Satu Timotius 6:1-21
6 Hendaklah orang yang berada di bawah kuk* perhambaan sentiasa menganggap tuan mereka layak mendapat penghormatan penuh,+ supaya nama Tuhan dan ajaran-Nya tidak diburuk-burukkan sama sekali.+
2 Selain itu, hendaklah hamba yang mempunyai tuan yang percaya kepada Kristus menghormati tuan mereka, kerana mereka merupakan saudara seiman. Sebenarnya, hamba-hamba itu harus berkhidmat dengan lebih rela, kerana orang yang menerima manfaat daripada khidmat baik mereka merupakan rakan seiman dan saudara yang dikasihi.
Teruslah mengajar dan menasihati orang berdasarkan hal-hal ini.
3 Jika sesiapa mengajarkan ajaran lain dan tidak bersetuju dengan ajaran sihat* yang datang daripada Tuan kita,+ Yesus Kristus, atau jika sesiapa tidak bersetuju dengan ajaran yang selaras dengan pengabdian kepada Tuhan,+
4 dia seorang yang angkuh dan tidak memahami apa-apa.+ Dia tergila-gilakan pertikaian dan perdebatan tentang kata-kata.+ Hal-hal itu menimbulkan sikap iri hati, perkelahian, fitnah,* kecurigaan,
5 dan pertengkaran yang tidak habis-habis tentang perkara remeh, yang dicetuskan oleh orang yang rosak fikirannya+ dan yang tidak lagi memahami kebenaran. Mereka berfikir bahawa pengabdian kepada Tuhan merupakan cara untuk meraih keuntungan.+
6 Sememangnya, pengabdian diri kepada Tuhan+ yang disertai kepuasan hati akan membawa keuntungan yang besar.
7 Hal ini demikian kerana kita tidak membawa apa-apa masuk ke dalam dunia ini, dan kita juga tidak dapat membawa apa-apa keluar.+
8 Maka jika kita mempunyai makanan dan pakaian,* kita akan berpuas hati.+
9 Namun begitu, orang yang bertekad untuk menjadi kaya akan menyerah kepada godaan, jatuh ke dalam jerat,+ dan ditawan oleh banyak keinginan yang sia-sia dan yang memudaratkan. Keinginan sebegini menyebabkan orang terjerumus ke dalam lembah kebinasaan dan kemusnahan.+
10 Sikap cinta akan wang ialah akar kepada segala macam kejahatan. Sesetengah orang telah menyimpang daripada kepercayaan dan menikam diri dengan banyak kesakitan kerana mereka dikuasai sikap cinta akan wang.+
11 Tetapi, hai hamba Tuhan, jauhkanlah dirimu* daripada perkara-perkara itu. Berusahalah dengan bersungguh-sungguh untuk mengabdikan diri kepada Tuhan dan memupuk kebaikan, iman, kasih, ketabahan, dan kelemahlembutan.+
12 Berjuanglah dalam perjuangan yang baik untuk mempertahankan iman kita, dan berpeganglah dengan teguh pada kehidupan kekal. Kamu dipanggil untuk menerima kehidupan ini, dan kamu telah membuat pengisytiharan yang baik di hadapan banyak saksi.
13 Di hadapan Tuhan yang memelihara kehidupan segala sesuatu, dan di hadapan Kristus Yesus yang memberikan kesaksian yang baik kepada Pontius Pilatus dengan berani,+ aku memberi kamu arahan
14 untuk mematuhi perintah yang telah aku sampaikan, supaya kamu tidak bercela dan bebas daripada tuduhan sehingga Tuan Yesus Kristus menampakkan diri.+
15 Pada masa yang ditetapkan, satu-satunya Pemegang Kuasa yang gembira akan menampakkan diri. Dialah Raja atas mereka yang memerintah sebagai raja dan Tuan atas mereka yang memerintah sebagai tuan,+
16 dan dia sahajalah yang tidak dapat mati.+ Dia tinggal dalam cahaya yang tidak boleh didekati oleh sesiapa pun.+ Tidak ada orang yang pernah atau yang dapat melihatnya.+ Semoga kehormatan dan kekuatan yang berkekalan menyertainya. Amin.
17 Berikanlah perintah kepada mereka yang kaya dalam sistem dunia ini* supaya jangan bersikap angkuh dan jangan berharap kepada kekayaan yang tidak tetap.+ Sebaliknya hendaklah mereka berharap kepada Tuhan yang melimpahi kita dengan semua perkara yang kita nikmati.+
18 Perintahkanlah mereka supaya berbuat baik, ya, mereka mesti melakukan banyak perbuatan yang baik, bersikap murah hati, dan bersedia mengongsi apa yang dimiliki.+
19 Dengan berbuat demikian, mereka seolah-olah mengumpulkan kekayaan daripada Tuhan. Hal ini bererti bahawa mereka sedang membina asas yang baik untuk masa depan,+ supaya mereka dapat berpegang teguh pada kehidupan yang sejati.+
20 Timotius, jagalah apa yang sudah diamanahkan kepadamu.+ Berpalinglah daripada percakapan kosong yang mencemari hal-hal yang suci, dan berpalinglah daripada pengetahuan palsu yang menimbulkan percakapan yang bercanggah dengan apa yang benar.+
21 Sesetengah orang memperagakan pengetahuan sedemikian dan akibatnya mereka telah menyimpang daripada kepercayaan.
Semoga kebaikan hati Tuhan yang unggul menyertai kamu.