Satu Samuel 10:1-27

  • Saul dilantik menjadi raja (1-16)

  • Saul dihadapkan kepada umat Israel (17-27)

10  Kemudian Samuel mengambil sebotol minyak dan melumuri kepala Saul dengan minyak itu.+ Dia mencium Saul dan berkata, “Sememangnya Yehuwa telah melantik kamu sebagai pemimpin+ umat-Nya.+ 2  Apabila kamu meninggalkan aku hari ini, kamu akan bertemu dengan dua orang lelaki berdekatan kubur Rahel,+ di kawasan Benyamin di Zelzah. Mereka akan berkata kepada kamu, ‘Keldai-keldai yang kamu cari telah pun dijumpai. Sekarang bapamu tidak lagi memikirkan keldai-keldai itu,+ tetapi dia khuatir tentang kamu. Dia berkata, “Anakku belum lagi pulang, jadi apakah yang harus aku lakukan?”’ 3  Dari situ, teruskanlah perjalananmu sehingga kamu tiba di pokok besar di Tabor. Di sana kamu akan bertemu dengan tiga orang lelaki yang sedang dalam perjalanan ke Bethel+ untuk menyembah Tuhan yang benar. Seorang daripada mereka membawa tiga ekor anak kambing, seorang lagi membawa tiga ketul roti, dan seorang lagi membawa sebuah bekas besar yang berisi wain. 4  Mereka akan bertanyakan khabarmu dan memberi kamu dua ketul roti. Kamu harus menerima roti-roti itu daripada mereka. 5  Selepas itu, kamu akan pergi ke bukit Tuhan yang benar, dan di sana ada sepasukan tentera orang Filistin. Setibanya kamu di kota, kamu akan berjumpa dengan sekumpulan nabi yang sedang turun dari tempat tinggi. Semasa mereka bernubuat, alat muzik yang bertali, tamborin, seruling, dan kecapi akan dimainkan di hadapan mereka. 6  Kamu akan menerima kuasa suci* daripada Yehuwa+ dan bernubuat bersama mereka. Kamu akan seolah-olah berubah menjadi orang lain.+ 7  Apabila hal-hal* ini terjadi, lakukanlah apa saja yang kamu rasa baik untuk melaksanakan tanggungjawabmu kerana Tuhan yang benar menyertai kamu. 8  Pergilah mendahului aku ke Gilgal+ dan aku akan turun ke situ untuk mempersembahkan korban bakar dan korban pendamaian. Kamu harus tunggu selama tujuh hari sehingga aku datang kepadamu. Kemudian aku akan memberitahu kamu apa yang harus kamu lakukan.” 9  Sebaik sahaja Saul berpaling untuk meninggalkan Samuel, Tuhan mula mengubah keperibadian Saul sehingga dia seolah-olah menjadi orang lain. Semua tanda yang disebut oleh Samuel berlaku pada hari itu juga. 10  Dari situ mereka* pergi ke bukit dan bertemu dengan sekumpulan nabi. Pada saat itu juga, Saul menerima kuasa suci daripada Tuhan+ dan mula bernubuat bersama mereka.+ 11  Apabila semua orang yang mengenal Saul sejak dahulu melihat dia bernubuat bersama para nabi, mereka bertanya sesama sendiri, “Apakah yang sudah terjadi kepada anak lelaki Kish? Adakah Saul juga seorang nabi?” 12  Kemudian seorang lelaki dari situ bertanya, “Bagaimana pula dengan nabi-nabi yang lain? Siapakah bapa mereka?” Maka itulah asal mulanya pepatah ini: “Adakah Saul juga seorang nabi?”+ 13  Setelah Saul selesai bernubuat, dia pergi ke tempat tinggi. 14  Selepas itu, bapa saudara Saul bertanya kepada Saul dan hambanya, “Ke manakah kamu pergi?” Saul menjawab, “Kami pergi mencari keldai-keldai+ tetapi kami tidak menjumpainya. Jadi kami pun pergi berjumpa dengan Samuel.” 15  Bapa saudara Saul bertanya lagi, “Beritahulah aku apa yang dikatakan Samuel kepadamu?” 16  Saul menjawab, “Dia memberitahu kami bahawa keldai-keldai itu sudah pun ditemui.” Namun Saul tidak memberitahu bapa saudaranya tentang apa yang dikatakan Samuel mengenai pelantikannya sebagai raja. 17  Kemudian Samuel memanggil umat Israel untuk berkumpul di hadapan Yehuwa di Mizpa+ 18  lalu berkata kepada mereka, “Inilah firman Yehuwa, Tuhan orang Israel: ‘Akulah yang membawa umat Israel keluar dari Mesir dan menyelamatkan kamu daripada tangan orang Mesir+ dan semua kerajaan yang menindas kamu. 19  Tetapi kini kamu telah menolak Tuhan kamu+ yang telah menyelamatkan kamu daripada segala malapetaka dan penderitaan. Kamu berkata, “Biarlah, lantiklah seorang raja untuk memerintah kami.” Sekarang, berdirilah di hadapan Aku, Yehuwa, mengikut suku dan puak masing-masing.’”* 20  Oleh itu, Samuel menyuruh semua suku Israel tampil+ dan suku Benyamin telah dipilih.+ 21  Kemudian dia menyuruh suku Benyamin tampil, keluarga demi keluarga, dan keluarga Matri yang dipilih. Akhirnya Saul anak Kish telah dipilih.+ Tetapi apabila mereka pergi mencarinya, mereka tidak dapat menjumpainya. 22  Jadi mereka bertanya kepada Yehuwa,+ “Adakah lelaki itu sudah berada di sini?” Yehuwa menjawab, “Dia bersembunyi di antara barang-barang.” 23  Maka mereka berlari dan membawa Saul dari situ. Ketika dia berdiri di tengah-tengah umat itu, dia lebih tinggi daripada mereka semua.+ 24  Samuel berkata kepada rakyat itu, “Lihatlah orang yang dipilih oleh Yehuwa.+ Tiada sesiapa pun dalam kalangan umat ini yang sama seperti dia.” Lalu segenap umat itu mula berseru, “Daulat tuanku!” 25  Samuel memberitahu mereka tentang hak seorang raja+ dan menuliskannya dalam sebuah buku lalu meletakkannya di hadapan Yehuwa. Kemudian Samuel menyuruh umat itu pulang ke rumah masing-masing. 26  Saul juga pulang ke rumahnya di Gibea. Beberapa orang pahlawan mengiringinya kerana Yehuwa telah menggerakkan hati mereka. 27  Tetapi beberapa orang yang tidak berguna berkata, “Mana mungkin orang ini akan menyelamatkan kita?”+ Mereka menghinanya dan tidak memberikan hadiah kepadanya.+ Namun, Saul tidak berkata apa-apa pun tentang hal itu.

Nota Kaki

Biasanya dipanggil roh kudus. Lihat Kamus.
Harfiah, “tanda-tanda.”
Nampaknya merujuk kepada Saul dan hambanya.
Atau “dan kumpulan kamu yang berjumlah ribuan orang.”