Satu Samuel 21:1-15
21 Kemudian Daud pergi kepada Imam Ahimelekh di Nob.+ Semasa Ahimelekh bertemu dengan Daud, dia gementar ketakutan lalu dia bertanya, “Mengapakah kamu datang seorang diri? Mengapakah tiada orang bersama kamu?”+
2 Daud menjawab Imam Ahimelekh, “Raja menyuruh aku melakukan sesuatu, tetapi baginda berkata, ‘Janganlah beritahu sesiapa pun tentang tugas itu atau tentang arahan yang telah beta berikan kepadamu.’ Aku telah berjanji dengan anak buahku untuk bertemu di suatu tempat.
3 Jadi jika tuan mempunyai lima ketul roti atau apa saja makanan, berikanlah kepadaku.”
4 Imam itu berkata kepada Daud, “Di sini tiada roti biasa tetapi hanya ada roti yang suci.+ Kamu boleh memakannya asalkan anak buahmu tidak bersetubuh dengan wanita baru-baru ini.”+
5 Daud berkata kepada imam itu, “Sebelum ini apabila kami keluar untuk berperang, kami memang tidak bersetubuh dengan wanita.+ Semasa menjalankan tugas biasa pun anak buahku suci, apalagi hari ini apabila kami menjalankan tugas yang istimewa!”
6 Maka imam itu memberikan roti yang suci kepada Daud+ kerana roti yang ada di situ hanyalah roti yang dipersembahkan kepada Tuhan. Roti itu telah diambil dari khemah suci Yehuwa untuk digantikan dengan roti baharu pada hari yang sama.
7 Pada hari itu, Doeg,+ iaitu hamba Saul yang berbangsa Edom,+ berada di hadapan Yehuwa di khemah suci. Dia ialah ketua gembala Saul.
8 Daud berkata lagi kepada Ahimelekh, “Adakah tuan mempunyai tombak atau pedang di sini? Tugas yang diberikan oleh raja begitu mendesak sehingga aku tidak membawa pedang atau senjataku.”
9 Imam itu menjawab, “Pedang Goliat,+ orang Filistin yang kamu bunuh di Lembah* Ela itu,+ ada di sini. Pedang itu dibalut dengan kain dan terletak di belakang efod.+ Jika kamu mahu pedang itu, ambillah, kerana hanya itulah senjata yang ada di sini.” Daud berkata, “Tiada pedang lain seperti pedang itu. Berikanlah pedang itu kepadaku.”
10 Pada hari itu juga, Daud berangkat dan terus melarikan diri+ daripada Saul lalu dia sampai di Gat,+ kota Raja Akhis.
11 Hamba-hamba Akhis berkata kepada Akhis, “Bukankah ini Daud, raja di negerinya? Bukankah dia yang dimaksudkan semasa mereka menari sambil bernyanyi,‘Saul membunuh beribu-ribu orang,Dan Daud membunuh berpuluh-puluh ribu orang’?”+
12 Daud memikirkan kata-kata mereka dan dia berasa sangat takut+ terhadap Raja Akhis dari Gat.
13 Oleh itu, Daud berpura-pura gila+ di hadapan mereka. Dia seolah-olah kurang waras semasa dalam kalangan mereka. Dia menggores-gores pintu gerbang dan membiarkan air liurnya meleleh ke janggutnya.
14 Akhirnya Akhis berkata kepada para hambanya, “Lihatlah, lelaki ini gila! Mengapa kamu bawa dia kepada beta?
15 Tidak cukupkah orang gila di sekeliling beta, sehingga kamu bawa seorang lagi lelaki yang gila ke sini? Patutkah orang ini masuk ke rumah beta?”
Nota Kaki
^ Atau “Dataran Rendah.”