Satu Raja-Raja 18:1-46

  • Elia berjumpa dengan Obaja dan Ahab (1-18)

  • Elia menentang nabi-nabi Baal di Karmel (19-40)

    • “Sampai bilakah hati kamu akan berbelah bahagi?” (21)

  • Kemarau sepanjang tiga tahun setengah berakhir (41-46)

18  Beberapa lama kemudian, pada tahun ketiga kemarau itu,+ Yehuwa berfirman kepada Elia, “Pergilah menghadap Ahab, dan Aku akan menurunkan hujan ke atas permukaan bumi.”+ 2  Maka Elia pergi menghadap Ahab. Pada waktu itu, kebuluran di Samaria sangat dahsyat.+ 3  Sementara itu, Ahab memanggil Obaja, pengurus istananya. (Obaja sangat hormat dan takut akan Yehuwa. 4  Semasa Izebel+ membunuh nabi-nabi Yehuwa, Obaja menyembunyikan 100 orang nabi di dalam gua, iaitu seramai 50 orang di dalam setiap gua. Dia juga memberikan roti dan air kepada mereka.) 5  Ahab berkata kepada Obaja, “Pergilah ke semua mata air dan lembah* di negeri ini. Kita mungkin menjumpai rumput yang cukup untuk menyelamatkan kuda dan baghal kita supaya semua ternakan kita tidak mati.” 6  Dengan demikian, Ahab dan Obaja menentukan kawasan yang akan dijelajahi oleh mereka, lalu mereka pergi ke arah yang berlainan. 7  Semasa Obaja dalam perjalanan, dia bertemu dengan Elia. Obaja mengenalinya lalu bersujud di hadapannya dan bertanya, “Betulkah tuan ini Elia?”+ 8  Elia menjawab, “Betul, akulah Elia. Pergilah kepada tuanmu dan beritahulah dia bahawa aku ada di sini.” 9  Tetapi Obaja berkata, “Apakah dosaku sehingga tuan hendak menyerahkan aku kepada Ahab untuk dibunuh? 10  Aku bersumpah demi Yehuwa, Tuhanmu yang hidup, bahawa Ahab telah mencari tuan dalam kalangan semua bangsa dan semua kerajaan. Apabila mereka melaporkan bahawa tuan tidak ada di negeri mereka, Ahab meminta supaya mereka bersumpah bahawa mereka tidak menemui tuan.+ 11  Sekarang tuan pula menyuruh aku memberitahu Ahab bahawa tuan ada di sini. 12  Setelah aku berpisah dengan tuan, Yehuwa akan menggunakan kuasa suci-Nya* untuk membawa tuan+ ke tempat yang tidak aku ketahui. Jika aku memberitahu Ahab tentang tuan, kemudian dia tidak dapat mencari tuan, dia pasti akan membunuhku. Ingatlah, aku takut kepada Yehuwa sejak muda lagi. 13  Tidakkah tuan diberitahu tentang apa yang aku lakukan semasa Izebel membunuh nabi-nabi Yehuwa? Aku telah menyembunyikan 100 orang nabi Yehuwa di dalam gua, iaitu seramai 50 orang di dalam setiap gua. Selain itu, aku memberi mereka roti dan air.+ 14  Sekarang, tuan menyuruh aku untuk memberitahu raja bahawa tuan berada di sini. Tentu raja akan membunuhku.” 15  Elia berkata, “Aku bersumpah demi Yehuwa yang hidup, ketua angkatan syurga, Tuhan yang aku sembah, bahawa aku akan menghadap raja pada hari ini juga.” 16  Maka Obaja pergi menemui Ahab dan memberitahukan hal itu kepadanya. Lalu Ahab pun berangkat untuk berjumpa dengan Elia. 17  Sebaik sahaja Ahab melihat Elia, dia berkata kepadanya, “Kamulah orang yang membawa malapetaka ke Israel!” 18  Elia menjawab, “Bukan hamba yang membawa malapetaka ke Israel. Tuanku dan keluarga tuankulah yang membawa malapetaka ke Israel kerana tuanku sekeluarga telah mengabaikan hukum Yehuwa dan mengikut Baal.+ 19  Sekarang perintahkanlah seluruh umat Israel untuk bertemu dengan hamba di Gunung Karmel.+ Bawalah 450 orang nabi Baal dan 400 orang nabi yang menyembah tiang suci,*+ yang makan di meja Izebel.” 20  Maka Ahab menyampaikan pesanan itu kepada semua orang Israel dan mengumpulkan nabi-nabi itu di Gunung Karmel. 21  Kemudian Elia menghadap semua orang dan berkata, “Sampai bilakah hati kamu akan berbelah bahagi?+ Jika Yehuwa ialah Tuhan yang benar, ikutlah Dia.+ Tetapi jika Baal ialah Tuhan yang benar, ikutlah Baal.” Namun, semua orang itu tidak menjawab apa-apa. 22  Elia berkata kepada umat Israel, “Nabi Yehuwa hanya tinggal aku seorang,+ sedangkan nabi Baal berjumlah 450 orang. 23  Sekarang, bawalah dua ekor anak lembu jantan. Hendaklah nabi-nabi Baal memilih seekor anak lembu jantan, memotong-motongnya lalu meletakkannya di atas kayu, tetapi mereka tidak boleh menyalakan api. Aku akan melakukan hal yang sama dengan lembu jantan yang seekor lagi, dan aku juga tidak akan menyalakan api. 24  Kamu harus memanggil nama tuhan kamu,+ dan aku akan memanggil nama Yehuwa. Tuhan yang menjawab dengan mengirim api ialah Tuhan yang benar.”+ Lalu segenap rakyat menjawab, “Baiklah.” 25  Selepas itu, Elia berkata kepada nabi-nabi Baal, “Oleh sebab bilangan kamu banyak, pilihlah seekor anak lembu jantan. Kemudian persiapkanlah lembu itu, dan panggillah nama tuhan kamu, tetapi jangan nyalakan api terlebih dahulu.” 26  Mereka mengambil lembu jantan yang diberikan kepada mereka dan menyiapkannya. Kemudian mereka asyik memanggil nama Baal dari pagi sampai tengah hari. Mereka berseru, “Ya Baal, jawablah kami!” Mereka melompat-lompat dan menari-nari mengelilingi mazbah yang telah dibina oleh mereka.+ Tetapi tidak ada suara yang kedengaran dan tidak ada sesiapa yang menjawab seruan mereka. 27  Menjelang tengah hari, Elia mula mengejek mereka. Dia berkata, “Serulah dengan lebih kuat lagi! Baal tuhan, bukan?+ Mungkin dia sedang termenung atau mungkin dia pergi buang air.* Atau barangkali dia sedang tidur dan seseorang harus membangunkannya!” 28  Mereka berseru dengan sekuat hati. Mereka juga melukai badan mereka dengan pisau belati dan tombak, seperti kebiasaan mereka, sehingga darah bercucuran dari badan mereka. 29  Selepas tengah hari, masih tidak ada suara yang kedengaran atau sesiapa yang menjawab seruan mereka. Mereka terus berkelakuan pelik* sehingga waktu petang, iaitu sehingga tiba waktunya untuk mempersembahkan korban bijirin. Namun, seruan mereka masih tidak dipedulikan.+ 30  Akhirnya Elia berkata kepada semua orang di situ, “Marilah dekati aku.” Maka semua orang pun mendekatinya. Lalu dia memperbaiki mazbah Yehuwa yang telah dirobohkan itu.+ 31  Kemudian Elia mengambil 12 buah batu. Setiap batu mewakili satu suku keturunan Yakub. Yehuwa pernah berfirman kepada Yakub, “Namamu akan dipanggil Israel.”+ 32  Dengan menggunakan batu-batu itu, Elia membina sebuah mazbah+ demi nama Yehuwa. Di sekeliling mazbah itu, dia menggali parit yang cukup besar untuk ditaburi dengan dua bekas* benih. 33  Selepas itu, dia menyusun kayu-kayu di atas mazbah, memotong-motong anak lembu jantan itu, dan meletakkannya di atas kayu tersebut.+ Kemudian dia berkata, “Penuhilah empat buah bekas besar dengan air lalu tuangkan air itu ke atas korban bakar dan kayu-kayu ini.” 34  Elia berkata, “Buatlah lagi.” Maka mereka melakukannya lagi. “Buatlah untuk kali ketiga,” kata Elia. Lalu mereka melakukannya untuk kali ketiga. 35  Maka air mengalir di sekeliling mazbah itu. Dia juga memenuhi parit itu dengan air. 36  Pada waktu petang, iaitu kira-kira waktu mempersembahkan korban bijirin,+ Elia mendekati mazbah itu lalu berkata, “Ya Yehuwa, Tuhan kepada Abraham,+ Ishak,+ dan Israel. Hari ini, biarlah semua orang tahu bahawa Engkaulah Tuhan orang Israel dan akulah hamba-Mu yang melakukan semua ini menurut perintah-Mu.+ 37  Jawablah aku, ya Yehuwa! Jawablah aku supaya semua orang di sini tahu bahawa Engkau, Yehuwa, ialah Tuhan yang benar, dan Engkaulah yang membawa mereka kembali kepada-Mu.”+ 38  Pada masa itu, api daripada Yehuwa turun lalu membakar kayu-kayu, batu-batu, tanah di sekeliling mazbah, dan korban bakar.+ Air yang ada di dalam parit itu habis dijilat api.+ 39  Apabila semua orang di situ nampak apa yang berlaku, mereka segera bersujud dan berkata, “Yehuwa ialah Tuhan yang benar! Yehuwalah Tuhan yang benar!” 40  Maka Elia berkata kepada mereka, “Tangkaplah nabi-nabi Baal! Jangan biarkan seorang pun melarikan diri!” Dengan segera, mereka menangkap nabi-nabi itu dan Elia membawa mereka ke anak sungai di Kison+ lalu membunuh mereka di sana.+ 41  Kemudian Elia berkata kepada Ahab, “Pergilah, makanlah dan minumlah, kerana hamba mendengar deru hujan yang lebat.”+ 42  Sementara Ahab pergi untuk makan dan minum, Elia naik ke puncak Gunung Karmel. Di sana, dia bersujud ke tanah dengan kepalanya di antara kedua-dua lututnya.+ 43  Selepas itu, dia berkata kepada hambanya, “Naiklah dan lihatlah ke arah laut.” Maka hambanya pergi, lalu kembali dan berkata, “Aku tidak nampak apa-apa pun.” Sebanyak tujuh kali, Elia menyuruh dia pergi melihat ke arah laut. 44  Pada kali ketujuh, hambanya kembali dan berkata, “Lihat! Aku nampak awan sekecil tapak tangan naik dari laut.” Maka Elia berkata kepada hambanya, “Pergilah menghadap Raja Ahab, dan beritahulah baginda, ‘Siapkanlah kereta kuda tuanku dan pergilah agar tuanku tidak dihalang hujan yang lebat.’” 45  Sementara itu, langit penuh dengan awan hitam, dan angin kencang bertiup, lalu hujan yang lebat pun turun.+ Ahab terus menaiki kereta kudanya lalu pergi ke Yizreel.+ 46  Pada masa itu, Elia mendapat kekuatan daripada Yehuwa. Dia mengikat jubahnya pada pinggang dan berlari mendahului Raja Ahab sepanjang jalan sampai ke Yizreel.

Nota Kaki

Atau “wadi.”
Biasanya dipanggil roh kudus. Lihat Kamus.
Lihat Kamus.
Atau mungkin, “dia sedang mengadakan perjalanan ke tempat lain.”
Atau “berkelakuan seperti nabi.”
Harfiah, “2 seah.” Lihat Lampiran B14.