Satu Raja-Raja 16:1-34

  • Hukuman Yehuwa terhadap Baesa (1-7)

  • Ela, raja Israel (8-14)

  • Zimri, raja Israel (15-20)

  • Omri, raja Israel (21-28)

  • Ahab, raja Israel (29-33)

  • Hiel membina semula Yerikho (34)

16  Yehuwa menyampaikan berita penghakiman kepada Baesa melalui Yehu+ anak Hanani.+ Dia berfirman, 2  “Aku telah mengangkat engkau dari debu dan menjadikan engkau pemimpin atas umat-Ku Israel.+ Namun, engkau terus mengikut haluan Yerobeam dan membangkitkan kemurkaan-Ku dengan menyebabkan umat-Ku Israel berdosa.+ 3  Oleh itu, Aku akan melenyapkan Baesa dan seluruh keluarganya, sama seperti apa yang telah Aku lakukan terhadap keluarga Yerobeam+ anak Nebat. 4  Semua ahli keluarga Baesa yang mati di kota akan dimakan oleh anjing, dan semua ahli keluarganya yang mati di luar kota akan dimakan oleh burung di langit.” 5  Berkenaan kisah hidup Baesa yang lain, iaitu kisah tentang kegagahannya dan apa yang dilakukannya, semuanya tertulis dalam buku sejarah tentang zaman raja-raja Israel. 6  Baesa meninggal lalu dikebumikan di Tirza.+ Anak lelakinya yang bernama Ela menggantikannya sebagai raja. 7  Yehuwa menyampaikan berita penghakiman kepada Baesa dan keluarganya melalui Nabi Yehu anak Hanani. Hal ini demikian kerana Baesa telah melakukan banyak perkara jahat di mata Yehuwa, dan dia telah membangkitkan kemurkaan-Nya seperti yang dilakukan keluarga Yerobeam. Selain itu, dia juga telah membunuh Nadab.+ 8  Pada tahun ke-26 pemerintahan Asa raja Yehuda, Ela anak Baesa menjadi raja seluruh Israel dan memerintah di Tirza selama dua tahun. 9  Zimri, iaitu seorang pegawai raja yang mengetuai separuh daripada pasukan kereta kuda diraja, membuat rancangan untuk melawan Raja Ela. Pada waktu itu, Raja Ela yang berada di Tirza sedang minum sampai mabuk di rumah Arza, iaitu pengurus keluarga raja di Tirza. 10  Zimri masuk dan membunuh Raja Ela+ lalu menggantikannya sebagai raja. Hal itu berlaku pada tahun ke-27 pemerintahan Asa raja Yehuda. 11  Sebaik sahaja dia mula memerintah sebagai raja, dia membunuh semua ahli keluarga Baesa. Semua lelaki dibunuhnya, termasuk sanak saudara dan kawan-kawan Baesa. 12  Demikianlah Zimri membunuh semua ahli keluarga Baesa, sesuai dengan firman Yehuwa yang disampaikan oleh Nabi Yehu tentang Baesa.+ 13  Hal ini berlaku kerana semua dosa yang dilakukan oleh Baesa dan anaknya Ela. Mereka telah menyebabkan umat Israel berdosa dan membangkitkan kemurkaan Yehuwa, Tuhan orang Israel, dengan membuat patung-patung berhala yang tidak berguna.+ 14  Berkenaan kisah hidup Ela yang lain, iaitu kisah tentang apa yang dilakukannya, semuanya tertulis dalam buku sejarah tentang zaman raja-raja Israel. 15  Pada tahun ke-27 pemerintahan Asa raja Yehuda, Zimri menjadi raja dan memerintah di Tirza selama tujuh hari. Pada masa itu, ada pasukan tentera yang mengepung kota Gibeton,+ kota milik orang Filistin. 16  Beberapa lama kemudian, pasukan tentera yang sedang berkhemah mendengar orang berkata, “Zimri telah membuat rancangan jahat dan dia telah membunuh raja.” Maka pada hari itu juga di perkhemahan mereka, semua orang Israel melantik Omri,+ ketua pasukan tentera mereka untuk menjadi raja Israel. 17  Omri dan semua orang Israel yang ada bersamanya meninggalkan Gibeton lalu pergi mengepung kota Tirza. 18  Apabila Zimri nampak bahawa kota itu telah ditawan, dia masuk ke dalam menara di istana. Kemudian dia membakar istana itu dan mati dalam kebakaran itu.+ 19  Hal itu berlaku kerana Zimri berdosa. Dia melakukan apa yang jahat di mata Yehuwa dengan mengikut haluan Yerobeam dan menyebabkan umat Israel berdosa.+ 20  Berkenaan kisah hidup Zimri yang lain dan rancangan jahatnya, semuanya tertulis dalam buku sejarah tentang zaman raja-raja Israel. 21  Pada masa itu, orang Israel terbahagi kepada dua pihak. Ada yang menjadi pengikut Tibni anak Ginat, dan ingin menjadikannya raja. Ada pula yang menjadi pengikut Omri. 22  Akhirnya, pengikut Omri mengalahkan pengikut Tibni anak Ginat. Tibni meninggal lalu Omri menjadi raja. 23  Pada tahun ke-31 pemerintahan Asa raja Yehuda, Omri menjadi raja Israel dan memerintah selama 12 tahun. Dia memerintah di Tirza selama enam tahun. 24  Dia membeli Gunung Samaria daripada Semer dengan harga dua talenta* perak, lalu membina sebuah kota di gunung itu. Dia menamakan kota itu Samaria,*+ mengikut nama Semer, pemilik gunung itu dahulu. 25  Omri terus melakukan apa yang jahat di mata Yehuwa dan melakukan hal-hal yang lebih buruk daripada semua orang yang ada sebelumnya.+ 26  Dia mengikut segala haluan Yerobeam anak Nebat dan membuat patung-patung berhala yang tidak berguna. Dia menyebabkan umat Israel berdosa dan membangkitkan kemurkaan Yehuwa, Tuhan orang Israel.+ 27  Berkenaan kisah hidup Omri yang lain, iaitu tentang apa yang dilakukannya dan perbuatannya yang gagah, semuanya tertulis dalam buku sejarah tentang zaman raja-raja Israel. 28  Omri meninggal lalu dikebumikan di Samaria. Anak lelakinya yang bernama Ahab+ menggantikannya sebagai raja. 29  Ahab anak Omri menjadi raja Israel pada tahun ke-38 pemerintahan Asa raja Yehuda. Raja Ahab anak Omri memerintah atas seluruh Israel di Samaria+ selama 22 tahun. 30  Dia melakukan hal-hal yang buruk di mata Yehuwa dan dia lebih teruk daripada semua orang yang ada sebelumnya.+ 31  Tidak cukup baginya untuk berdosa seperti Raja Yerobeam+ anak Nebat. Raja Ahab melakukan hal-hal yang lebih jahat lagi; dia mengahwini Izebel,+ anak perempuan Raja Etbaal dari Sidon,+ dan dia mula sujud menyembah Baal.+ 32  Selain itu, dia membina mazbah untuk Baal di kuil* Baal+ yang dibinanya di Samaria, 33  dan dia juga mendirikan tiang suci.*+ Perbuatan Ahab telah membangkitkan kemurkaan Yehuwa, Tuhan orang Israel, dan Ahab lebih teruk daripada semua raja Israel yang memerintah sebelumnya. 34  Pada masa pemerintahan Ahab, Hiel orang Bethel telah membina semula kota Yerikho. Dengan meletakkan asas kota Yerikho, Hiel menggadaikan nyawa anak sulungnya, Abiram. Dengan memasang pintu gerbang kota itu, dia menggadaikan nyawa anak bongsunya, Segub. Hal itu sesuai dengan apa yang pernah difirmankan Yehuwa melalui Yosua anak Nun.+

Nota Kaki

Maksudnya “Milik Puak Semer.”
Harfiah, “rumah.”
Lihat Kamus.