Satu Samuel 22:1-23

  • Daud di Adulam dan Mizpe (1-5)

  • Saul membunuh para imam dari Nob (6-19)

  • Abiatar melarikan diri (20-23)

22  Daud berangkat dari situ+ dan melarikan diri ke sebuah gua di Adulam.+ Apabila abang-abangnya dan seluruh keluarga bapanya mendengar tentang hal itu, mereka pun pergi berjumpa dengannya. 2  Semua orang yang berada dalam kesusahan, yang berhutang, dan yang berasa tidak puas hati, bergabung dengan Daud lalu dia menjadi pemimpin mereka. Jumlah mereka kira-kira 400 orang. 3  Kemudian Daud pergi dari situ ke Mizpe di Moab. Dia berkata kepada raja Moab,+ “Tolonglah benarkan ibu bapa hamba tinggal dengan tuanku sehingga hamba tahu apa yang akan dilakukan oleh Tuhan untuk hamba.” 4  Maka dia meninggalkan ibu bapanya bersama dengan raja Moab, dan mereka tinggal bersama raja itu sepanjang masa Daud berada di kawasan pergunungan.+ 5  Pada suatu hari, Nabi Gad+ berkata kepada Daud, “Janganlah tinggal di kawasan pergunungan. Beredarlah dari sana dan pergilah ke negeri Yehuda.”+ Oleh itu, Daud berangkat dan pergi ke dalam hutan di Heret. 6  Saul mendengar bahawa Daud dan anak buahnya telah ditemui. Pada masa itu, Saul sedang duduk di bawah sebatang pokok* di tempat tinggi di Gibea.+ Dia sedang memegang tombak dan semua pegawainya berada di sekelilingnya. 7  Kemudian Saul berkata kepada semua pegawai itu, “Dengarlah, hai semua orang Benyamin! Adakah anak Isai+ juga akan memberi kamu tanah dan ladang anggur? Adakah dia akan melantik kamu semua sebagai ketua atas 1,000 orang dan ketua atas 100 orang?+ 8  Kamu semua bersepakat menentang beta! Tiada seorang pun yang memberitahu beta bahawa putera beta telah membuat perjanjian dengan anak Isai!+ Tiada sesiapa antara kamu yang bersimpati terhadap beta. Kamu tidak memberitahu beta bahawa putera beta telah menghasut hamba beta sendiri untuk menyerang beta, seperti yang berlaku sekarang.” 9  Kemudian Doeg,+ orang Edom itu, yang berkuasa atas para pegawai Saul yang berada di situ, berkata,+ “Hamba nampak anak Isai datang kepada Ahimelekh anak Ahitub di Nob.+ 10  Ahimelekh meminta petunjuk Yehuwa bagi pihak Daud. Dia juga memberi Daud makanan, dan bahkan memberinya pedang Goliat, orang Filistin itu.”+ 11  Dengan segera, raja mengutus orang untuk memanggil Imam Ahimelekh anak Ahitub dan semua imam daripada keluarga bapanya yang berada di Nob. Maka mereka semua datang menghadap raja. 12  Saul berkata, “Dengarlah, hai anak Ahitub!” “Ya tuanku,” jawabnya. 13  Saul berkata kepadanya, “Mengapa kamu dan anak Isai bersepakat untuk menentang beta? Kamu memberinya roti dan pedang serta meminta petunjuk Tuhan bagi pihaknya. Dia menentang beta dan mahu menyerang beta, seperti yang berlaku sekarang.” 14  Ahimelekh menjawab, “Siapakah dalam kalangan hamba-hamba tuanku yang dapat dipercayai* seperti Daud?+ Dia merupakan menantu tuanku+ dan ketua pengawal peribadi tuanku. Dia juga dihormati di dalam istana tuanku.+ 15  Ini bukanlah kali pertama hamba meminta petunjuk Tuhan bagi pihaknya.+ Mustahil hamba bersepakat untuk menentang tuanku! Janganlah tuanku menuduh hamba dan seluruh keluarga bapa hamba, kerana hamba tidak tahu sama sekali tentang hal ini.”+ 16  Tetapi raja berkata, “Ahimelekh, kamu dan seluruh keluarga bapamu mesti mati!”+ 17  Lalu raja berkata kepada para pengawal yang berada di sekelilingnya, “Pergilah bunuh imam-imam Yehuwa itu kerana mereka telah berpihak kepada Daud! Mereka tahu bahawa dia seorang pelarian, tetapi mereka tidak memberitahu beta!” Namun, para pengawal raja itu tidak mahu membunuh imam-imam Yehuwa. 18  Selepas itu, raja berkata kepada Doeg,+ “Pergilah bunuh para imam itu!” Maka Doeg, orang Edom itu,+ pergi membunuh mereka dengan segera. Pada hari itu, dia telah membunuh 85 orang yang memakai efod yang diperbuat daripada kain linen.+ 19  Dia juga menyerang Nob,+ kota para imam, dengan pedang. Baik lelaki mahupun wanita, kanak-kanak mahupun bayi, dan lembu jantan, keldai, serta biri-biri telah dibunuh olehnya dengan pedang. 20  Salah seorang anak lelaki Ahimelekh anak Ahitub, yang bernama Abiatar,+ berjaya melarikan diri lalu menyertai Daud. 21  Abiatar memberitahu Daud, “Saul telah membunuh para imam Yehuwa.” 22  Maka Daud berkata kepadanya, “Pada hari itu, ketika aku nampak Doeg di sana, aku tahu bahawa dia pasti akan melaporkan hal itu kepada Saul.+ Akulah yang bertanggungjawab atas kematian setiap orang dalam keluarga bapamu. 23  Tinggallah bersamaku dan janganlah takut. Aku akan melindungimu. Sesiapa yang ingin membunuhmu, harus membunuh aku terlebih dahulu.”+

Nota Kaki

Harfiah, “pokok tamarisk.”
Atau “yang setia.”