Satu Samuel 5:1-12
5 Semasa orang Filistin merampas tabut+ Tuhan yang benar, mereka membawanya dari Ebenezer ke Asdod.
2 Orang Filistin mengambil tabut itu dan membawanya ke dalam kuil* Dagon. Mereka meletakkannya di sisi patung Dagon.+
3 Pada keesokan hari, orang Asdod bangun awal dan nampak patung Dagon jatuh tertiarap di tanah, di hadapan tabut Yehuwa.+ Maka mereka mengambil patung Dagon dan mengembalikannya ke tempat asalnya.+
4 Pada hari yang berikutnya, mereka bangun awal dan sekali lagi mereka nampak patung Dagon jatuh tertiarap di tanah, di hadapan tabut Yehuwa. Kali ini kepala patung Dagon dan kedua-dua tapak tangannya terpenggal dan berada di ambang pintu. Hanya bahagian badan patung itu* yang masih utuh.
5 Itulah sebabnya sehingga hari ini, imam-imam Dagon dan semua orang yang masuk ke dalam kuil Dagon tidak akan menginjak ambang pintu kuil Dagon di Asdod.
6 Yehuwa menghukum orang Asdod dengan berat sekali, dan Dia mencelakakan mereka dengan menimpakan penyakit buasir atas penduduk Asdod dan kawasan sekitarnya.+
7 Apabila orang Asdod nampak apa yang berlaku, mereka berkata, “Tuhan orang Israel telah menghukum kita dan Dagon, tuhan kita, dengan teruk sekali. Jangan biarkan tabut itu berada di sini lagi.”
8 Maka mereka memanggil dan mengumpulkan semua penguasa orang Filistin, lalu bertanya, “Apakah yang harus kita lakukan dengan tabut Tuhan orang Israel?” Mereka menjawab, “Pindahkanlah tabut itu ke Gat.”+ Jadi mereka memindahkan tabut itu ke sana.
9 Setelah mereka memindahkan tabut itu ke Gat, Yehuwa menghukum kota itu dan menimbulkan kekecohan yang besar di situ. Dia menimpakan penyakit buasir atas penduduk kota itu, baik yang tua mahupun yang muda.+
10 Jadi mereka menghantar tabut Tuhan yang benar ke Ekron.+ Tetapi sebaik sahaja tabut itu tiba di Ekron, penduduk kota itu berseru, “Mereka membawa tabut Tuhan orang Israel ke sini untuk membunuh kita semua!”+
11 Oleh itu mereka memanggil dan mengumpulkan semua penguasa orang Filistin, lalu berkata, “Bawalah tabut Tuhan orang Israel dari sini dan kembalikannya ke tempat asalnya supaya kami semua tidak dibunuh.” Semua penduduk kota itu takut sekiranya mereka dibunuh kerana Tuhan yang benar telah menghukum mereka dengan teruk sekali.+
12 Orang yang tidak dibunuh pula telah diserang penyakit buasir, dan semua penduduk kota itu berseru dengan begitu kuat sehingga suara mereka kedengaran di langit.