Satu Timotius 4:1-16

  • Amaran tentang ajaran roh jahat (1-5)

  • Cara menjadi hamba Kristus yang baik (6-10)

    • Latihan jasmani dan pengabdian kepada Tuhan (8)

  • Memberikan perhatian kepada ajaranmu (11-16)

4  Namun, firman yang diilhami Tuhan menyatakan dengan jelas bahawa akan tiba suatu jangka masa apabila sesetengah orang akan menyangkal iman, kerana mereka menumpukan perhatian kepada ajaran roh-roh jahat dan kepada pernyataan yang menyesatkan+ yang diilhami oleh roh-roh jahat.* 2  Mereka juga mendengarkan dusta+ orang bermuka dua yang mempunyai hati nurani yang tidak peka.* 3  Orang sebegini melarang orang berkahwin+ dan mengarahkan orang supaya menjauhi makanan tertentu.+ Tetapi Tuhan telah menciptakan makanan itu supaya orang yang beriman+ dan yang mengetahui kebenaran dengan tepat boleh memakannya+ dengan mengucapkan syukur kepada-Nya. 4  Hal ini demikian kerana setiap ciptaan Tuhan itu baik.+ Tidak ada apa-apa pun yang patut ditolak+ jika kamu memakannya dengan ucapan syukur, 5  kerana makanan itu sudah disucikan melalui firman Tuhan dan melalui doa. 6  Dengan memberikan nasihat ini kepada para saudara, kamu akan menjadi seorang hamba yang baik kepada Kristus Yesus, iaitu seorang yang dididik dengan perkhabaran tentang kepercayaan kita dan dengan ajaran baik yang telah kamu ikuti dengan teliti.+ 7  Janganlah mendengarkan cerita-cerita palsu+ yang menghina Tuhan, seperti yang diceritakan oleh wanita-wanita tua. Sebaliknya, latihlah dirimu dan bermatlamatlah untuk mengabdikan diri kepada Tuhan. 8  Latihan jasmani* membawa sedikit manfaat, tetapi pengabdian kepada Tuhan membawa manfaat dalam semua perkara. Hal ini demikian kerana pengabdian kepada Tuhan menjanjikan berkat dalam kehidupan sekarang dan kehidupan yang akan datang.+ 9  Pernyataan ini dapat dipercayai dan harus diterima dengan sepenuhnya. 10  Itulah sebabnya kita bekerja keras dan berusaha dengan bersungguh-sungguh,+ kerana kita telah menaruh harapan pada Tuhan yang hidup. Dialah Penyelamat+ segala macam orang,+ terutamanya orang yang setia. 11  Hendaklah kamu terus memberikan perintah-perintah itu dan mengajarkannya. 12  Jangan biarkan sesiapa pun memandang rendah terhadap kamu kerana kamu muda. Sebaliknya, hendaklah percakapanmu, tingkah lakumu, kasihmu, imanmu, dan kemurnianmu, menjadi contoh kepada orang yang setia. 13  Sehingga aku datang, teruslah mencurahkan usaha untuk membaca di hadapan umum,+ memberikan nasihat,* dan mengajar. 14  Janganlah abaikan kurniaan yang ada padamu. Kurniaan itu telah diberikan kepada kamu melalui nubuat, semasa badan penatua meletakkan tangan mereka ke atas kamu.+ 15  Renungkanlah dan tumpukanlah sepenuh perhatian kepada hal-hal ini, supaya kemajuanmu dapat dilihat dengan jelas oleh semua orang. 16  Teruslah memberikan perhatian kepada dirimu sendiri dan kepada ajaranmu.+ Lakukanlah hal-hal ini dengan tekun, kerana dengan berbuat demikian, kamu akan menyelamatkan dirimu sendiri dan mereka yang mendengarkan kamu.+

Nota Kaki

Atau “dan kepada roh-roh yang menyesatkan.”
Atau “hati nurani yang telah diselar dengan besi panas.”
Atau “Senaman.”
Atau “galakan.”