Dua Korintus 7:1-16
7 Saudara-saudara yang dikasihi, memandangkan janji-janji ini+ sudah diberikan kepada kita, maka marilah kita menyucikan diri daripada semua perkara yang menajiskan jiwa* dan raga.+ Hendaklah kita takut akan Tuhan supaya kita menjadi suci dengan sepenuhnya.
2 Sambutlah kami dengan hati yang terbuka.+ Kami tidak berbuat salah terhadap sesiapa pun, tidak menyesatkan sesiapa pun, dan juga tidak mengambil kesempatan atas sesiapa pun.+
3 Aku berkata demikian bukan untuk mengutuk kamu. Seperti yang sudah aku katakan sebelum ini, tidak kira apa yang terjadi,* kamu sentiasa dekat di hati kami.
4 Aku dapat bercakap dengan terus terang* kepada kamu, dan aku sangat bangga dengan kamu. Aku berasa sangat lega, dan sukacitaku berlimpah-limpah meskipun kami mengalami banyak penderitaan.+
5 Sebenarnya, semasa kami tiba di Makedonia,+ kami tidak mendapat kelegaan. Sebaliknya kami terus menghadapi pelbagai penderitaan. Kami menghadapi tentangan yang kuat dari luar sidang, dan keadaan dalam sidang juga membuat kami risau.
6 Namun begitu, Tuhan yang melegakan hati orang yang patah semangat+ telah melegakan hati kami melalui kehadiran Titus.
7 Kami berasa lega bukan sahaja kerana kehadirannya, tetapi juga kerana kelegaan yang diperolehnya daripada kamu semua. Dia melaporkan kepada kami bahawa kamu ingin sekali berjumpa dengan aku, bahawa kamu sangat sedih, dan bahawa kamu sangat mengambil berat terhadapku. Hal-hal itu membuat aku lebih bersukacita lagi.
8 Walaupun aku membuat kamu sedih kerana suratku,+ aku tidak menyesal. Pada mulanya aku memang menyesal kerana aku tahu bahawa surat itu telah membuat kamu sedih untuk sementara,
9 tetapi sekarang aku bersukacita. Hal ini bukan kerana kamu telah bersedih, tetapi kerana kesedihan itu telah mendorong kamu untuk bertaubat. Kesedihan kamu selaras dengan kehendak Tuhan. Jadi, kamu tidak mengalami apa-apa kerugian kerana kami.
10 Kesedihan yang selaras dengan kehendak Tuhan menyebabkan orang bertaubat lalu diselamatkan, dan hal itu tidak perlu disesali.+ Namun, kesedihan yang bersifat duniawi membawa kematian.
11 Kesedihan kamu yang selaras dengan kehendak Tuhan telah menghasilkan kesungguhan yang tinggi dalam diri kamu, sehingga kamu membersihkan nama kamu, marah kerana apa yang salah, takut akan Tuhan, dan mempunyai keinginan yang sungguh-sungguh untuk bertaubat. Kamu menunjukkan semangat yang membara dan membetulkan apa yang salah.+ Dalam hal ini, kamu sentiasa menunjukkan bahawa kamu murni.*
12 Aku menulis kepada kamu bukan kerana orang yang berbuat salah+ atau orang yang menderita kerana kesalahan tersebut. Aku menulis surat itu agar kamu dapat menunjukkan kepada diri sendiri dan kepada Tuhan bahawa kamu mendengar kata-kata kami dengan bersungguh-sungguh.
13 Itulah sebabnya kami berasa lega.
Selain kelegaan yang kami peroleh, kami sangat gembira apabila melihat Titus bersukacita. Kamu semua telah menyegarkannya.
14 Aku pernah membangga-banggakan kamu di hadapannya, dan sekarang aku tidak malu dengan apa yang telah aku katakan. Sebagaimana semua perkara yang kami katakan kepada kamu memang benar, apa yang kami bangga-banggakan tentang kamu di hadapan Titus juga terbukti benar.
15 Kasihnya terhadap kamu juga semakin mendalam, kerana dia mengingat bahawa kamu semua telah menunjukkan kepatuhan+ dan menyambut dia dengan penuh hormat.
16 Aku bersukacita kerana aku dapat mempercayai kamu* dalam segala sesuatu.