1 Raja-Raja 22:1-53

  • Ahab berpakat dengan Yehosafat (1-12)

  • Nubuat Mikhaya tentang kekalahan Ahab (13-28)

    • Malaikat memperdaya Ahab (21, 22)

  • Ahab dibunuh di Ramot-gilead (29-40)

  • Yehosafat memerintah Yehuda (41-50)

  • Ahazia menjadi raja Israel (51-53)

22  Siria dan Israel tidak berperang selama tiga tahun.  Pada tahun ketiga, Raja Yehosafat+ dari Yehuda pergi berjumpa dengan raja Israel.+  Raja Israel berkata kepada para pegawainya, “Tahukah kamu bahawa Ramot-gilead+ milik kita? Tetapi mengapa pula kita teragak-agak untuk merampas semula kota itu daripada raja Siria?”  Lalu raja Israel berkata kepada Yehosafat, “Adakah tuanku sudi untuk pergi menawan Ramot-gilead bersama-sama beta?” Yehosafat menjawabnya, “Ya, mari kita pergi bersama-sama. Tentera dan pasukan berkuda beta akan bergabung dengan tentera dan pasukan berkuda tuanku.”+  Namun Yehosafat berkata kepada raja Israel, “Marilah kita meminta petunjuk daripada Yehuwa terlebih dahulu.”+  Maka raja Israel mengumpulkan para nabi yang berjumlah lebih kurang 400 orang. Dia berkata kepada mereka, “Patutkah beta pergi menawan kota Ramot-gilead atau tidak?” Mereka menjawab, “Pergilah tuanku. Yehuwa pasti akan menyerahkan kota itu ke dalam tangan tuanku.”  Tetapi Yehosafat berkata, “Tidak adakah nabi Yehuwa di sini? Marilah kita meminta petunjuk Tuhan daripadanya.”+  Maka raja Israel menjawab Yehosafat, “Masih ada seorang lagi yang boleh mendapatkan petunjuk daripada Yehuwa.+ Dia ialah Mikhaya anak Yimla. Tetapi beta membencinya+ kerana dia tidak pernah bernubuat tentang perkara yang baik bagi beta. Dia hanya bernubuat tentang hal yang buruk.”+ Tetapi Yehosafat berkata, “Tuanku tidak sepatutnya berkata demikian.”  Raja Israel memanggil seorang pegawai istana dan berkata, “Cepat, bawalah Mikhaya anak Yimla kepada beta.”+ 10  Pada masa itu, Ahab dan Yehosafat sedang memakai pakaian diraja dan duduk di atas takhta yang terletak di tempat mengirik* tuaian, iaitu dekat pintu masuk kota Samaria. Semua nabi bernubuat di hadapan mereka.+ 11  Kemudian Zedekia anak Kenaana membuat beberapa buah tanduk besi lalu berkata, “Inilah firman Yehuwa: ‘Engkau akan menggunakan tanduk-tanduk ini untuk menyerang* orang Siria sehingga mereka lenyap sama sekali.’” 12  Nabi-nabi yang lain juga bernubuat dan berkata, “Pergilah ke Ramot-gilead. Tuanku pasti berjaya. Yehuwa akan menyerahkan kota itu ke dalam tangan tuanku.” 13  Maka utusan yang pergi memanggil Mikhaya berkata kepadanya, “Nabi-nabi yang lain mengatakan hal yang baik dengan sebulat suara. Hendaklah kamu juga mengatakan hal yang baik bagi raja, seperti mereka.”+ 14  Tetapi Mikhaya berkata, “Demi Yehuwa yang hidup, aku hanya akan menyampaikan apa yang difirmankan oleh Yehuwa kepadaku.” 15  Apabila Mikhaya menghadap raja, raja bertanya kepadanya, “Mikhaya, patutkah beta berdua pergi menawan kota Ramot-gilead atau tidak?” Mikhaya segera menjawab, “Pergilah dan tuanku pasti berjaya. Yehuwa akan menyerahkan kota itu ke dalam tangan tuanku.” 16  Maka raja berkata, “Berapa kalikah beta harus menyuruh kamu untuk bersumpah bahawa kamu akan berkata benar demi nama Yehuwa?” 17  Selepas itu, Mikhaya berkata, “Hamba nampak semua rakyat Israel berkeliaran di gunung-gunung+ seperti biri-biri tanpa gembala. Yehuwa telah berfirman, ‘Mereka tidak mempunyai tuan. Biarlah mereka pulang ke rumah masing-masing dengan aman.’” 18  Maka raja Israel berkata kepada Yehosafat, “Bukankah beta sudah berkata bahawa dia tidak akan bernubuat tentang perkara yang baik bagi beta? Dia hanya bernubuat tentang hal yang buruk!”+ 19  Mikhaya berkata lagi, “Dengarlah firman Yehuwa: Hamba nampak Yehuwa sedang duduk di atas takhta-Nya,+ dan seluruh angkatan tentera syurga berdiri di sebelah kanan dan di sebelah kiri-Nya.+ 20  Yehuwa bertanya, ‘Siapakah yang akan memperdaya Ahab supaya dia pergi ke Ramot-gilead lalu terbunuh di sana?’ Ada malaikat yang berkata begini, ada pula yang berkata begitu. 21  Kemudian satu malaikat+ tampil dan menghadap Yehuwa lalu berkata, ‘Aku akan memperdaya Ahab.’ Yehuwa bertanya kepadanya, ‘Bagaimanakah engkau akan berbuat demikian?’ 22  Malaikat itu menjawab, ‘Aku akan pergi lalu membuat semua nabi Ahab bercakap bohong.’+ Maka Tuhan berfirman, ‘Pergilah dan buatlah demikian. Engkau akan memperdayanya dan engkau akan berjaya.’ 23  Oleh itu, Yehuwa mengutus malaikat itu untuk membuat nabi-nabi tuanku bercakap bohong.+ Sebenarnya Yehuwa telah menyatakan bahawa tuanku akan ditimpa malapetaka.”+ 24  Zedekia anak Kenaana menghampiri Mikhaya lalu menampar pipinya. Dia bertanya, “Adakah kamu fikir bahawa kuasa suci Yehuwa telah meninggalkan aku lalu bercakap kepadamu?”+ 25  Mikhaya menjawab, “Pada hari kamu masuk ke dalam bilik belakang untuk bersembunyi, pada hari itulah kamu akan mengetahuinya.” 26  Kemudian raja Israel berkata, “Bawa Mikhaya dan serahkannya kepada Amon, penguasa kota itu, dan kepada Yoas, anak raja. 27  Beritahulah mereka, ‘Inilah perintah raja: “Masukkan orang ini ke dalam penjara.+ Beri dia sedikit roti dan air sahaja sehingga beta kembali dengan selamat.”’” 28  Mikhaya berkata, “Jika tuanku kembali dengan selamat, maksudnya Yehuwa tidak berfirman melalui hamba.”+ Dia menyambung, “Hai semua orang, dengarlah apa yang telah aku katakan ini.” 29  Maka raja Israel dan Yehosafat, raja Yehuda, pergi ke Ramot-gilead.+ 30  Raja Israel berkata kepada Yehosafat, “Apabila kita pergi bertempur, beta akan menyamar tetapi tuanku akan memakai pakaian diraja tuanku.” Oleh itu, raja Israel pun menyamar ketika pergi bertempur.+ 31  Raja Siria telah mengarahkan 32 orang ketua pasukan kereta kudanya dengan berkata,+ “Janganlah menyerang sesiapa pun, baik panglima tentera mahupun askar biasa. Seranglah raja Israel sahaja.” 32  Sebaik sahaja ketua-ketua itu nampak Yehosafat, mereka berkata kepada satu sama lain, “Sudah pasti itu raja Israel!” Maka mereka pergi menyerang dia, dan Yehosafat mula berteriak meminta tolong. 33  Apabila mereka sedar bahawa dia bukan raja Israel, mereka segera berundur dan tidak mengejarnya lagi. 34  Salah seorang askar Siria melepaskan anak panah, dan kebetulan anak panah itu menusuk Raja Ahab di antara sambungan baju zirahnya. Maka raja berkata kepada pemandu kereta kudanya, “Berundurlah dan bawalah beta keluar dari medan pertempuran ini kerana beta cedera parah.”+ 35  Pertempuran itu berlangsung sepanjang hari. Sementara itu, orang lain memegang Raja Ahab agar dia dapat berdiri di dalam kereta kudanya sambil menghadap orang Siria. Darah mengalir dari lukanya ke dalam kereta kuda, dan dia mati pada petang hari.+ 36  Kira-kira pada waktu matahari terbenam, perintah berikut dilaungkan kepada semua tentera Israel: “Pulanglah ke kota masing-masing! Setiap orang haruslah pulang ke tanah mereka!”+ 37  Demikianlah Raja Ahab meninggal. Mayatnya dibawa ke Samaria dan dikebumikan di situ. 38  Apabila kereta kuda raja dicuci di sebuah kolam di Samaria, anjing-anjing menjilat darahnya dan para pelacur mandi di situ. Semuanya berlaku tepat seperti yang difirmankan oleh Yehuwa.+ 39  Berkenaan kisah hidup Ahab yang lain, iaitu kisah tentang apa yang telah dilakukannya, istana gading+ yang didirikannya, dan semua kota yang telah dibinanya, semuanya tertulis dalam buku sejarah tentang zaman raja-raja Israel. 40  Ahab meninggal+ dan anak lelakinya yang bernama Ahazia+ menggantikannya sebagai raja. 41  Yehosafat+ anak Asa mula memerintah Yehuda pada tahun keempat Ahab menjadi raja Israel. 42  Yehosafat berusia 35 tahun semasa dia menjadi raja. Dia memerintah di Yerusalem selama 25 tahun. Ibunya ialah Azubah, anak perempuan Silhi. 43  Yehosafat tidak menyimpang dan terus mengikut segala jejak bapanya Asa.+ Dia melakukan apa yang benar di mata Yehuwa.+ Tetapi dia tidak memusnahkan tempat-tempat ibadat, dan rakyat masih mempersembahkan korban di situ dan membakar korban itu sehingga asap naik.+ 44  Yehosafat terus berdamai dengan raja Israel.+ 45  Berkenaan kisah hidup Yehosafat yang lain, iaitu kisah tentang kegagahannya dan bagaimana dia berperang, semuanya tertulis dalam buku sejarah tentang zaman raja-raja Yehuda. 46  Selain itu, Yehosafat mengusir pelacur-pelacur lelaki di kuil+ yang tidak dihalau oleh bapanya Asa. Yehosafat mengusir mereka semua dari negerinya.+ 47  Pada masa itu, negeri Edom tidak ada raja.+ Negeri itu diperintah oleh seorang pembesar.+ 48  Yehosafat menghantar kapal-kapal Tarsis ke Ofir untuk mengambil emas,+ tetapi kapal-kapal itu rosak di Ezion-geber dan tidak berjaya belayar ke sana.+ 49  Maka Ahazia anak Ahab berkata kepada Yehosafat, “Biarlah hamba-hamba beta belayar di atas kapal bersama hamba-hamba tuanku.” Tetapi Yehosafat menolak permintaannya. 50  Yehosafat meninggal lalu dikebumikan bersama nenek moyangnya+ di Kota Daud. Anak lelakinya yang bernama Yehoram+ menggantikannya sebagai raja. 51  Ahazia+ anak Ahab menjadi raja seluruh Israel dan memerintah di Samaria pada tahun ke-17 pemerintahan Yehosafat, raja Yehuda. Ahazia memerintah Israel selama dua tahun. 52  Dia asyik melakukan hal-hal yang buruk di mata Yehuwa dan mengikut jejak ibu bapanya+ serta mengikut haluan Yerobeam anak Nebat, yang telah menyebabkan orang Israel berdosa.+ 53  Dia terus sujud menyembah Baal.+ Seperti bapanya, dia asyik membangkitkan kemurkaan Yehuwa, Tuhan orang Israel.+

Nota Kaki

Proses memisahkan buah daripada tangkai.
Atau “menolak; menanduk.”