Satu Tawarikh 19:1-19
19 Beberapa waktu kemudian, Nahas, iaitu raja orang Ammon, meninggal, dan anak lelakinya menggantikannya sebagai raja.+
2 Daud berkata, “Beta akan menunjukkan kasih setia+ kepada Hanun anak Nahas kerana bapanya telah menunjukkan kasih setia kepada beta.” Maka dia mengutus orang untuk menghiburkan hati Hanun. Tetapi apabila mereka sampai di Ammon+ untuk menghiburkan hati Hanun,
3 para pemimpin Ammon berkata kepada Hanun, “Benarkah Daud menghantar utusannya untuk menghiburkan hati tuanku dan untuk menghormati ayahanda tuanku? Bukankah Daud mengutus mereka sebagai pengintip untuk memerhatikan negeri ini supaya mereka dapat menakluki kita?”
4 Maka Hanun menangkap para utusan Daud lalu mencukur janggut mereka+ dan memotong pakaian mereka pada aras pinggang. Kemudian dia menyuruh mereka pergi.
5 Setelah mendengar hal ini, Daud segera menghantar orang untuk berjumpa dengan para utusan itu kerana mereka telah dimalukan dengan teruk. Dia mengirim pesanan ini kepada mereka: “Tinggallah di Yerikho+ sehingga janggut kamu tumbuh semula. Kemudian barulah kamu pulang.”
6 Orang Ammon mula sedar bahawa perbuatan mereka telah membuat Daud membenci mereka. Oleh itu, Hanun dan orang Ammon menggunakan 1,000 talenta* perak untuk mengupah para penunggang kuda dan kereta kuda dari Mesopotamia,* Aram-maakha, dan Zoba.+
7 Mereka mendapatkan 32,000 buah kereta kuda, dan mengupah raja Maakha dan askar-askarnya. Kemudian mereka pergi ke Medeba+ dan berkhemah di situ. Orang Ammon datang dari kota-kota mereka. Mereka berkumpul dan bersiap-siap untuk berperang.
8 Setelah mendengar hal itu, Daud mengutus Yoab+ dan seluruh angkatan tenteranya, termasuk para pahlawannya yang paling gagah.+
9 Orang Ammon mengatur barisan tentera di pintu gerbang kota, manakala raja-raja yang datang pula berkumpul di padang.
10 Apabila Yoab nampak bahawa mereka diserang dari depan dan belakang, dia memilih askar-askar Israel yang terbaik lalu mengatur barisan tentera untuk berhadapan dengan orang Siria.+
11 Yoab menyerahkan askar-askar selebihnya kepada abangnya Abisai, supaya Abisai+ dapat mengatur barisan tentera untuk menyerang orang Ammon.
12 Kemudian Yoab berkata, “Jika orang Siria+ terlalu kuat bagiku, kamu harus datang menyelamatkan aku. Tetapi jika orang Ammon terlalu kuat bagimu, aku akan menyelamatkan kamu.
13 Jadilah kuat dan beranikanlah dirimu+ demi bangsa kita dan demi kota-kota Tuhan kita. Yehuwa akan melakukan apa yang baik di mata-Nya.”
14 Yoab dan pasukannya mara untuk melawan orang Siria, tetapi orang Siria melarikan diri.+
15 Apabila orang Ammon nampak orang Siria melarikan diri, mereka juga melarikan diri daripada Abisai dan masuk ke dalam kota. Setelah itu, Yoab pulang ke Yerusalem.
16 Orang Siria sedar bahawa mereka telah dikalahkan oleh orang Israel, maka mereka menghantar utusan untuk memanggil orang Siria dari kawasan sungai.*+ Mereka pun datang di bawah pimpinan Sofakh, ketua tentera Hadadezer.+
17 Apabila Daud mendengar hal itu, dia segera mengumpulkan semua tentera Israel dan menyeberangi Sungai Yordan. Mereka tiba di kawasan orang Siria dan mengatur barisan tentera. Daud mengatur barisan tentera untuk bertempur dengan orang Siria. Semasa mereka bertempur,+
18 orang Siria melarikan diri daripada orang Israel. Daud membunuh 7,000 orang pemandu kereta kuda dan 40,000 orang askar Siria yang berjalan kaki. Dia juga membunuh Sofakh, ketua tentera mereka.
19 Apabila semua raja yang berkhidmat kepada Hadadezer sedar bahawa mereka telah dikalahkan oleh orang Israel,+ mereka cepat-cepat berdamai dengan Daud dan takluk kepada pemerintahannya.+ Sejak itu, orang Siria tidak mahu lagi membantu orang Ammon.