2 Korintus 10:1-18

  • Paulus mempertahankan tugas sucinya (1-18)

    • Tidak menggunakan senjata di dunia (4, 5)

10  Aku, Paulus, sekarang merayu kepada kamu atas dasar kelemahlembutan dan kebaikan hati Kristus.+ Dalam pandangan kamu, aku lemah semasa aku bersemuka dengan kamu+ tetapi berani semasa aku tidak bersama kamu.+  Aku berharap agar apabila aku bersama kamu nanti, aku tidak perlu mengambil tindakan yang tegas terhadap orang yang berpandangan bahawa kami hidup menurut fikiran duniawi.  Walaupun kami hidup di dalam dunia ini, kami tidak berjuang berdasarkan fikiran duniawi.  Kami berjuang, bukan dengan menggunakan senjata di dunia ini,+ tetapi dengan senjata daripada Tuhan.+ Senjata-senjata yang berkuasa ini dapat merobohkan perkara-perkara yang sudah berurat berakar.  Kami merobohkan pelbagai fikiran yang salah dan merobohkan setiap benteng yang bercanggahan dengan pengetahuan tentang Tuhan.+ Kami menawan setiap fikiran supaya setiap fikiran patuh kepada Kristus.  Kami juga bersedia untuk menghukum setiap orang yang tidak patuh+ dan akan berbuat demikian sebaik sahaja kamu membuktikan kepatuhan kamu dengan sepenuhnya.  Kamu menilai sesuatu menurut apa yang dapat dilihat dari luar. Jika sesiapa yakin bahawa dirinya milik Kristus, dia harus berfikir lagi tentang hal ini: Sebagaimana dia milik Kristus, kami juga milik Kristus.  Tuan kita telah memberi kami kuasa untuk menguatkan kamu dan bukannya untuk melemahkan kamu.+ Biarpun aku sedikit melampau ketika membanggakan kuasa ini, aku tidak berasa malu.  Aku tidak mahu kamu berfikir bahawa aku sedang mencuba untuk menakutkan kamu dengan surat-suratku. 10  Hal ini demikian kerana mereka berkata, “Apa yang disampaikan dalam surat-suratnya bernas dan tegas, tetapi semasa dia bersama kita, dia lemah dan kata-katanya pun tidak bererti apa-apa.” 11  Hendaklah orang yang berkata demikian memikirkan hal ini: Apa yang kami tulis dalam surat-surat kami, akan kami lakukan semasa kami bersama-sama kamu.+ 12  Kami tidak berani menyamakan atau membandingkan diri dengan sesetengah orang yang meninggikan diri.+ Mereka tidak berpengertian kerana menilai diri mengikut kayu ukur sendiri dan menghakimi diri mengikut piawaian sendiri.+ 13  Tetapi kami tidak membanggakan apa yang terletak di luar lingkungan tugasan kami. Apa yang kami banggakan itu terletak di dalam lingkungan kawasan yang ditentukan oleh Tuhan bagi kami, dan kamu juga termasuk di dalam lingkungan itu.+ 14  Sebenarnya, kami tidak melampaui batas tugasan kami semasa kami mengunjungi kamu, kerana kamilah yang pertama-tama sampai kepada kamu untuk menyampaikan berita baik tentang Kristus.+ 15  Kami tidak membanggakan hasil usaha orang lain yang terletak di luar lingkungan tugasan kami. Namun, kami berharap agar apabila iman kamu semakin bertambah, apa yang telah kami lakukan juga akan bertambah di dalam lingkungan kawasan kami. Dengan demikian kami dapat menggandakan usaha 16  untuk mengumumkan berita baik di negeri-negeri yang lain, supaya kami tidak berbangga atas apa yang sudah dilakukan di dalam lingkungan kawasan orang lain. 17  Ada tertulis, “Sesiapa yang berbangga, hendaklah dia berbangga kerana Yehuwa.”*+ 18  Hal ini demikian kerana Yehuwa* berkenan kepada orang yang dipuji oleh-Nya+ dan bukannya orang yang memuji diri sendiri.+

Nota Kaki