Satu Samuel 18:1-30

  • Persahabatan Daud dan Yonatan (1-4)

  • Saul cemburu dengan kejayaan Daud (5-9)

  • Saul mencuba membunuh Daud (10-19)

  • Daud mengahwini Mikhal, puteri Saul (20-30)

18  Setelah Yonatan+ mendengar kata-kata Daud kepada Saul, dia dan Daud mula menjalin persahabatan yang erat. Yonatan mengasihi Daud seperti dia mengasihi dirinya sendiri.+ 2  Sejak hari itu, Saul menyuruh Daud untuk terus berkhidmat kepadanya dan dia tidak membenarkan Daud pulang ke rumah bapanya.+ 3  Yonatan mengasihi Daud seperti dia mengasihi dirinya sendiri, maka mereka membuat suatu perjanjian persahabatan.+ 4  Yonatan menanggalkan jubah tidak berlengan yang dipakainya lalu memberikan jubah itu kepada Daud. Dia juga memberikan pakaian perangnya, pedangnya, busurnya, dan tali pinggangnya kepada Daud. 5  Sejak itu, Daud pergi berperang. Dia meraih kejayaan*+ ke mana sahaja Saul mengutusnya. Maka Saul memberinya kuasa atas para tentera,+ dan hal ini menyenangkan hati semua orang dan hamba-hamba Saul. 6  Apabila Daud dan askar-askar Israel kembali daripada membunuh orang Filistin, para wanita akan keluar dari semua kota di Israel dengan nyanyian+ dan tarian untuk menyambut Raja Saul. Dengan penuh sukacita, mereka memainkan alat-alat muzik bertali dan tamborin.+ 7  Para wanita yang merayakan peristiwa itu bernyanyi, “Saul membunuh beribu-ribu orang,Dan Daud membunuh berpuluh-puluh ribu orang.”+ 8  Saul tidak suka akan lagu itu dan dia menjadi sangat marah.+ Dia berfikir, “Mereka berkata bahawa Daud telah membunuh berpuluh-puluh ribu orang, sedangkan beta hanya membunuh beribu-ribu orang. Tidak lama lagi mereka akan menjadikan dia raja!”+ 9  Sejak hari itu, Saul selalu memandang Daud dengan curiga. 10  Pada keesokan hari, Tuhan membiarkan fikiran* Saul bercelaru+ dan dia mula berkelakuan pelik* di dalam rumah. Seperti biasa, Daud memainkan kecapinya.+ Pada masa itu, Saul memegang sebatang tombak,+ 11  lalu dia melemparkan tombak+ itu ke arah Daud. Dia berfikir, “Beta akan menancapkan Daud ke dinding!” Namun Daud berjaya melepaskan diri sebanyak dua kali. 12  Saul takut akan Daud kerana Yehuwa sudah meninggalkannya dan menyertai Daud.+ 13  Maka Saul melantik Daud sebagai ketua atas 1,000 orang askar agar Daud tidak lagi bertugas untuknya di istana. Oleh itu, Daud memimpin pasukan tentera dalam pertempuran,+ 14  dan dia berjaya*+ dalam segala usahanya kerana Yehuwa menyertainya.+ 15  Apabila Saul nampak segala kejayaan Daud, dia menjadi takut akan Daud. 16  Tetapi semua orang Israel dan Yehuda mengasihi Daud, kerana dialah yang memimpin mereka dalam peperangan. 17  Kemudian Saul berkata kepada Daud, “Inilah puteri sulung beta, Merab.+ Beta akan mengahwinkannya dengan kamu.+ Tetapi kamu harus terus membuktikan keberanianmu kepada beta dan berjuang untuk Yehuwa.”+ Sebenarnya Saul berfikir, “Biarlah Daud mati di tangan orang Filistin supaya beta tidak perlu membunuhnya.”+ 18  Daud berkata kepada Saul, “Siapakah hamba ini dan siapakah keluarga bapa hamba di Israel, sehingga hamba layak menjadi menantu raja?”+ 19  Namun apabila tiba masanya Merab, puteri Saul itu, dikahwinkan dengan Daud, Merab telah diserahkan kepada Adriel,+ orang Mehola itu, untuk dijadikan isterinya. 20  Mikhal,+ puteri Saul, jatuh cinta kepada Daud. Hal itu dilaporkan kepada Saul dan dia berasa senang hati. 21  Saul berfikir, “Beta akan memberikan Mikhal kepada Daud supaya Daud terperangkap dan dibunuh oleh orang Filistin.”+ Maka buat kali kedua, Saul berkata kepada Daud, “Hari ini, kamu akan menjadi menantu beta.” 22  Selain itu, Saul juga memberikan perintah berikut kepada hamba-hambanya: “Secara diam-diam, pergilah dan beritahulah Daud, ‘Raja berasa senang hati terhadapmu dan semua hambanya suka akan kamu. Maka sekarang, kahwinlah dengan puteri raja.’” 23  Sewaktu hamba-hamba Saul menyampaikan hal itu kepada Daud, dia berkata, “Adakah kamu fikir mudah untuk menjadi menantu raja? Aku hanya orang miskin yang dipandang rendah!”+ 24  Oleh itu, hamba-hamba Saul memberitahu Saul, “Inilah kata-kata Daud.” 25  Lalu Saul berkata, “Beritahulah Daud, ‘Raja tidak mahu wang hantaran.+ Raja hanya mahu 100 kulit khatan+ orang Filistin untuk membalas dendam terhadap musuh-musuhnya.’” Sebenarnya, Saul merancang supaya Daud dibunuh oleh orang Filistin. 26  Hamba-hamba Saul menyampaikan kata-kata raja kepada Daud. Daud berasa senang hati untuk menjadi menantu raja.+ Maka sebelum tibanya masa yang ditetapkan, 27  Daud dan anak buahnya pergi membunuh 200 orang Filistin lalu mengambil kulit khatan mereka. Kemudian Daud membawa semuanya kepada raja agar dia dapat berkahwin dengan puteri raja. Oleh itu, Saul mengahwinkan puterinya Mikhal dengan Daud.+ 28  Saul sedar bahawa Yehuwa menyertai Daud+ dan bahawa puterinya Mikhal mencintai Daud.+ 29  Maka Saul semakin takut akan Daud dan dia memusuhi Daud sepanjang umurnya.+ 30  Setiap kali para pemimpin orang Filistin maju berperang, Daud terbukti lebih berjaya* daripada para tentera Saul,+ dan namanya sangat dihormati.+

Nota Kaki

Atau “bertindak dengan bijak.”
Lihat Kamus, “Roh.”
Atau “berkelakuan seperti seorang nabi.”
Atau “bertindak dengan bijak.”
Atau “bijaksana.”