+ lalu membakarnya di Lembah Kidron.+
14 Walaupun tempat-tempat ibadat tidak dimusnahkan,+ Asa tetap menyembah Yehuwa dengan sepenuh hati sepanjang hayatnya.
15 Dia meletakkan semua perak, emas, dan pelbagai perkakas yang telah disucikan olehnya dan bapanya ke dalam Rumah Yehuwa.+
16 Raja Asa dan Raja Baesa+ selalu berperang melawan satu sama lain.
17 Raja Baesa dari Israel menyerang Yehuda, dan mula memperkukuh kota Rama+ agar tidak ada sesiapa pun yang dapat keluar atau masuk ke wilayah Asa, raja Yehuda.+
18 Maka Asa mengambil semua perak dan emas yang masih ada di dalam tempat penyimpanan harta di Rumah Yehuwa dan di istana raja, lalu menyerahkannya kepada hamba-hambanya. Kemudian Raja Asa mengutus hamba-hambanya kepada Ben-hadad anak Tabrimon, cucu Hezion. Ben-hadad ialah raja Siria+ yang tinggal di Damsyik. Asa mengirim pesanan berikut kepadanya:
19 “Kita telah membuat perjanjian seperti yang telah dilakukan oleh ayahanda beta dengan ayahanda tuanku. Semua perak dan emas ini ialah hadiah kepada tuanku. Batalkanlah perjanjian tuanku dengan Raja Baesa dari Israel agar raja itu berundur dari wilayah beta.”
20 Ben-hadad mendengar kata-kata Raja Asa lalu mengutus beberapa orang ketua pasukan tenteranya untuk menyerang kota-kota Israel. Mereka telah menakluki Iyon,+ Dan,+ Abel-bet-maakha, seluruh Kineret, dan seluruh tanah Naftali.
21 Semasa Baesa mendengar tentang hal itu, dia segera berhenti memperkukuh kota Rama lalu pergi ke Tirza dan tinggal di sana.+
22 Raja Asa mengeluarkan perintah yang mewajibkan semua penduduk Yehuda untuk mengangkut batu-batu dan kayu-kayu dari Rama yang telah digunakan oleh Baesa. Kemudian Raja Asa menggunakan bahan-bahan itu untuk memperkukuh kota Geba+ di Benyamin, dan kota Mizpa.+
23 Berkenaan kisah hidup Asa yang lain, iaitu kisah tentang kegagahannya, apa yang dilakukannya, dan kota-kota yang diperkukuh olehnya, semuanya tertulis dalam buku sejarah tentang zaman raja-raja Yehuda. Tetapi pada usia tuanya, kakinya kena penyakit.+
24 Asa meninggal lalu dikebumikan bersama nenek moyangnya di Kota Daud. Anaknya yang bernama Yehosafat+ menggantikannya sebagai raja.
25 Nadab+ anak Yerobeam menjadi raja Israel pada tahun kedua Asa menjadi raja Yehuda. Nadab memerintah Israel selama dua tahun.
26 Dia asyik melakukan apa yang jahat di mata Yehuwa, dan mengikut jejak bapanya+ yang telah berdosa dan membuat orang Israel berdosa.+
27 Baesa anak Ahia daripada keturunan Isakhar merancang untuk menentang Nadab. Baesa membunuh Nadab di Gibeton,+ sebuah kota milik orang Filistin. Pada masa itu, Nadab dan semua tentera Israel sedang mengepung Gibeton.
28 Baesa membunuh Nadab pada tahun ketiga Asa menjadi raja Yehuda. Maka Baesa menggantikan Nadab sebagai raja.
29 Sebaik sahaja Baesa menjadi raja, dia membunuh seluruh keluarga Yerobeam. Seperti yang difirmankan oleh Yehuwa melalui hamba-Nya Ahia, orang Silo itu, Baesa membunuh setiap ahli keluarga Yerobeam yang masih hidup.+
30 Hal ini berlaku kerana Yerobeam telah membangkitkan kemurkaan Yehuwa, Tuhan orang Israel. Yerobeam telah berdosa, dan membuat orang Israel turut berdosa.
31 Berkenaan kisah hidup Nadab yang lain, iaitu kisah tentang apa yang dilakukannya, semuanya tertulis dalam buku sejarah tentang zaman raja-raja Israel.
32 Asa dan Raja Baesa dari Israel selalu berperang antara satu sama lain.+
33 Pada tahun ketiga pemerintahan Asa, Baesa anak Ahia menjadi raja seluruh Israel dan memerintah di Tirza selama 24 tahun.+
34 Baesa asyik melakukan apa yang jahat di mata Yehuwa.+ Dia mengikut jejak Yerobeam yang menyebabkan umat Israel berdosa.+