Satu Raja-Raja 7:1-51
7 Salomo membina sebuah istana untuk dirinya,+ dan pembinaannya mengambil masa 13 tahun.+
2 Dia juga membina sebuah rumah yang dipanggil Rumah Hutan Lebanon.+ Rumah itu berukuran 100 hasta* panjang, 50 hasta lebar, dan 30 hasta tinggi. Rumah itu dibina di atas empat baris tiang kayu sedar. Selain itu, terdapat kayu sedar di atas tiang-tiang itu.+
3 Bahagian atas rumah itu dilapisi papan kayu sedar yang dipasang pada batang-batang kayu yang melintang dan disokong oleh tiang-tiang. Semuanya* berjumlah 45 batang, dan setiap baris ada 15 batang.
4 Rumah itu mempunyai tiga baris jendela yang berbingkai. Jendela-jendela pada dinding yang satu berhadapan dengan jendela-jendela pada dinding yang lain.
5 Semua jendela yang terdapat pada ketiga-tiga baris itu mempunyai bingkai yang berbentuk segi empat. Begitu juga dengan semua pintu masuk dan tiang pintunya.
6 Kemudian, dia membina Dewan Tiang yang berukuran 50 hasta panjang dan 30 hasta lebar. Di depan dewan itu, ada anjung beratap yang disokong oleh tiang-tiang.
7 Selain itu, Salomo membina Dewan Takhta,+ iaitu Dewan Penghakiman.+ Di situlah dia menjalankan kerja penghakimannya. Dewan itu dilapisi kayu sedar dari lantai sampai ke bumbung.
8 Tempat tinggal Salomo dibina di halaman lain,+ iaitu sedikit jauh dari Dewan Penghakiman dan didirikan dengan cara yang serupa. Salomo juga membuat sebuah rumah yang mirip dengan dewan ini untuk isterinya, iaitu anak perempuan Firaun.+
9 Semua bangunan ini, iaitu dari asas bangunan sampai ke bahagian atas dinding sampai ke halaman besar,* dibuat daripada batu-batu yang mahal.+ Batu-batu itu dipotong menurut ukuran yang ditentukan, lalu bahagian dalam dan bahagian luarnya diratakan dengan gergaji batu.+
10 Asas bangunan itu dibuat daripada batu-batu yang sangat besar dan mahal. Ada batu yang berukuran 10 hasta, dan ada juga yang berukuran 8 hasta.
11 Di atasnya, terdapat batu-batu mahal yang dipotong menurut ukuran yang ditentukan. Kayu-kayu sedar juga digunakan.
12 Di sekeliling halaman besar,* terdapat tembok yang terdiri daripada tiga lapis batu yang telah dipotong dan satu lapis kayu sedar, sama seperti tembok di halaman dalam+ yang mengelilingi Rumah Yehuwa dan anjung rumah itu.+
13 Raja Salomo mengutus orang untuk menjemput Hiram+ dari Tirus.
14 Ibu Hiram ialah seorang balu daripada suku Naftali, dan bapanya ialah seorang tukang tembaga dari Tirus.+ Hiram ialah seorang tukang tembaga yang sangat mahir, pandai,+ dan berpengalaman. Hiram datang kepada Raja Salomo dan melakukan segala kerja yang ditugaskan kepadanya.
15 Hiram membuat dua batang tiang tembaga.+ Setiap tiang berukuran 18 hasta tinggi, dan tiang itu dapat dililit dengan tali yang* berukuran 12 hasta panjang.+
16 Dia membuat dua buah kepala tiang daripada tembaga untuk diletakkan di atas tiang-tiang itu. Setiap kepala tiang berukuran lima hasta tinggi.
17 Kepala-kepala tiang itu dihiasi dengan tujuh utas rantai berpintal yang disambung untuk menjadi satu rangkaian.+ Setiap kepala tiang mempunyai satu rangkaian rantai.
18 Untuk menghiasi kepala tiang, dia membuat hiasan berbentuk buah delima yang disusun dalam dua baris di sekeliling setiap rangkaian rantai. Dia juga berbuat demikian untuk kepala tiang yang satu lagi.
19 Kepala-kepala tiang di anjung Rumah Tuhan mempunyai hiasan berbentuk bunga bakung yang berukuran empat hasta tinggi.
20 Bahagian bulat kepala-kepala tiang, iaitu dekat tempat rangkaian rantai, diletakkan di atas dua batang tiang. Terdapat 200 biji buah delima yang disusun berbaris pada setiap kepala tiang.+
21 Dia meletakkan tiang-tiang itu di hadapan anjung Rumah Tuhan.+ Tiang pertama yang dinamakan Yakhin* diletakkan di sebelah kanan, dan tiang kedua yang dinamakan Boaz* diletakkan di sebelah kiri.+
22 Bahagian atas tiang-tiang itu mempunyai hiasan berbentuk bunga bakung. Maka selesailah kerja pembinaan tiang-tiang itu.
23 Kemudian dia membuat sebuah tangki air yang besar, yang dipanggil Laut Tembaga.+ Tangki ini berbentuk bulat, garis tengahnya* berukuran 10 hasta, tingginya berukuran 5 hasta, dan dapat dililit dengan tali yang* berukuran 30 hasta panjang.+
24 Terdapat hiasan berbentuk labu yang mengelilingi mulut tangki itu, dan terdapat 10 biji labu dalam setiap hasta.+ Hiasan itu disusun dalam dua baris dan dibentuk dalam tuangan yang sama dengan Laut Tembaga.
25 Tangki itu diletakkan di atas 12 buah patung lembu jantan.+ Tiga ekor lembu menghadap ke utara, tiga ke barat, tiga ke selatan, dan tiga ke timur. Tangki itu diletakkan di atas lembu-lembu itu, dan semua lembu itu membelakangi tangki itu.
26 Tepi tangki itu setebal satu tapak tangan.* Bahagian tepinya seperti tepi cawan, dan melengkung ke luar seperti bunga bakung yang sedang mekar. Tangki itu dapat menampung sebanyak 44,000 liter* air.
27 Selepas itu, Hiram membuat 10 buah pedati* daripada tembaga.+ Setiap pedati berukuran empat hasta panjang, empat hasta lebar, dan tiga hasta tinggi.
28 Beginilah caranya pedati-pedati itu dibina: Bahagian tepi pedati itu dibuat daripada kepingan tembaga yang diletakkan di dalam bingkai-bingkai segi empat.
29 Pada kepingan-kepingan tembaga itu, terdapat hiasan berbentuk singa,+ lembu jantan, dan kerub.+ Hiasan yang sama juga terdapat pada bingkainya. Di sebelah atas dan di sebelah bawah hiasan singa dan lembu jantan itu, terdapat ukiran timbul yang berbentuk lingkaran.
30 Setiap pedati mempunyai empat buah roda tembaga dan batang-batang tembaga yang menghubungkan roda-roda itu. Pada keempat-empat penjuru pedati itu terdapat penyangga untuk menyangga roda-roda itu. Penyangga yang terdapat di bawah besen mempunyai hiasan berbentuk lingkaran pada setiap sisi. Hiasan dan penyangga itu dibentuk dalam tuangan yang sama.
31 Di bahagian atas pedati itu terdapat sebuah bingkai bulat dan di tepi bingkai bulat itu terdapat ukiran. Besen itu dimasukkan ke dalam bingkai itu. Ukuran dari bahagian bawah besen sampai ke bingkai itu ialah satu hasta tinggi. Bingkai bulat itu merupakan sebahagian daripada penyangga yang berukuran satu hasta setengah tinggi. Pada tepi bingkai itu juga terdapat kepingan tembaga yang berbentuk segi empat, bukannya bulat.
32 Keempat-empat roda terletak di bawah pedati itu dan setiap roda berukuran satu hasta setengah tinggi. Penyangga untuk menyokong roda juga telah disambungkan pada pedati itu.
33 Roda pedati itu seperti roda kereta kuda. Penyangga roda, rim, jejari, dan pusat roda pedati itu, semuanya dibuat daripada logam.
34 Empat batang penyangga pada setiap penjuru pedati itu dibuat sekali gus dengan pedati di dalam acuan yang sama.
35 Gelungan yang mengelilingi bahagian atas pedati itu berukuran setengah hasta tinggi. Bingkai dan kepingan-kepingan tembaga pada leher pedati serta bahagian atas pedati dibuat di dalam acuan yang sama.
36 Di atas bingkai dan kepingan-kepingan tembaga itu, terdapat ukiran kerub, singa, dan pokok palma pada semua tempat yang dapat diukir. Terdapat juga hiasan lingkaran yang mengelilinginya.+
37 Demikianlah caranya dia membina 10 buah pedati itu.+ Kesemuanya serupa,+ baik bentuknya mahupun ukurannya.
38 Dia membuat 10 buah besen daripada tembaga,+ sebuah besen untuk setiap pedati. Garis tengah* setiap besen berukuran empat hasta. Setiap besen dapat menampung sebanyak 880 liter* air.
39 Kemudian dia meletakkan lima buah pedati pada sebelah kanan Rumah Tuhan, dan lima buah pedati lagi pada sebelah kiri. Dia meletakkan Laut Tembaga pada sebelah kanan rumah itu, iaitu di sebelah tenggara.+
40 Selain itu, Hiram+ membuat besen yang lain, penyodok,+ dan mangkuk.+
Demikianlah Hiram menyelesaikan semua kerja di Rumah Yehuwa yang diperintahkan oleh Raja Salomo kepadanya. Inilah senarai hasil kerjanya:+
41 Dua batang tiang+ dan dua kepala tiang yang bentuknya seperti mangkuk, yang diletakkan di atas tiang-tiang itu; dua rangkaian rantai+ untuk menghiasi kepala-kepala tiang itu;
42 sebanyak 400 hiasan berbentuk buah delima+ untuk kedua-dua rangkaian rantai itu, iaitu dua baris buah delima untuk setiap rangkaian rantai;
43 sebanyak 10 buah pedati+ dan 10 buah besen+ di atas pedati-pedati itu;
44 Laut Tembaga+ dan 12 ekor lembu jantan di bawahnya;
45 dan baldi, penyodok, mangkuk serta semua perkakas yang dibuat oleh Hiram daripada tembaga yang telah digilap. Semua perkakas ini dibuat untuk Raja Salomo agar dapat digunakan di Rumah Yehuwa.
46 Raja Salomo memerintahkan agar semuanya dituangkan ke dalam acuan-acuan tanah liat yang terletak di antara Sukot dan Zaretan, di daerah Yordan.
47 Salomo tidak menimbang semua perkakas itu kerana bilangannya terlalu banyak. Maka berat tembaga yang digunakan tidak diketahui.+
48 Salomo membuat semua perabot dan perkakas untuk Rumah Yehuwa: Mazbah+ emas; meja emas+ untuk meletakkan roti yang dipersembahkan kepada Tuhan;
49 kaki pelita+ yang diperbuat daripada emas tulen yang diletakkan di hadapan Bilik Maha Suci, lima buah kaki pelita di sebelah kanan, dan lima buah lagi di sebelah kiri; bunga,+ pelita-pelita, dan penyepit yang diperbuat daripada emas;+
50 besen, alat pemadam sumbu pelita,+ mangkuk, cawan,+ dan bekas perbaraan+ (semuanya diperbuat daripada emas tulen); dan engsel-engsel yang diperbuat daripada emas untuk pintu Bilik Maha Suci+ serta pintu Rumah Tuhan.+
51 Apabila semua kerja yang dilakukan oleh Raja Salomo bagi Rumah Yehuwa selesai, dia menyimpan semua barangan yang telah disucikan oleh bapanya+ Daud. Dia memasukkan perak, emas, dan semua perkakas ke dalam tempat penyimpanan harta di Rumah Yehuwa.+
Nota Kaki
^ Lihat Lampiran B14.
^ Mungkin merujuk kepada kayu-kayu melintang.
^ Iaitu, halaman luar.
^ Iaitu, halaman luar.
^ Atau “dan lilitan tiang itu.”
^ Maksudnya “Semoga Dia [iaitu, Yehuwa] Menetapkan.”
^ Mungkin bermaksud “Dengan Kekuatan.”
^ Atau “diameternya.”
^ Atau “dan lilitannya.”
^ Lihat Lampiran B14.
^ Harfiah, “2,000 bath.” Lihat Lampiran B14.
^ Atau “pedati untuk mengangkut air.”
^ Atau “Diameter.”
^ Harfiah, “40 bath.”