1 Samuel 3:1-21

  • Samuel dilantik sebagai nabi (1-21)

3  Sementara itu, Samuel yang masih kecil berkhidmat+ kepada Yehuwa di bawah pengawasan Eli. Pada masa itu, jarang sekali ada firman dan penglihatan daripada Yehuwa.+  Pada suatu hari, Eli berbaring di bilik tidurnya. Matanya sudah kabur dan dia tidak dapat melihat lagi.+  Pelita Tuhan+ masih bernyala dan Samuel sedang berbaring di rumah*+ Yehuwa, tempat letaknya tabut perjanjian Tuhan.  Kemudian Yehuwa memanggil Samuel dan dia menjawab, “Ya tuan!”  Dia berlari kepada Eli dan berkata, “Tuan panggil aku?” Tetapi Eli menjawab, “Aku tidak memanggilmu. Pergilah tidur.” Jadi Samuel pergi tidur semula.  Sekali lagi Yehuwa memanggil, “Samuel!” Lalu Samuel bangun dan pergi kepada Eli. Dia berkata, “Ya tuan, tuan panggil aku?” Tetapi Eli menjawab, “Aku tidak memanggilmu, anakku. Pergilah tidur.”  (Samuel belum lagi mengenali Yehuwa dan firman Yehuwa belum disingkapkan kepadanya.)+  Buat kali ketiga, Yehuwa memanggil lagi, “Samuel!” Dia pun bangun dan pergi kepada Eli lalu berkata, “Ya tuan, tuan panggil aku?” Kemudian Eli sedar bahawa Yehuwalah yang memanggil budak itu.  Maka Eli berkata kepada Samuel, “Pergilah tidur dan jika Dia memanggil kamu lagi, kamu harus berkata, ‘Ya Yehuwa, berfirmanlah kerana hamba-Mu sedang mendengar.’” Samuel pun pergi dan tidur semula di biliknya. 10  Yehuwa memanggil sekali lagi, “Samuel, Samuel!” Jadi Samuel berkata, “Berfirmanlah, kerana hamba-Mu sedang mendengar.” 11  Yehuwa berfirman kepada Samuel, “Lihatlah! Aku akan melakukan sesuatu di Israel sehingga setiap orang yang mendengar tentangnya akan terkejut.+ 12  Pada hari itu, Aku akan melaksanakan segala firman-Ku mengenai Eli dan keluarganya, dari mula sampai akhir.+ 13  Engkau harus memberitahu dia bahawa Aku akan menghukum keluarganya untuk selama-lamanya, kerana dia tahu+ bahawa anak-anaknya sudah berdosa dengan mengutuk Tuhan+ tetapi dia tidak menegur mereka dengan tegas.+ 14  Itulah sebabnya Aku bersumpah kepada keluarga Eli bahawa dosa keluarganya tidak dapat ditebus, baik dengan korban mahupun dengan persembahan.”+ 15  Samuel tidur sehingga pagi. Kemudian dia membuka pintu-pintu rumah Yehuwa. Samuel takut untuk memberitahu Eli tentang penglihatan itu. 16  Tetapi Eli memanggil Samuel dan berkata, “Samuel, anakku!” “Ya tuan,” sahut Samuel. 17  Eli bertanya, “Apakah pesanan Tuhan kepadamu? Tolong jangan merahsiakannya daripadaku. Biarlah Tuhan menghukummu dengan berat jika kamu merahsiakan sepatah kata pun daripada firman-Nya.” 18  Maka Samuel memberitahu Eli segala-galanya dan tidak menyembunyikan apa-apa pun daripadanya. Eli berkata, “Inilah kehendak Yehuwa. Biarlah Dia melakukan apa yang baik di mata-Nya.” 19  Samuel terus membesar, dan Yehuwa menyertainya+ serta memastikan segala yang dikatakan oleh Samuel benar-benar berlaku. 20  Seluruh umat Israel dari Dan hingga Beer-syeba sedar bahawa Samuel ialah nabi yang dilantik oleh Yehuwa. 21  Yehuwa terus menampakkan diri di Silo, kerana di situlah Yehuwa membantu Samuel untuk semakin mengenali-Nya melalui firman Yehuwa.+

Nota Kaki

Iaitu, khemah suci.