Satu Raja-Raja 21:1-29
21 Selepas hal-hal itu, berlakulah peristiwa tentang ladang anggur milik Nabot, seorang lelaki dari Yizreel. Ladang itu terletak di Yizreel,+ iaitu bersebelahan dengan istana Ahab, raja Samaria.
2 Ahab berkata kepada Nabot, “Berikanlah ladang anggurmu kepada beta kerana ladang kamu terletak dekat istana beta. Beta mahu menggunakan ladang itu sebagai kebun sayur. Sebagai ganti, beta akan memberi kamu ladang anggur yang lebih baik. Atau jika kamu suka, beta akan membeli ladang itu dengan harga yang berpatutan.”
3 Tetapi Nabot berkata kepada Ahab, “Dari sudut pandangan Yehuwa, hamba tidak boleh memberikan harta warisan nenek moyang hamba kepada tuanku.”+
4 Maka Ahab pulang ke istananya dengan sedih dan kecewa kerana Nabot telah berkata, “Hamba tidak boleh memberikan harta warisan nenek moyang hamba kepada tuanku.” Dia pun berbaring di atas katilnya dengan muka menghadap ke tembok. Dia juga tidak mahu makan.
5 Isterinya Izebel+ datang kepadanya dan bertanya, “Mengapakah kamu begitu sedih dan tidak mahu makan?”
6 Raja menjawab, “Aku telah berkata kepada Nabot, orang Yizreel itu, ‘Juallah ladang anggurmu kepada beta. Atau jika kamu suka, beta akan memberi kamu ladang anggur yang lebih baik.’ Tetapi Nabot menjawab, ‘Hamba tidak boleh memberikan ladang hamba kepada tuanku.’”
7 Izebel berkata, “Bukankah kamu raja atas seluruh Israel? Bangunlah dan makanlah. Biarlah hatimu bersukacita kerana aku akan mendapatkan ladang anggur Nabot, orang Yizreel itu, untukmu.”+
8 Kemudian Izebel menulis beberapa pucuk surat atas nama Raja Ahab dan memeterainya dengan meterai raja.+ Selepas itu dia mengirimkan surat-surat itu kepada para pemimpin+ dan orang bangsawan yang tinggal di kota yang sama dengan Nabot.
9 Dalam surat-surat itu, Izebel menulis: “Isytiharkanlah puasa dan suruhlah Nabot duduk di tempat yang khas di depan semua orang.
10 Suruhlah dua orang yang jahat duduk di depan Nabot dan menuduh dia,+ ‘Kamu telah mengutuk Tuhan dan raja!’+ Kemudian bawalah Nabot keluar dan rejamlah dia sampai mati.”+
11 Maka orang yang tinggal di dalam kota itu, iaitu para pemimpin dan orang bangsawan, melaksanakan perintah Izebel, sesuai dengan apa yang dinyatakan dalam surat-surat yang dikirimnya.
12 Mereka mengisytiharkan puasa dan menyuruh Nabot duduk di tempat yang khas di depan semua orang.
13 Kemudian dua orang yang jahat masuk lalu duduk di depan Nabot dan menuduhnya di depan semua orang, “Nabot telah mengutuk Tuhan dan raja!”+ Setelah itu, mereka membawa Nabot ke luar kota dan merejamnya sampai mati.+
14 Kemudian mereka mengirim berita kepada Izebel, “Nabot telah direjam sampai mati.”+
15 Sebaik sahaja Izebel mendengar bahawa Nabot telah direjam sampai mati, dia berkata kepada Ahab, “Nabot sudah tiada lagi. Ya, dia sudah mati. Sekarang bangunlah dan ambillah ladang anggur yang tidak mahu dijualnya kepadamu.”+
16 Ketika Ahab mendengar bahawa Nabot sudah mati, dia segera bangun dan pergi untuk mengambil ladang anggur itu sebagai miliknya.
17 Yehuwa berfirman kepada Elia,+ orang Tisbi itu,
18 “Pergilah ke Samaria+ dan berjumpalah dengan Ahab, raja Israel. Dia berada di ladang anggur Nabot untuk mengambil ladang itu sebagai miliknya.
19 Engkau harus berkata kepada Ahab, ‘Inilah firman Yehuwa: “Setelah engkau membunuh pemiliknya,+ adakah engkau hendak mengambil harta miliknya pula?”’+ Kemudian beritahulah dia, ‘Inilah firman Yehuwa: “Di tempat anjing-anjing menjilat darah Nabot, di situ jugalah darahmu akan dijilat anjing.”’”+
20 Ahab berkata kepada Elia, “Hai musuhku, kamu berjaya menemui beta!”+ Elia menjawab, “Ya, hamba berjaya menemui tuanku. Inilah firman Tuhan: ‘Oleh sebab engkau bertekad untuk melakukan apa yang jahat di mata Yehuwa,+
21 Aku akan membawa malapetaka kepadamu. Aku akan menyingkirkan dan melenyapkan engkau dan semua lelaki dalam keluargamu,+ termasuk yang lemah dan yang tidak berdaya daripada kalangan orang Israel.+
22 Keturunanmu akan menjadi seperti keturunan Yerobeam+ anak Nebat dan keturunan Baesa+ anak Ahia. Hal ini demikian kerana engkau telah membuat Aku murka dan menyebabkan orang Israel berdosa.’
23 Berkenaan Izebel, Yehuwa juga telah berfirman, ‘Anjing-anjing akan memakan mayat Izebel di sebidang tanah di Yizreel.+
24 Semua keturunan Ahab yang mati di dalam kota akan dimakan oleh anjing-anjing, dan semua keturunannya yang mati di luar kota akan dimakan oleh burung-burung di langit.+
25 Sememangnya tidak pernah ada orang seperti Ahab.+ Dengan desakan isterinya Izebel, dia bertekad untuk melakukan apa yang jahat di mata Yehuwa.+
26 Dia melakukan dosa yang paling keji kerana dia menyembah patung-patung berhala yang menjijikkan.* Perbuatannya sama seperti perbuatan semua orang Amori yang telah diusir oleh Yehuwa dari hadapan orang Israel.’”+
27 Sebaik sahaja Ahab mendengar kata-kata ini, dia mengoyakkan pakaiannya dan mengenakan kain guni lalu berpuasa. Dia berbaring dengan mengenakan kain guni dan berjalan dengan berdukacita.
28 Kemudian Yehuwa berfirman kepada Elia, orang Tisbi itu,
29 “Adakah engkau melihat bagaimana Ahab telah merendahkan dirinya kerana Aku?+ Oleh sebab dia telah berbuat demikian, Aku tidak akan membawa malapetaka itu sepanjang hayatnya. Aku akan membawa malapetaka itu kepada keturunannya pada zaman anak lelakinya.”+