Satu Yohanes 1:1-10
1 Kami menulis surat kepada kamu mengenai firman yang memberikan hidup,+ iaitu firman yang sudah ada sejak permulaan, yang telah kami dengar, yang telah kami lihat dengan mata sendiri, yang telah kami perhatikan, dan yang telah kami sentuh dengan tangan sendiri.
2 (Ya, kehidupan kekal+ telah dinyatakan kepada kami, dan kami telah melihatnya. Sekarang kami memberikan kesaksian+ tentangnya dan melaporkannya kepada kamu. Kehidupan itu berasal daripada Bapa dan telah dinyatakan kepada kami.)
3 Kami melaporkan kepada kamu apa yang sudah kami lihat dan dengar,+ supaya kamu dapat bersatu dengan kami, sepertimana kami bersatu dengan Bapa dan dengan Anak-Nya, iaitu Yesus Kristus.+
4 Kami menulis tentang semua ini supaya sukacita kita dapat disempurnakan.
5 Inilah perkhabaran yang kami dengar daripada Yesus, yang kini kami umumkan kepada kamu: Tuhan itu cahaya,+ dan pada-Nya tidak ada kegelapan sama sekali.
6 Jika kita berkata, “Kita bersatu dengan Tuhan,” padahal kita masih hidup dalam kegelapan, kita sedang berdusta dan tidak mengamalkan apa yang benar.+
7 Namun, jika kita hidup dalam cahaya sebagaimana Tuhan sendiri ada dalam cahaya, maka kita semua akan bersatu, dan darah Anak-Nya, iaitu Yesus, akan membersihkan kita daripada semua dosa.+
8 Jika kita berkata, “Kita tidak mempunyai dosa,” kita sedang menipu diri sendiri,+ dan kebenaran tidak ada dalam diri kita.
9 Jika kita mengakui dosa kita, Tuhan akan mengampunkan dosa kita dan membersihkan kita daripada segala yang jahat, kerana Dia setia dan adil.+
10 Tetapi jika kita berkata, “Kita tidak berbuat dosa,” kita menjadikan Tuhan pendusta, dan firman-Nya tidak ada dalam diri kita.