Satu Samuel 4:1-22
4 Oleh itu, Samuel terus menyampaikan firman Tuhan kepada semua orang Israel.
Kemudian orang Israel pergi berperang dengan orang Filistin. Mereka berkhemah berdekatan Ebenezer, manakala orang Filistin berkhemah di Afek.
2 Orang Filistin mengatur barisan tentera untuk menyerang orang Israel. Pertempuran itu sangat sengit sehingga orang Israel dikalahkan oleh orang Filistin. Kira-kira 4,000 orang Israel dibunuh di medan pertempuran.
3 Apabila mereka kembali ke perkhemahan, para pemimpin Israel berkata, “Mengapakah Yehuwa membiarkan kita dikalahkan oleh orang Filistin hari ini?+ Marilah kita membawa tabut perjanjian Yehuwa dari Silo,+ supaya tabut itu ada bersama kita dan menyelamatkan kita daripada tangan musuh.”
4 Maka mereka mengutus orang ke Silo untuk membawa tabut perjanjian Yehuwa, ketua angkatan syurga, yang bertakhta di atas* kerub.*+ Kedua-dua orang anak lelaki Eli, iaitu Hofni dan Pinehas,+ juga ada bersama tabut perjanjian Tuhan.
5 Sebaik sahaja tabut perjanjian Yehuwa tiba di perkhemahan, semua orang Israel bersorak dengan kuat sehingga bumi bergoncang.
6 Apabila orang Filistin mendengar bunyi sorakan itu, mereka bertanya, “Mengapakah orang Ibrani bersorak-sorai di perkhemahan mereka?” Akhirnya mereka mendapat tahu bahawa tabut Yehuwa sudah berada di perkhemahan itu.
7 Orang Filistin pun menjadi takut. Mereka berkata, “Tuhan sudah datang ke perkhemahan itu!”+ Mereka juga berkata, “Malanglah kita! Perkara sebegini tidak pernah terjadi!
8 Malanglah kita! Siapakah yang dapat menyelamatkan kita daripada Tuhan yang hebat ini? Semasa di padang belantara, inilah Tuhan yang telah membunuh orang Mesir dengan pelbagai tulah.+
9 Hai orang Filistin, hendaklah kamu berani! Jika tidak, kamu akan menjadi hamba kepada orang Ibrani sebagaimana mereka pernah menjadi hamba kamu.+ Berperanglah dengan berani!”
10 Maka orang Filistin menyerang dan mengalahkan orang Israel.+ Semua orang Israel berlari ke khemah masing-masing. Pertempuran itu sangat teruk sehingga 30,000 orang askar yang berjalan kaki terbunuh.
11 Tambahan lagi, tabut perjanjian Tuhan telah dirampas dan dua orang anak lelaki Eli, iaitu Hofni dan Pinehas, telah mati.+
12 Pada hari itu, seorang lelaki daripada suku Benyamin berlari dari medan pertempuran dan tiba di Silo. Pakaiannya sudah koyak rabak dan kepalanya ditaburi dengan tanah.+
13 Apabila dia tiba, Eli sedang duduk di kerusi di tepi jalan sambil menunggu, kerana dia sangat risau mengenai tabut Tuhan yang benar.+ Lelaki itu masuk ke dalam kota untuk menyampaikan berita itu dan semua orang di dalam kota mula meraung.
14 Apabila Eli mendengar keriuhan itu, dia bertanya, “Mengapakah ada bunyi keriuhan?” Lelaki tadi pun segera pergi kepada Eli dan menyampaikan berita itu.
15 (Pada masa itu, Eli berumur 98 tahun dan dia tidak dapat melihat lagi.)+
16 Lelaki itu berkata kepada Eli, “Aku datang dari medan pertempuran! Baru hari ini aku melarikan diri dari situ.” Kemudian Eli bertanya, “Apa yang berlaku anakku?”
17 Maka pembawa berita itu menjawab, “Orang Israel telah melarikan diri daripada orang Filistin dan mereka mengalami kekalahan yang teruk sekali.+ Anak-anak tuan, Hofni dan Pinehas, telah mati.+ Tabut Tuhan yang benar juga telah dirampas.”+
18 Sebaik sahaja lelaki itu menyebut tentang tabut Tuhan yang benar, Eli jatuh terlentang ke belakang dari kerusinya di tepi pintu gerbang. Oleh sebab dia sangat tua dan gemuk, lehernya patah lalu dia mati. Dia telah menjadi hakim orang Israel selama 40 tahun.
19 Menantu perempuannya, iaitu isteri Pinehas, sedang hamil dan hampir bersalin. Apabila dia mendengar berita bahawa tabut Tuhan yang benar telah dirampas dan bapa mentuanya serta suaminya telah mati, tiba-tiba dia berasa sakit beranak lalu dia bersalin.
20 Ketika dia hampir meninggal, wanita-wanita yang berdiri di sampingnya berkata, “Janganlah takut kerana kamu telah melahirkan seorang anak lelaki.” Namun dia tidak menjawab atau memperhatikannya.
21 Walau bagaimanapun dia menamakan anak itu Ikabod*+ dan berkata, “Kemuliaan orang Israel telah pun ditawan.”+ Dia berkata demikian kerana tabut Tuhan yang benar telah dirampas dan bapa mentuanya serta suaminya sudah meninggal.+
22 Dia berkata, “Kemuliaan orang Israel telah pun ditawan kerana tabut Tuhan yang benar telah dirampas.”+