Satu Tesalonika 3:1-13
3 Oleh itu, apabila kerinduan kami terhadap kamu tidak tertahan lagi, kami berfikir bahawa adalah lebih baik untuk tetap tinggal di Atena+
2 dan mengutus Timotius+ kepada kamu. Dia saudara kita dan hamba Tuhan* yang menyebarkan berita baik tentang Kristus. Kami mengutus dia untuk meneguhkan* kamu dan melegakan hati kamu, supaya iman kamu menjadi kukuh.
3 Dengan demikian tidak seorang pun daripada kamu digoyahkan oleh kesengsaraan sebegini. Kamu sendiri tahu bahawa kita tidak dapat mengelakkan penganiayaan sedemikian.*+
4 Semasa kami bersama-sama kamu, awal-awal lagi kami telah memberitahu kamu bahawa kita akan menghadapi kesengsaraan, dan kamu sendiri tahu bahawa hal itu memang berlaku.+
5 Itulah sebabnya apabila kerinduanku terhadap kamu tidak tertahan lagi, aku mengutus Timotius kepada kamu untuk mengetahui sama ada kamu masih setia atau tidak,+ kerana aku khuatir kalau-kalau Si Penggoda+ telah menggoda kamu sehingga kerja keras kami menjadi sia-sia sahaja.
6 Tetapi sekarang Timotius baru sahaja kembali kepada kami setelah melawat kamu,+ dan dia telah membawa berita baik tentang kesetiaan dan kasih kamu. Dia juga memberitahu kami bahawa kamu sentiasa gembira apabila mengenang kami, dan bahawa kamu sangat ingin berjumpa dengan kami sebagaimana kami juga sangat ingin berjumpa dengan kamu.
7 Itulah sebabnya, saudara-saudara, dalam segala penderitaan* dan kesengsaraan kami, kami telah mendapat kelegaan hati kerana kamu dan kerana kesetiaan yang kamu tunjukkan.+
8 Kami diberi nafas hidup yang baharu jika kamu berdiri teguh sebagai pengikut Tuan kita.
9 Alangkah bersyukurnya kami kepada Tuhan untuk kamu! Hal ini demikian kerana kamu telah menyebabkan kami sangat bersukacita di hadapan-Nya.
10 Siang dan malam kami merayu kepada Tuhan agar kami dapat bertemu dengan kamu, dan agar kami dapat memberi kamu apa yang diperlukan untuk menguatkan iman kamu.+
11 Semoga Tuhan, Bapa kita, dan Tuan Yesus, membuka jalan bagi kami agar kami dapat datang kepada kamu.
12 Selain itu, semoga Tuan kita menyebabkan kasih kamu terhadap satu sama lain+ dan terhadap semua orang semakin bertambah dan semakin melimpah, sebagaimana kasih kami terhadap kamu juga berlimpah-limpah.
13 Dengan demikian, dia akan menguatkan hati kamu dan menjadikan kamu tidak bercela dan suci di hadapan Tuhan+ dan Bapa kita pada waktu Tuan Yesus+ hadir bersama semua umatnya yang suci.