1 Raja-Raja 19:1-21

  • Izebel marah; Elia melarikan diri (1-8)

  • Yehuwa menampakkan diri kepada Elia di Horeb (9-14)

  • Elia mengurapi Hazael, Yehu, Elisa (15-18)

  • Elisa dilantik untuk menggantikan Elia (19-21)

19  Kemudian Ahab+ memberitahu Izebel+ segala yang telah dilakukan oleh Elia, dan bagaimana Elia telah membunuh semua nabi Baal dengan pedang.+  Maka Izebel mengirim seorang utusan kepada Elia dengan pesanan berikut: “Jika esok pada waktu ini aku tidak memperlakukan kamu seperti nabi-nabi yang telah kamu bunuh, biarlah dewa dewiku menghukum aku dan melipatgandakan hukuman aku!”  Elia menjadi takut lalu melarikan diri kerana dia tidak mahu dibunuh.+ Apabila dia sampai di Beer-syeba,+ di daerah Yehuda,+ dia meninggalkan hambanya di situ.  Dia berjalan di padang belantara selama sehari suntuk lalu sampai di bawah sebatang pokok renek. Dia duduk di situ dan berdoa memohon agar dia mati. Dia berkata, “Cukuplah, ya Yehuwa. Ambillah nyawaku+ kerana aku sama sahaja dengan nenek moyang aku.”  Kemudian dia berbaring lalu tertidur di bawah pokok renek itu. Tiba-tiba satu malaikat menyentuhnya+ dan berkata, “Bangunlah dan pergilah makan.”+  Semasa dia melihat di sekelilingnya, dia nampak seketul roti berbentuk bulat di atas batu-batu yang panas dekat kepalanya. Selain itu, ada juga sebuah bekas berisi air. Dia makan dan minum lalu berbaring semula.  Selepas itu, malaikat Yehuwa kembali buat kali kedua. Malaikat itu menyentuhnya dan berkata, “Bangunlah dan pergilah makan supaya kamu dapat mengharungi perjalanan yang jauh ini.”  Elia pun bangun lalu makan dan minum. Makanan itu memberi dia cukup tenaga untuk berjalan selama 40 hari dan 40 malam sehingga dia sampai di Horeb, iaitu gunung Tuhan yang benar.+  Di sana, dia bermalam di dalam sebuah gua.+ Tiba-tiba Yehuwa berfirman kepadanya, “Elia, apakah yang engkau buat di sini?” 10  Elia menjawab, “Ya Tuhan Yehuwa, ketua angkatan syurga,+ aku telah menyembah-Mu dengan penuh semangat. Tetapi umat Israel telah melanggar perjanjian-Mu.+ Mereka merobohkan mazbah-Mu dan membunuh nabi-nabi-Mu dengan pedang.+ Aku seorang sahaja yang tertinggal. Kini mereka mencari aku kerana ingin membunuh aku.”+ 11  Tuhan berfirman, “Keluarlah dan berdirilah di gunung, di hadapan Yehuwa.” Tiba-tiba Yehuwa lalu di hadapan Elia.+ Angin ribut yang kuat sedang membelah gunung-ganang dan memecahkan bukit-bukit batu di hadapan Yehuwa, tetapi Yehuwa tidak berada di dalam angin itu.+ Selepas angin ribut itu, gempa bumi berlaku, tetapi Yehuwa tidak berada di dalam gempa bumi itu.+ 12  Selepas gempa bumi, api datang,+ tetapi Yehuwa tidak berada di dalam api itu. Selepas api itu, kedengaran suatu suara yang tenang dan lembut.+ 13  Sebaik sahaja Elia mendengar suara itu, dia menutup mukanya dengan jubahnya*+ lalu keluar berdiri di mulut gua. Suara itu menanya Elia, “Elia, apakah yang engkau buat di sini?” 14  Dia menjawab, “Ya Tuhan Yehuwa, ketua angkatan syurga, aku telah menyembah-Mu dengan penuh semangat. Tetapi umat Israel telah melanggar perjanjian-Mu.+ Mereka merobohkan mazbah-Mu dan membunuh nabi-nabi-Mu dengan pedang. Aku seorang sahaja yang tertinggal. Kini mereka mencari aku kerana ingin membunuh aku.”+ 15  Yehuwa berfirman kepadanya, “Kembalilah, dan pergilah ke padang belantara di Damsyik. Apabila engkau tiba di sana, lantiklah Hazael+ untuk menjadi raja Siria. 16  Kemudian lantiklah Yehu+ cucu Nimsi untuk menjadi raja Israel. Selanjutnya, lantiklah Elisa* anak Safat dari Abel-mehola sebagai nabi untuk menggantikan engkau.+ 17  Sesiapa yang dapat melarikan diri daripada pedang Hazael+ akan dibunuh oleh Yehu.+ Sesiapa yang terlepas daripada pedang Yehu akan dibunuh oleh Elisa.+ 18  Selain itu, masih ada 7,000 orang di Israel+ yang belum pernah sujud menyembah Baal+ dan belum pernah menciumnya.”+ 19  Selepas Elia beredar dari sana, dia bertemu dengan Elisa anak Safat yang sedang membajak tanah dengan menggunakan 12 pasang lembu jantan. Pada masa itu, Elisa berdiri bersama pasangan lembu yang ke-12. Maka Elia berlari ke arah Elisa dan memakaikan jubahnya+ pada Elisa. 20  Elisa meninggalkan kawanan lembunya dan mengejar Elia lalu berkata, “Benarkanlah aku mencium ibu bapaku terlebih dahulu. Selepas itu, aku akan mengikut tuan.” Elia menjawab, “Pergilah, aku tidak melarang kamu.” 21  Kemudian Elisa pulang dan mengambil sepasang lembu lalu menyembelih lembu-lembu itu. Dia menggunakan alatan membajak sebagai kayu api untuk memasak daging lembu itu. Dia menghidangkan makanan itu kepada semua orang dan mereka pun memakannya. Selepas itu, Elisa bangun dan mengikut Elia sebagai pembantunya.+

Nota Kaki

Atau “pakaian istimewanya.”
Maksudnya “Tuhan ialah Penyelamat.”