Satu Raja-Raja 5:1-18
5 Sejak dahulu lagi, Raja Hiram dari Tirus+ bersahabat dengan Daud. Apabila Hiram mendengar bahawa Salomo telah diurapi sebagai raja untuk menggantikan bapanya Daud, dia mengutus para pegawainya kepada Salomo.+
2 Salomo pun mengirim pesanan berikut kepada Hiram:+
3 “Tuanku tahu bahawa Daud, ayahanda beta, tidak diizinkan untuk membina sebuah rumah untuk memuliakan nama Yehuwa, Tuhan baginda, kerana baginda telah berperang melawan musuh-musuh di sekelilingnya. Namun akhirnya Yehuwa memberikan kemenangan kepada baginda atas mereka semua.+
4 Sekarang Yehuwa, Tuhan beta, telah mengurniakan kedamaian kepada beta. Seluruh kawasan pemerintahan beta aman.+ Beta tidak ada musuh, dan tidak ada malapetaka yang menimpa negeri beta.+
5 Yehuwa telah berjanji kepada Daud, ayahanda beta, ‘Aku akan melantik anakmu untuk duduk di atas takhtamu. Anak itulah yang akan membina sebuah rumah untuk memuliakan nama-Ku.’ Oleh itu, beta ingin membina sebuah rumah untuk memuliakan nama Yehuwa, Tuhan beta.+
6 Jika tuanku berkenan, mintalah rakyat tuanku untuk menebang pokok sedar di Lebanon+ bagi beta. Hamba-hamba beta akan bekerja bersama hamba-hamba tuanku. Beta akan membayar upah hamba-hamba tuanku, menurut kadar yang tuanku tetapkan. Sebagaimana tuanku maklum, tiada seorang pun antara rakyat beta yang pandai menebang pokok seperti orang Sidon.”+
7 Apabila Hiram mendengar kata-kata Salomo, dia sangat gembira. Dia berkata, “Terpujilah Yehuwa hari ini, kerana Dia telah mengurniakan anak yang bijaksana kepada Daud, dan anak ini akan memimpin umat yang begitu banyak bilangannya!”+
8 Lalu Hiram mengirim jawapan ini kepada Salomo: “Beta telah menerima pesanan yang tuanku kirimkan. Beta akan memenuhi segala permintaan tuanku dengan menyediakan kayu sedar dan kayu juniper.+
9 Dari Lebanon, hamba-hamba beta akan menghantar kayu-kayu balak itu ke laut. Kayu-kayu itu akan diikat menjadi rakit lalu dihanyutkan di laut sampai ke tempat pilihan tuanku. Di sana, hamba-hamba beta akan membuka ikatannya supaya tuanku boleh mengangkutnya. Sebagai upah beta, sediakanlah makanan yang diperlukan oleh seisi istana beta.”+
10 Maka Hiram membekalkan semua kayu sedar dan kayu juniper kepada Salomo, seperti yang dikehendakinya.
11 Salomo memberi Hiram 20,000 bekas* gandum dan 20 bekas* minyak zaitun yang bermutu tinggi sebagai makanan untuk seisi istana Hiram. Itulah yang dilakukan oleh Salomo setiap tahun.+
12 Yehuwa menepati janji-Nya dengan mengurniakan kebijaksanaan kepada Salomo.+ Hiram dan Salomo mempunyai hubungan yang baik, dan mereka berdua membuat ikatan perjanjian.
13 Raja Salomo telah mewajibkan 30,000 orang lelaki dari seluruh Israel untuk menjadi pekerjanya.+
14 Setiap bulan, Raja Salomo menghantar 10,000 orang ke Lebanon mengikut giliran. Mereka menghabiskan masa sebulan di Lebanon, dan balik ke rumah masing-masing untuk dua bulan. Adoniram+ bertanggungjawab atas orang yang diwajibkan untuk bekerja bagi raja.
15 Salomo mempunyai 70,000 orang pekerja yang mengangkat barang yang berat dan 80,000 orang yang memotong batu+ di pergunungan.+
16 Selain itu, Salomo juga mempunyai 3,300 orang pembesar+ yang bertugas sebagai mandur untuk menyelia para pekerja itu.
17 Di bawah perintah raja, mereka mendapatkan batu-batu yang besar dan mahal+ lalu memotongnya untuk dijadikan sebagai asas+ Rumah Tuhan.
18 Maka para pekerja Salomo, para pekerja Hiram, dan orang Gebal+ memahat batu. Mereka juga menyediakan kayu dan batu untuk membina Rumah Tuhan.