Dua Korintus 3:1-18
3 Perlukah kami memperkenalkan diri sekali lagi kepada kamu? Atau seperti yang dilakukan oleh sesetengah orang, perlukah kami menyenaraikan kelayakan kami dalam sepucuk surat dan memberikannya kepada kamu? Atau adakah kamu yang patut memberi kami surat-surat sebegini?
2 Kamu sendiri ialah surat kami,+ yang terukir di hati kami dan yang diketahui serta dibaca oleh semua orang.
3 Sememangnya kamu ialah surat daripada Kristus yang kami tulis sebagai hamba Tuhan.+ Kami menulis surat itu dengan kuasa suci daripada Tuhan yang hidup, dan bukannya dengan dakwat; kami menulisnya pada hati orang,+ dan bukannya pada batu tulis.+
4 Melalui Kristus, kami dapat yakin akan hal-hal itu di hadapan Tuhan.
5 Kami tidak mengatakan bahawa kami layak melakukan tugas ini dengan kekuatan sendiri. Sebenarnya, kelayakan kami datang daripada Tuhan.+
6 Dialah yang melayakkan kami untuk menjadi hamba kepada perjanjian yang baharu.+ Maka kami bukanlah hamba kepada hukum yang bertulis+ tetapi kepada kuasa suci Tuhan. Hal ini demikian kerana hukum yang bertulis membawa hukuman mati,+ tetapi kuasa suci Tuhan memberikan kehidupan.+
7 Hukum yang membawa hukuman mati itu diukir pada batu+ tetapi mempunyai kemuliaan yang begitu gemilang. Semasa Hukum itu diberikan, umat Israel tidak dapat menatap muka Musa kerana kemuliaan yang bersinar pada mukanya.+ Namun, kemuliaan itu tidak kekal.
8 Jika demikian, tidakkah kerja yang dapat dilaksanakan oleh kuasa suci Tuhan+ mempunyai kemuliaan yang jauh lebih gemilang?+
9 Jika Hukum yang membawa hukuman mati+ mempunyai kemuliaan,+ kerja yang membolehkan orang mendapat perkenan Tuhan pasti mempunyai kemuliaan yang jauh lebih gemilang!+
10 Sebenarnya, hukum bertulis yang dahulunya mempunyai kemuliaan telah kehilangan kemuliaannya, kerana terdapat kemuliaan lain yang lebih unggul daripadanya.+
11 Jika hukum bertulis yang tidak kekal itu pun mempunyai kemuliaan,+ maka perjanjian baharu yang kekal pasti mempunyai kemuliaan yang jauh lebih gemilang!+
12 Memandangkan kami mempunyai harapan sebegini,+ kami dapat bercakap dengan berani.*
13 Kami bukan seperti Musa yang menutupi mukanya dengan selubung+ supaya umat Israel tidak boleh menatap kemuliaan* hukum bertulis yang tidak kekal itu.
14 Sebenarnya fikiran mereka sudah tumpul.+ Sehingga hari ini, selubung itu tidak ditanggalkan semasa perjanjian lama dibacakan.+ Hal ini demikian kerana selubung itu hanya boleh ditanggalkan melalui Kristus.+
15 Sesungguhnya, sehingga hari ini, hati mereka masih berselubung+ setiap kali kitab-kitab Musa dibacakan.+
16 Namun selubung itu ditanggalkan+ apabila seseorang berpaling kepada Yehuwa.*
17 Yehuwa* ialah Roh.+ Di mana ada kuasa suci Yehuwa,* di situ ada kebebasan.+
18 Kita semua mempunyai muka yang tidak berselubung, dan seperti cermin, kita memantulkan kemuliaan Yehuwa.* Seraya kita berbuat demikian, kita diubah kepada imej yang serupa dengan-Nya, dan kemuliaan yang kita cerminkan menjadi semakin gemilang, tepat seperti apa yang dilakukan oleh Yehuwa* yang merupakan Roh.*+
Nota Kaki
^ Atau “kesudahan; penghapusan.”
^ Lihat Lampiran A5.
^ Lihat Lampiran A5.
^ Lihat Lampiran A5.
^ Lihat Lampiran A5.
^ Lihat Lampiran A5.
^ Atau mungkin, “yang dilakukan oleh kuasa suci Yehuwa.”