Satu Raja-Raja 20:1-43

  • Orang Siria berperang melawan Ahab (1-12)

  • Ahab mengalahkan orang Siria (13-34)

  • Nubuat tentang Ahab (35-43)

20  Ben-hadad,+ iaitu raja Siria,+ mengumpulkan seluruh angkatan tenteranya bersama dengan 32 orang raja yang lain berserta kuda-kuda dan kereta kuda mereka. Kemudian Ben-hadad pergi mengepung+ dan menyerang kota Samaria.+ 2  Dia mengirim utusan ke kota itu dengan pesanan kepada Ahab,+ raja Israel, “Inilah perintah Raja Ben-hadad: 3  ‘Perak dan emas tuanku akan menjadi milik beta. Demikian juga dengan isteri-isteri tuanku yang paling cantik dan anak-anak lelaki tuanku yang paling tampan.’” 4  Raja Israel menjawabnya, “Seperti yang diperintahkan oleh tuanku raja, beta dan segala milik beta akan menjadi kepunyaan tuanku.”+ 5  Utusan-utusan itu kembali kepada Ahab dan berkata, “Inilah kata-kata Raja Ben-hadad: ‘Beta pernah memberikan perintah agar tuanku memberi beta perak, emas, dan anak-anak lelaki serta isteri-isteri tuanku. 6  Tetapi pada hari esok, kira-kira pada waktu ini, beta akan mengutus para pegawai beta kepada tuanku. Mereka akan menggeledah istana tuanku dan rumah-rumah pegawai tuanku. Mereka akan mengambil segala yang berharga daripada tuanku.’” 7  Maka raja Israel memanggil semua pemimpin negerinya dan berkata, “Lihatlah! Lelaki itu hendak menyusahkan kita. Semasa dia menyuruh beta menyerahkan perak, emas, dan isteri-isteri serta anak-anak lelaki beta kepadanya, beta tidak menolak permintaannya.” 8  Lalu semua pemimpin dan semua orang berkata kepada raja, “Jangan patuhi perintahnya, dan jangan turuti permintaannya.” 9  Raja Israel berkata kepada para utusan Ben-hadad, “Katakanlah kepada tuanku Raja Ben-hadad bahawa beta akan memenuhi segala tuntutannya yang pertama, tetapi beta tidak dapat menuruti permintaannya yang kedua ini.” Maka para utusan itu pergi dan menyampaikan pesanan itu kepada Ben-hadad. 10  Kemudian Ben-hadad mengirim pesanan berikut kepadanya: “Beta akan datang dengan angkatan tentera yang sangat besar untuk menghancurkan kota Samaria. Debu yang tertinggal dari kota ini tidak akan cukup untuk mengisi genggaman setiap orang yang mengiringi beta. Jika beta gagal melakukan semua hal ini, biarlah dewa dewi beta menghukum beta dan melipatgandakan hukuman beta!” 11  Raja Israel menjawab, “Beritahulah Ben-hadad bahawa sebelum perang bermula, jangan berlagak seakan-akan baginda sudah meraih kemenangan.”+ 12  Ben-hadad mendengar pesanan ini ketika dia sedang minum arak di dalam khemah bersama raja-raja yang lain. Dia berkata kepada para pegawainya, “Bersedialah untuk berperang!” Maka mereka bersiap-siap untuk menyerang kota Samaria. 13  Seorang nabi menghadap Ahab, raja Israel,+ dan berkata, “Inilah firman Yehuwa: ‘Tengoklah angkatan yang besar ini. Hari ini, Aku akan menyerahkan mereka ke dalam tanganmu. Dengan demikian, engkau akan tahu bahawa Akulah Yehuwa.’”+ 14  Ahab bertanya, “Bagaimanakah hal itu akan berlaku?” Nabi itu menjawab, “Yehuwa berfirman, ‘Melalui pembantu-pembantu para pegawai daerah.’” Ahab bertanya lagi, “Siapakah yang akan memulakan serangan?” Nabi itu menjawab, “Tuanku!” 15  Ahab mengira pembantu-pembantu para pegawai daerah, dan jumlahnya 232 orang. Selepas itu, dia mengira semua askar orang Israel, dan jumlahnya 7,000 orang. 16  Mereka keluar dari kota pada waktu tengah hari. (Pada masa itu, Ben-hadad sedang minum sampai mabuk di dalam khemah bersama 32 orang raja yang menolong dia.) 17  Mula-mula, para pembantu itu keluar dari kota. Ben-hadad segera menghantar utusan untuk melihat apa yang sedang berlaku. Utusan itu kembali dan melaporkan, “Ada orang yang keluar dari Samaria.” 18  Maka Ben-hadad berkata, “Jika mereka keluar untuk berdamai, tangkaplah mereka hidup-hidup. Jika mereka keluar untuk berperang, kamu juga harus tangkap mereka hidup-hidup.” 19  Apabila para pembantu itu keluar dari kota diikuti dengan askar-askar Israel, 20  mereka membunuh musuh yang ada di hadapan mereka. Maka orang Siria melarikan diri+ sambil dikejar oleh orang Israel. Tetapi Ben-hadad, raja Siria, berjaya melarikan diri dengan menaiki kudanya bersama beberapa orang askar berkuda. 21  Raja Israel keluar dan terus menawan kuda-kuda dan kereta kuda musuh sehingga orang Siria kalah teruk.* 22  Kemudian nabi itu+ menghadap raja Israel dan berkata kepadanya, “Pergilah dan kuatkanlah diri tuanku. Fikirlah masak-masak tentang tindakan tuanku yang seterusnya+ kerana pada awal tahun depan* raja Siria akan menyerang tuanku.”+ 23  Para pegawai raja Siria berkata kepadanya, “Tuhan yang disembah mereka tinggal di pergunungan. Itulah sebabnya mereka dapat mengalahkan kita. Tetapi jika kita bertempur dengan mereka di tanah rata, kita pasti dapat mengalahkan mereka. 24  Tuanku juga harus melantik para gabenor untuk menggantikan semua raja itu di medan pertempuran.+ 25  Selepas itu, kumpulkan angkatan tentera sebesar angkatan tentera yang telah dikalahkan dahulu. Sediakanlah kuda dan kereta kuda yang sama bilangannya seperti dahulu. Marilah kita bertempur dengan mereka di tanah rata, dan kita pasti akan mengalahkan mereka.” Maka raja pun mendengar nasihat mereka dan melakukan segala yang dikatakan oleh mereka. 26  Pada awal tahun* yang berikutnya, Ben-hadad mengumpulkan tentera Siria lalu pergi ke Afek+ untuk bertempur dengan orang Israel. 27  Tentera Israel juga dikumpulkan dan dibekalkan dengan makanan lalu mereka keluar untuk menghadap tentera Siria. Jika dibandingkan dengan tentera Siria, tentera Israel yang berkhemah di hadapan mereka nampaknya sangat kecil, hanya seperti dua kawanan kambing, sedangkan tentera Siria memenuhi seluruh daerah itu.+ 28  Kemudian nabi Tuhan menghadap raja Israel lalu berkata, “Inilah firman Yehuwa: ‘Memandangkan orang Siria telah berkata, “Yehuwa ialah Tuhan yang tinggal di pergunungan, dan bukannya Tuhan yang tinggal di tanah rata,” Aku akan menyerahkan tentera yang besar ini ke dalam tanganmu.+ Dengan demikian, engkau akan tahu bahawa Akulah Yehuwa.’”+ 29  Selama tujuh hari mereka berkhemah berhadapan dengan satu sama lain. Kemudian pada hari yang ketujuh, mereka mula berperang. Dalam masa satu hari, tentera Israel membunuh 100,000 orang askar Siria yang berjalan kaki. 30  Askar yang lain melarikan diri ke kota Afek.+ Tetapi tembok kota itu roboh lalu menimpa 27,000 orang askar Siria yang masih tinggal. Ben-hadad juga melarikan diri ke kota itu, dan dia menyembunyikan diri di dalam bilik belakang sebuah rumah. 31  Pegawai-pegawai Ben-hadad berkata kepadanya, “Hamba sekalian mendengar bahawa raja-raja keturunan Israel berbelas kasihan. Benarkanlah hamba sekalian mengenakan kain guni pada pinggang kami dan mengikat tali pada kepala kami. Kemudian hamba sekalian akan pergi menghadap raja Israel. Raja mungkin akan membiarkan tuanku terus hidup.”+ 32  Para pegawai itu pun mengenakan kain guni pada pinggang mereka dan mengikat tali pada kepala mereka. Selepas itu, mereka pergi menemui raja Israel dan berkata, “Hamba tuanku, Raja Ben-hadad, memohon supaya tuanku membenarkannya untuk terus hidup.” Raja Israel berkata, “Adakah baginda masih hidup? Baginda ialah saudara beta.” 33  Para pegawai itu menganggap hal itu sebagai petanda yang baik dan segera mempercayai kata-kata raja. Mereka menjawab, “Ben-hadad memang saudara tuanku.” Maka raja berkata, “Bawalah Ben-hadad kepada beta.” Apabila Ben-hadad tiba, raja mengajaknya untuk menaiki kereta kuda. 34  Ben-hadad berkata kepadanya, “Beta akan mengembalikan kota-kota yang telah diambil oleh ayahanda beta daripada ayahanda tuanku. Tuanku boleh membuka pasar* di Damsyik, seperti yang dilakukan oleh ayahanda beta di Samaria.” Raja menjawab, “Atas dasar perjanjian ini, beta akan melepaskan tuanku.” Maka Ahab membuat perjanjian dengan Ben-hadad lalu membiarkannya pergi. 35  Atas perintah Yehuwa, seorang daripada sekumpulan nabi*+ berkata kepada sahabatnya, “Pukullah aku.” Tetapi sahabatnya enggan berbuat demikian. 36  Maka nabi itu berkata kepada sahabatnya, “Memandangkan kamu tidak mendengar perintah Yehuwa, seekor singa akan membunuhmu sebaik sahaja kamu meninggalkan aku.” Oleh itu, sebaik sahaja sahabatnya pergi dari situ, seekor singa menyerangnya lalu membunuhnya. 37  Nabi itu pergi kepada orang lain dan berkata, “Pukullah aku.” Maka orang itu memukulnya sehingga dia luka. 38  Nabi itu membalut matanya dengan kain dan menyamar sebagai orang lain. Kemudian dia menunggu Raja Ahab di tepi jalan. 39  Semasa raja lalu di hadapannya, nabi itu berseru, “Tuanku, semasa hamba berada di medan pertempuran, ada seorang lelaki membawa seorang tawanan kepada hamba lalu berkata, ‘Jagalah dia. Andai kata dia melarikan diri, kamu harus menggantikan nyawanya dengan nyawamu,+ atau kamu harus membayar satu talenta* perak untuk nyawanya.’ 40  Semasa hamba sibuk ke sana ke sini, tiba-tiba tawanan itu hilang.” Raja Israel berkata kepadanya, “Begitulah hukumanmu, kamu sendiri telah menetapkannya.” 41  Nabi itu segera membuka balutan pada matanya. Pada saat itu juga raja mengetahui bahawa dia ialah seorang nabi.+ 42  Nabi itu berkata kepada raja, “Inilah firman Yehuwa: ‘Oleh sebab engkau telah membebaskan orang yang Aku perintahkan supaya dibunuh,+ nyawamu akan menggantikan nyawanya,+ dan rakyatmu akan menggantikan rakyatnya.’”+ 43  Maka raja Israel balik ke Samaria+ dengan hati yang sedih dan kecewa.

Nota Kaki

Atau “sehingga banyak orang Siria dibunuh.”
Iaitu, pada musim bunga yang seterusnya.
Iaitu, pada musim bunga.
Atau “boleh memilih mana-mana jalan.”
Harfiah, “daripada anak-anak nabi.” Ungkapan ini mungkin merujuk kepada sekolah yang melatih nabi atau merujuk kepada persatuan nabi.